Pihak Berkuasa Siasat Kematian Dalam Tahanan Polis

Lelaki keturunan India, A. Ganapathy dipercayai menjadi mangsa keganasan polis meninggal dunia di hospital pada 18 April.
S. Adie Zul & Nisha David
Kuala Lumpur
2021-04-30
Share
Pihak Berkuasa Siasat Kematian Dalam Tahanan Polis Anggota Polis DiRaja Malaysia sedang mengawal sekumpulan orang awam yang sedang berkumpul di luar bangunan Mahkamah di Putrajaya, 10 Februari, 2015.
[Reuters]

Pihak berkuasa Malaysia telah melancarkan siasatan berhubung kematian dalam tahanan polis yang melibatkan seorang lelaki etnik India, A. Ganapathy, setelah ada dakwaan yang mengatakan beliau dipukul sehingga mengalami kecederaan teruk serta gagal diberikan rawatan tepat pada masanya.

Peguam yang mewakili keluarga mendiang, Ganesh Kanagaretnam pula memberitahu satu saman akan difailkan keatas Polis DiRaja Malaysia dan Hospital Selayang atas tuduhan cuai sehingga menyebabkan kematian bapa kepada dua orang anak itu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe memberitahu yang pihak polis telah membuka kertas siasatan susulan satu laporan yang dibuat oleh ibu Ganapathy dengan kertas siasatan itu akan dimajukan kepada pihak pendakwa raya dalam masa terdekat bersama cadangan untuk mewujudkan inkues.

“Pada 11/03/2021 [11 Mac], Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak telah membuka dan menjalankan siasatan atas dakwaan pengadu iaitu ibu kepada Ganapathy a/l Anpalagan yang mendakwa mangsa dipukul ketika dalam tahanan sehingga menyebabkan kakinya perlu dipotong,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan mengenai dakwaan pengadu kerana maklumat penting yang diperlukan untuk siasatan tidak dapat dibekalkan oleh pengadu, yang berkemungkinan akan dipanggil semula sekiranya diperlukan.

“Pada 18 April 2021 jam 11 malam, mangsa disahkan meninggal dunia di Wad ICU Hospital Selayang. Bedah siasat yang dijalankan Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur mendapati punca kematian adalah ‘necrotizing fasciitis of right lower limb complicated with Sepsis’,” tambah Arifai.

Ganesh, peguam keluarga lelaki itu berkata pihaknya sedang menunggu siasatan diselesaikan sebelum memfailkan tindakan undang-undang terhadap pihak polis dan Hospital Selayang.

“Bedah siasat menunjukkan Ganapathy meninggal dunia akibat kecederaan pada kakinya yang dipercayai dipukul ketika dalam tahanan polis. Saya dapat tahu daripada doktor dari Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur.

“Saya, pegawai penyiasat, kakak Ganapathy hadir ketika laporan bedah siasat dibacakan kepada kami. Kematiannya disahkan akibat dipukul 12 hari dalam tahanan polis, beliau dibawa ke hospital Selayang empat kali, dan dengan sendiri meminta polis bawanya ke hospital,” kata Ganesh kepada BenarNews semasa dihubungi pada Jumaat.

Terdahulu itu, ibu mangsa, S Thanaletchumy telah membuat laporan polis berhubung kematian anaknya dengan mendakwa Ganapathy telah dipukul oleh polis semasa berada dalam tahanan dengan menggunakan paip getah, seperti dimaklumkan kepada keluarga oleh anaknya itu, sebelum mendapatkan rawatan di hospital dan meninggal dunia.

Keluarganya juga berkata kesihatan Ganapathy mulai merosot ketika dalam tahanan polis, berdasarkan keadaan kakinya yang bengkak dan lebam akibat dipukul.

Arifai dalam kenyataannya menolak dakwaan keluarga Ganapathy dengan berkata, lelaki tersebut tidak pernah membuat sebarang aduan dipukul selepas tiga kali dibawa ke hadapan Majistret bagi tujuan reman dan prosiding sambung reman di antara tarikh 25 Februari, 2 Mac dan 6 Mac 2021.

“Tiada sebarang aduan dipukul oleh pihak polis dibuat mangsa kepada Pegawai Perubatan dan Penolong Pegawai Perubatan yang telah merawat mangsa dalam empat sesi rawatan di antara tarikh 28 Februari hingga 7 Mac 2021,” tambahnya lagi.

Menurut laporan media tempatan, Ganapathy, seorang penjual susu telah ditahan bagi membantu siasatan terhadap seorang adiknya yang dicari polis, pada 24 Februari.

Arifai berkata mangsa ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes samun kilang dan kes mendatangkan kecederaan manakala ujian saringan juga mendapati mendiang positif dadah methamphetamine.

“Mangsa telah ditahan reman selama 12 hari mulai 25 Februari hingga 8 Mac dan dalam tempoh tersebut sebanyak empat kali mangsa telah dibawa untuk mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Selayang iaitu pada 28 Februari, 3 Mac, 6 Mac dan 7 Mac.

“Sehari selepas ditahan iaitu pada 25 Februari ubat-ubat mangsa telah diserahkan oleh ahli keluarga kepada anggota polis dilokap Balai Polis Selayang selepas mendapat tahu mangsa mempunyai sejarah sakit jantung dan diabetik,” kata Ketua Polis Daerah Gombak itu.

