Kabinet Bangladesh Lulus Perjanjian G2G Hantar 1.5 Juta Pekerja Ke Malaysia
2016.02.09
Malaysia yang baru saja meluluskan pemberian permit kerja sah kepada kira-kira dua juta pekerja asing haram dilihat bakal berdepan dengan kebanjiran kemasukan pekerja asing apabila kabinet Bangladesh telah meluluskan perjanjian kerajaan dengan kerajaan (G2G), untuk menghantar 1.5 juta pekerja dalam tempoh tiga tahun.
Setiausaha Kabinet Bangladesh Shafiul Alam pada Isnin berkata, kerajaan Bangladesh telah meluluskan draf perjanjian G2G itu yang membolehkan agensi swasta di negara berkenaan menjalankan proses penghantaran 1.5 juta pekerja secara berperingkat ke Malaysia untuk tempoh itu.
Katanya, sebelum ini kerajaan negara itu tidak dapat menghantar pekerjanya ke Malaysia kerana agensi swasta tidak dibenarkan menjalankan proses penghantaran yang sekaligus turut membenarkan bayaran yuran dikenakan.
"Perjanjian antara Bangladesh dan Malaysia melalui memorandum persefahaman dijangka ditandatangani dalam tempoh sebulan dan melalui perjanjian itu juga, bakal mengiktiraf Bangladesh sebagai 'negara sumber', selain membolehkan pekerja Bangladesh bekerja dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan, berbanding sebelum ini, hanya dalam sektor perladangan di Malaysia," kata Shafiul Alam kepada media di Dhaka.
Katanya, pekerja wanita Bangladesh turut berpeluang bekerja di Malaysia, dan kos ekspatriat yang ditanggung sepenuh oleh majikan adalah sebanyak RM1,985 (AS$495) bagi setiap seorang.
Sementara itu, pada Jumaat lepas, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi turut mengumumkan mengenai melaksanakan Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) mulai 15 Febuari ini, yang sekaligus membolehkan kira-kira dua juta pekerja asing haram, yang berada di Malaysia boleh memiliki permit kerja yang sah.
Beliau berkata, fasa pertama program itu akan dilaksanakan selama tiga bulan mulai tarikh berkenaan, dengan memberi peluang kepada pekerja asing haram mendaftar melalui talian tanpa melalui agen pekerjaan untuk mendapatkan permit sah mereka.
Pada 28 Januari lepas, Perdana Menteri Najib Razak semasa membacakan perutusan Khas Mengenai Pengubahsuaian Bajet 2016 berkata, kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI untuk memberi peluang kepada mereka yang bekerja secara haram di Malaysia diberikan permit kerja yang sah.
“Perlaksanaan program ini adalah bagi memenuhi permintaan industri serta membolehkan kerajaan mengetahui jumlah PATI di negara ini, bagi tujuan pemantauan keselamatan,” kata Najib.
Dalam pada itu, pada Jun lepas, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Malaysia akan membawa masuk kira-kira 1.5 juta pekerja dari Bangladesh secara berperingkat di dalam tempoh tiga tahun bagi menampung permintaan majikan daripada pelbagai sektor.
"Satu perjanjian dimeterai pada Julai antara Dhaka dan Kuala Lumpur untuk memenuhi permintaan pasaran pekerjaan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Dua bulan selepas pengumuman mengenai pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh, Ahmad Zahid telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Bangladesh Abul Hassan Mahmood Ali mengenai perkara itu dan memberitahu media, kerajaan Malaysia terpaksa membawa masuk pekerja asing kerana rakyat tempatan tidak berminat bekerja di dalam sektor 3D (Merbahaya, Sukar dan Kotor-Dangerous, Difficult, Dirty).
Memberi reaksi pada ketika itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), N. Gopal Krishnam berkata, Malaysia tidak memerlukan 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh dan pengambilan pekerja negara tersebut hendaklah dibatalkan serta merta.
Katanya, adalah lebih wajar sekiranya penduduk tempatan disediakan pakej gaji yang menarik serta latihan agar mereka juga boleh melakukan kerja yang merbahaya, sukar dan kotor.
"Ganjaran yang tinggi akan menarik minat penduduk tempatan menceburi bidang 3D. Kini terdapat beribu-ribu pekerja Malaysia yang berulang alik setiap hari ke Singapura untuk bekerja. Kenapa? " katanya sambil mengaju soalan mengapa keadaan itu berlaku.
Katanya, ramai pekerja dari Malaysia sanggup berulang alik ke negara jiran itu dan melakukan kerja 3D kerana ganjarannya lebih tinggi dan setaraf dengan kerja yang dibuat.
Sementara itu, usaha wartawan BeritaBenar untuk mendapatkan maklum balas dari kerajaan Malaysia mengenai kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh yang dipercayai akan menyebabkan kebanjiran pekerja asing, selepas kerajaan memperkenalkan program penggajian semuala itu, sejak seminggu lalu, bagaimanapun gagal.
Menteri dan Timbalan Menteri Dalam Negeri yang dihubungi sama ada menerusi setiausaha akhbar, panggilan telefon dan aplikasi Whatsapp tidak memberi maklum balas.
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia Raja Zulkepley Dahalan juga tidak mahu memberi sebarang kenyataan sebaliknya meminta menunggu sehingga Kementerian Dalam Negeri membuat kenyataan terlebih dahulu.