Malaysia Tingkat Kawalan Keselamatan Susulan Serangan Bom di Sri Lanka

Hadi Azmi
2019.04.24
Kuala Lumpur, Malaysia
190424-SA-security-620.jpg Seorang paderi sedang menjalankan upacara pengkebumian mangsa-mangsa serangan bom di Negombo, Sri Lanka, 24 April 2019.
[AP]

Malaysia meningkatkan tahap keselamatan di sekitar rumah ibadat di seluruh negara serta di kedutaan Sri Lanka ekoran tragedi serangan berani mati yang melanda negara kepulauan itu pada Ahad lalu yang telah mengorbankan 359 nyawa, kata Ketua Polis Negara Fuzi Harun pada Rabu.

Bercakap kepada pemberita, Fuzi berkata arahan telah dikeluarkan supaya lebih banyak langkah keselamatan diambil di lokasi tersebut.

“Kita ambil maklum apa yag terjadi di Sri Lanka dan memandang serius perkara itu dan  telah mengarahkan semua Ketua Polis Negeri untuk memberi perhatian khusus kepada perkara berkaitan ini (keganasan),” tambah beliau.

Ketika ditanya sama ada terdapat penglibatan rakyat Malaysia dalam serangan itu, Ketua Polis Negara berkata siasatan awal polis tidak menemui sebarang kaitan dari aspek tersebut.

“Kalau saya kata tiada, ia mungkin terlalu awal untuk berkata sedemikian, tapi buat peringkat ini tiada tanda-tanda menunjukkan penglibatan orang kita dalam isu serangan Sri Lanka,” kata beliau di sebuah majlis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Rabu.

Sementara itu, jumlah kematian telah meningkat kepada 359 orang, dengan lebih 34 warga asing adalah antara yang terbunuh, demikian menurut pihak berkuasa Sri Lanka pada Rabu.

Kerajaan Sri Lanka sebelum ini menyalahkan dua kumpulan pengganas tempatan, National Thawheed Jama’ut dan Jammiyathul Millathu Ibrahim atas serangan terhadap tiga gereja dan empat hotel, Ahad lalu.

Bagaimanapun akhbar The New York Times dalam laporannya pada Selasa memetik agensi berita rasmi IS, Amaq sebagai berkata bahawa kumpulan pengganas antarabangsa berkenaan telah mendakwa pihaknya bertanggungjawab keatas letupan di Sri Lanka itu.

Dalam satu kenyataan media pada Selasa yang dikeluarkan oleh agensi berita itu, tujuh pengebom dinamakan dengan dakwaan berkenaan disebarkan melalui beberapa kumpulan ‘chat’ yang digunakan pengganas IS menerusi aplikasi Telegram, kata akhbar tersebut.

Mereka mendakwa bahawa serangan tersebut disasarkan terhadap penganut agama Kristian serta rakyat mana-mana negara yang menentang IS.

Pada Rabu Polis Sri Lanka mengesahkan sembilan pengebom bunuh diri terlibat dalam beberapa siri serangan pada Ahad lalu, dengan lapan daripadanya telah dikenal pasti, lapor agensi berita Xinhua, memetik Menteri Pertahanan Ruwan Wijewardene sebagai berkata.

Pemimpin kumpulan pelampau tempatan antara pengebom bunuh diri yang dikenal pasti dan setakat ini 60 suspek ditahan dengan 32 daripadanya diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah, kata menteri berkenaan pada satu sidang akhbar.

Pihak berkuasa negara itu juga berkata mereka telah menemui sebuah motosikal dan empat unit walkie-talkie di sebuah rumah di Warakapola, kira-kira 56 km dari ibu kota Colombo.

Walaupun tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam serangan ketika umat beragama Kristian menyambut Hari Easter, Kementerian Luar Negara Malaysia pada Rabu telah mengeluarkan satu kenyataan membidas tindakan militan Negara Islam [IS] yang mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu.

“Malaysia mengutuk keras serangan itu dan menggesa kerajaan Sri Lanka untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke atas jenayah kejam tersebut ke muka pengadilan,” kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah dalam kenyataan itu.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan pengganas berkenaan tidak mencerminkan Islam sebagai agama pendamaian dan agama ‘rahmat kepada seluruh alam’.

Saifuddin turut berkata bahawa Malaysia berdiri bersama-sama Sri Lanka dalam satu semangat solidariti.

IS gerakan global

Pakar Anti-keganasan Ahmad El Muhammady semasa dihubungi BeritaBenar berkata selepas tamat perang di Syria, IS telah berubah daripada satu organisasi berstruktur kepada gerakan global dengan pengikut serata dunia.

“Di Sri Lanka, walaupun tidak dikaitkan secara langsung dengan pengganas yang melancarkan serangan itu, ia jelas bahawa mereka ada misi dan visi yang sama dengan IS. Dengan ideologi yang sama ini mereka boleh diletakkan di bawah payung yang sama,” jelas beliau.

Ketika ditanya mengenai kesiapsiagaan pihak berkuasa Malaysia, Ahmad memuji tindakan Polis Malaysia yang dilihatnya kini proaktif dalam mengawal keselamatan di tempat-tempat ibadat di dalam negara disamping mempertingkatkan tahap keselamatan.

“Sri Lanka ada peluang untuk mematahkan serangan itu kerana mereka telah pun mendapat amaran, namun begitu mereka tidak proaktif, sebagaimana yang berlaku juga kepada Amerika Syarikat dalam serangan 9/11,” tambah beliau.

Beliau walaubagaimanapun khuatir berlaku serangan balas ekoran serangan Ahad lalu apabila melihat kepada ‘suhu’ perdebatan di media sosial dan ketegangan antara masyarakat di negara itu.

“Saya tidak terkejut jika ada lagi serangan atau serangan balas selepas ini,” katanya lagi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.