Menurut beliau lagi pasukan perubatan terpaksa memotong kaki kanan mangsa sebanyak dua kali akibat ‘necrotizing fasciits’ dan mengalami kesukaran bernafas, sebelum dibebaskan pada 8 Mac tetapi perlu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang.

“Pada 9 Mac jam 10.00 pagi, Pakar Perubatan (Otropedik) mengesahkan bahawa kaki kanan mangsa mengalami Necrotizing Fasciits dan tiada pengaliran darah di kaki kanan mangsa. Keputusan diambil untuk melakukan pembedahan ‘amputated – above knee level‟ kaki kanan untuk menyelamatkan nyawa mangsa,” tambah Arifai.

Beliau juga memberitahu yang mangsa pernah dibawa ke Hospital Selayang bagi mendapatkan rawatan pada luka lama yang belum sembuh di buku lali kaki kanan selepas mangsa mengadu sakit dan kecederaan tersebut wujud sebelum tangkapan dilakukan.

Gelombang baharu

Kematian Ganapathy telah mencetuskan gelombang terbaharu kritikan kepada pihak polis berhubung kematian tahanan semasa dalam tahanan, khususnya yang melibatkan tahanan dari etnik India di Malaysia.

Rakyat Malaysia bangkit menyuarakan bantahan terhadap kes kematian dalam tahan itu, dengan beberapa pemimpin pembangkang turut bersuara dan susulan daripada kritikan meluas di media sosial, polis memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membuat tuduhan “tidak berasas” atau menjadikan insiden berkenaan sebagai isu perkauman.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim seperti dilaporkan portal berita Malaysiakini berkata insiden dipukul dalam tahan telah berlaku sejak sekian lama.

"Ada yang buat-buat terkejut, seolah-olah ia jarang berlaku. Saya kata podah, saya tahu apa yang berlaku. Saya alaminya (dipukul) sewaktu 1998 dan saya beritahu bila saya dibebaskan, saya tidak mahu orang lain dizalimi sedemikian. Sama ada namanya Melayu, Cina, India atau anak Sabah mahupun Sarawak," kata Anwar seperti dilaporkan.

Beliau yang juga ahli parlimen Port Dickson meminta Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador memberi kenyataan lengkap dan menentukan sekiranya ada jenayah dilakukan dengan tindakan tegas perlu diambil segera.

Sementara itu, Naib pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Tan Kar Hing yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Pulai mendesak PDRM dan Jabatan Peguam Negara untuk memulakan siasatan terhadap punca kematian mendiang Ganapathy dan mengheret pesalah ke mahkamah.

“Saya ingin menggesa pihak PDRM khususnya Bakal Ketua Polis Negara yang juga Timbalan Ketua Polis Negara, Acyl Sani Abdullah Sani harus menyiasat kes ini dengan penuh telus dan terbuka. Beliau seharusnya menangani masalah kekhuatiran masyarakat terhadap integriti dan profesionalisme PDRM dalam menjalankan tugas penguatkuasaan,” ujarnya lagi.

Tan berkata, mengikut laporan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), seramai 104 kes kematian dalam tahanan polis pada tahun 2011-2018, di mana 56 kes berkaitan masalah perubatan, lapan kes bunuh diri, dua kemalangan, empat kekerasan dan 34 tidak diketahui puncanya.

“Angka ini membimbangkan tetapi punca kematian kes-kes yang berlaku ini penuh dengan pertikaian masyarakat terutamanya pihak keluarga mangsa.

Tan turut menyatakan kebimbangan jika insiden kes kematian Ganapathy seumpama kematian George Floyd yang melibatan isu kekerasan pihak polis di Amerika Syarikat, justeru ianya seharusnya ditangani dengan penuh cermat.

Segerakan penubuhan IPCMC

Kematian Ganapathy turut mencetuskan semula desakan untuk disegerakan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Naib Presiden MIC, sebuah parti komponen Barisan Nasional yang mewakili etnik India, Sivarraajh Chandran menegaskan kematian Ganapathy sekali lagi membuktikan kepentingan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan segera.

“Keadilan yang dapat diketengahkan melalui IPCMC bukan sahaja penting untuk memastikan mangsa menerima keadilan, namun juga penting dalam usaha memperbaiki reputasi PDRM sendiri,” katanya seperti dilaporkan portal berita MalaysiaGazette.

Untuk rekod, IPCMC ditubuhkan untuk bertindak sebagai badan pemantau bebas bagi menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis.

Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini telah meluluskan penubuhan IPCMC pada Mei 2019 dan Rang Undang-Undang (RUU) IPCMC 2019 telah dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 18 Julai 2019 bagi menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi meningkatkan integriti dan keupayaan PDRM.

Bagaimanapun, blok pembangkang ketika itu memutuskan untuk menolak RUU IPCMC 2019.

Ketua Pembangkang ketika itu Ismail Sabri Yaakob – yang kini menjawat jawatan Menteri Kanan Pertahanan di bawah kerajaan Perikatan Nasional, ketika itu dilaporkan mendakwa RUU merupakan ‘kosmetik dan lakonan semata-mata’.

Susulan itu, pada Ogos 2020, kerajaan Perikatan Nasional telah menarik balik RUU IPCMC 2019 dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan mengumumkan ia akan diganti dengan RUU baharu yang diubah suai kerana RUU asal tidak diterima oleh sebahagian warga polis.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh