Malaysia Tahan Individu Ada Kaitan Dengan Saudara Maute, Kumpulan Militan Lain

Ray Sherman
2019.03.18
Kuala Lumpur, Malaysia
190318-MY-fighters-620.jpg Seorang pegawai polis Malaysia menyemak dokumen semasa pemeriksaan keselamatan di Lahad Datu, selepas kira-kira 200 anggota Tentera DiRaja Sulu menceroboh sebahagian besar pantai Sabah, 8 Mac 2013.
(AFP)

Empat warga Filipina yang berjuang bersama adik beradik Maute di bandar Marawi selatan Filipina pada 2017 adalah antara 13 individu yang dipercayai militan yang ditangkap di Sabah  minggu lepas, demikian kata Ketua Polis Malaysia pada Isnin.

Bahagian Anti-Keganasan, Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menahan anggota kumpulan Abu Sayyaf [ASG] dan Tentera Diraja Sulu (RSF) dalam operasi dua hari yang diadakan di sekitar daerah Semporna dan Tambunan di Sabah yang berakhir pada 12 Mac lalu, kata Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Kuala Lumpur pada Isnin.

"Kami menahan 12 rakyat Filipina dan seorang warga tempatan dalam operasi itu. Mereka yang ditahan itu dipercayai terdiri daripada sebahagian anggota ASG, RSF atau kumpulan pengganas adik beradik Maute kerana memberi perlindungan kepada pengganas asing yang bersembunyi di Sabah," kata Fuzi.

Sabah telah menjadi tempat persembunyian bagi militan yang dipercayai dari sekitar selatan Filipina, kata sumber polis yang enggan dikenali kepada BeritaBenar.

"Pada masa ini tiada maklumat yang menyatakan terdapatnya anggota kumpulan bersembunyi di semenanjung, tetapi mungkin terdapat beberapa. Sabah adalah lokasi kegemaran kerana berhampiran dengan selatan Filipina," kata sumber itu.

"Mereka mempunyai saudara di Sabah, yang boleh membantu mereka. Kemasukan pendatang dari selatan Filipina di negeri itu [Sabah] juga satu kelebihan bagi mereka. Mereka menjalani kehidupan sederhana dan berprofil rendah di sana," tambah sumber itu.

Penangkapan pertama pada 11 Mac melibatkan lima warga Filipina dan seorang rakyat tempatan yang berusia antara 40 dan 60 tahun di Semporna, menurut Fuzi.

"Empat daripada suspek itu dipercayai terlibat dalam pemberontakan Maute di bandar Marawi di Filipina, pada 2017. Mereka juga terlibat dalam memberi perlindungan kepada pemberontak Maute dan beberapa warga dari Timur Tengah yang bersembunyi di Sabah," Fuzi kata.

"Dua lagi suspek dipercayai anggota RSF, kumpulan yang terlibat dalam pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna juga di Sabah pada 2013," katanya.

Pada Februari 2013, kira-kira 200 lelaki bersenjata tiba dengan bot flotila yang usang daripada Kepulauan Sulu yang berdekatan dengan Sabah dan menceroboh sebahagian besar pantai di Sabah selama beberapa minggu kerana mahu menuntut hak Kesultanan Sulu yang mengikut sejarah pernah memerintah Sabah.

Dokumen mahkamah berhubung pencerobohan itu menunjukkan bahawa kesemua mereka dipercayai anggota kumpulan RSF dan telah mengakui yang mereka adalah pengikut keturunan Jamalul Kiram III, yang mengisytiharkan dirinya Sultan Sulu.

Pencerobohan itu merupakan krisis keselamatan yang paling serius di Malaysia yang pernah berlaku. Tujuh puluh dua orang, termasuk 56 orang anggota tentera Sulu yang bersenjata, sepuluh anggota pasukan keselamatan Malaysia serta enam orang awam terbunuh ketika berbalas tembakan yang berlaku selama beberapa minggu. Pertempuran itu berakhir apabila baki militan yang ada melarikan diri dan kembali ke Filipina.

Fuzi berkata kedua-dua suspek yang ditangkap minggu lepas dipercayai merekrut anggota baru RSF dengan menjual kad keahlian kepada warga Filipina yang tinggal di Sabah.

"Kedua-dua suspek melarikan diri ke selatan Filipina selepas kekalahan RSF (selepas pencerobohan Lahad Datu). Bagaimanapun, mereka kembali ke Semporna pada November 2018 untuk mengaktifkan semula aktiviti RSF di negeri itu, "kata Fuzi.

Anggota RSF berkata matlamat mereka adalah untuk mengawal Timur Sabah, menurut sumber polis yang enggan dikenali. Selain itu, rakyat tempatan yang ditahan itu dipercayai memberi perlindungan kepada pemberontak Maute, kata sumber itu.

Menyelinap masuk ke Sabah

Susulan penangkapan 11 Mac itu, lima lelaki dan seorang wanita – kesemua warga Filipina yang berusia antara 23 dan 63 telah ditahan, menurut Fuzi, sambil menyatakan salah seorang daripada suspek yang bekerja di tapak pembinaan merupakan anggota ASG yang disyaki terlibat dalam pertempuran di Marawi.

Pertempuran di Marawi iaitu selama lima bulan, berakhir pada Oktober 2017.

"Suspek menyelinap masuk ke Sabah pada Disember tahun lepas, bersama anggota kumpulan lain, untuk melepaskan diri dari operasi oleh tentera Filipina. Lima yang lain ditahan kerana memberi perlindungan kepada anggota ASG dan kumpulan Maute, yang masih bebas, "kata Fuzi.

Seorang pekerja pembinaan warga Filipina berusia 39 tahun yang memberi perlindungan kepada anggota kumpulan ASG dan Maute telah ditahan pada 12 Mac, menurut Fuzi.

Polis berkata tangkapan itu dibuat selepas pengawasan lebih enam bulan yang dibuat oleh pihak berkuasa itu di negeri berkenaan.

Sejak awal tahun ini, polis Malaysia berkata mereka telah menahan 26 orang yang dipercayai  pengganas - 13 warga Filipina, enam [Mesir], lima warga tempatan, masing-masing seorang rakyat Pakistan dan Tunisia.

Fuzi berkata pihak polis yakin mereka dapat mengesan dan menjejaki saki baki kumpulan ASG dan Maute yang bersembunyi di Malaysia.

Beliau berkata polis juga telah menangkap sepuluh warga Filipina yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, dan menyerahkannya kepada Jabatan Imigresen.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.