Bekas Peguam Negara Pertahan Akta Sosma

S. Adie Zul
2015.11.03
151103-MY-GANI620 Seorang aktivis memegang kertas "tolak akta zalim" semasa membuat bantahan terhadap pindaan Akta Pencegahan Jenayah 1959, di luar bangunan Parlimen di Kuala Lumpur. 30 September 2013
AFP

Bekas Peguam Negara Abdul Gani Patail, yang tiba-tiba dipecat daripada jawatannya pada 27 Julai lalu, mempertahankan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana undang-undang itu digubal untuk menangani ancaman keganasan, tetapi menegaskan bahawa "ia tidak pernah bermaksud untuk menyekat perbezaan pendapat politik."

Beliau berkata, tiada yang salah dengan undang-undang itu, di mana beliau sendiri mempunyai peranan dalam penggubalannya, tetapi mengakui bahawa terdapat beberapa isu mengenai tafsiran dan pelaksanaan Sosma.

Sambil menegaskan bahawa Sosma telah digubal sebagai tindak balas undang-undang untuk menangani kegiatan keganasan dan dianggap sebagai menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara - sistem keadilan jenayah yang menyeluruh bagi mengendalikan penangkapan, pendakwaan dan perbicaraan.

"Masalah dengan undang-undang itu ialah tafsiran dan pelaksanaan berbanding undang-undang itu sendiri.

"Dalam kes Sosma, ia telah diperkenalkan untuk menangani keganasan dan kesalahan lain berkaitan keselamatan tetapi ia tidak pernah bertujuan untuk menyekat perbezaan pendapat politik," kata Abdul Ghani dalam forum bertajuk "Sosma - Musang Berbulu Ayam?" di Kuala Lumpur pada malam Selasa.

Ia merupakan kemunculan pertama Abdul Ghani sejak disingkirkan daripada jawatannya secara tiba-tiba tiga bulan lalu.

Pada Julai lepas, Perdana Menteri Najib Razak secara mengejut telah menggugurkan timbalannya, Muhyiddin Yassin, merombak kabinet, serta menamatkan perkhidmatan Peguam Negara Abdul Gani Patail yang sedang mengetuai siasatan terhadap syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Muhyiddin, yang lantang mengkritik skandal syarikat pelaburan negara yang menanggung hutang sebanyak AS$12bilion (RM42 bilion) itu, digugurkan bersama empat menteri kabinet lain, manakala Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa di dalam satu kenyataan media pada hari yang sama, memaklumkan bahawa perkhidmatan Abdul Gani sebagai Peguam Negara ditamatkan pada 27 Julai.

"Penamatan perkhidmatan Abdul Gani adalah atas sebab-sebab kesihatan, tetapi beliau terus berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sehingga bersara wajib pada 6 Okt 2015," kata Ali dalam kenyataan itu.

Forum itu dianjurkan oleh Majlis Peguam Malaysia, yang dihadiri lebih daripada 150 orang di Auditorium Raja Aziz Addruse di Bangunan Straits Trading di Kuala Lumpur.

Ahli panel lain di forum itu ialah Presiden Majlis Peguam Malaysia Steven Thiru dan peguam Amer Hamzah Arshad, manakala ahli Majlis Peguam Malaysia Andrew Khoo, bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Abdul Ghani memberitahu forum itu bahawa undang-undang khas itu perlu kerana ia terbukti dalam kes pencerobohan Lahad Datu di Sabah pada Februari 2013 yang melibatkan lebih 200 militan dari selatan Filipina.

‘Sekat kegiatan keganasan’

Abdul Ghani menegaskan bahawa undang-undang 'istimewa' seperti Sosma perlu, memandangkan pengganas dan aktiviti keganasan adalah sebahagian daripada kategori "khas" kesalahan.

"Itu adalah tujuan undang-undang itu pada asalnya," kata beliau.

Oleh itu, katanya, tujuan asal Sosma adalah jelas kerana ia bertujuan untuk menangani pengganas dan aktiviti keganasan.

Abdul Ghani tidak mengulas lanjut mengenai penggunaan Sosma “bagi menyekat perbezaan pendapat politik' tetapi dipercayai beliau merujuk kepada penahanan pengkritik 1MDB iaitu bekas ketua bahagian Umno Khairuddin Abu Hassan yang ditahan di bawah Sosma pada September lalu.

Peguam Khairuddin, Matthias Chang, adalah orang kedua ditahan di bawah Sosma dalam tindakan keras yang jelas terhadap pengkritik 1MDB.

Kedua-dua lelaki itu, kemudian didakwa cuba mensabotaj ekonomi Malaysia dan sistem kewangan serta perbankan negara, satu pertuduhan di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan pada 12 Okt lalu.

Pertuduhan itu membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun jika sabit kesalahan.

Walaupun pengganti Abdul Ghani, Mohamed Apandi Ali kemudian menjelaskan bahawa kedua-dua mereka tidak didakwa di bawah Akta Sosma, sebaliknya Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 Oktober menolak permohonan ikat jamin mereka sementara menunggu semakan pertuduhan mereka oleh Mahkamah Persekutuan.

Dilaporkan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Hakim Azman Husin berkata, mahkamah terikat dengan Seksyen 13 Sosma yang tidak membenarkan ikat jamin.

'Kesihatan okay'

Apabila ditanya oleh Ahli Parlimen pembangkang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua, seorang daripada pengkritik lantang Sosma, sama ada beliau akan menulis semula mana-mana bahagian undang-undang itu jika diberi peluang, Abdul Ghani berkata ia adalah di luar bidang kuasanya jika ‘kecacatan’ undang-undang itu sedang disalahgunakan oleh bahagian eksekutif.

Abdul Ghani berkata, beliau sentiasa bangga kerana tidak menjadi ahli politik atau diplomat.

"Ya, Peguam Negara gubal undang-undang ini, tetapi semua ini digalakkan oleh pelbagai agensi.

"Kemudian, ia dihantar kepada Kabinet dan akhirnya ke Parlimen untuk diundi. Akhirnya, Parlimen yang meluluskan undang-undang itu," katanya.

Sebelum itu, Abdul Ghani memberitahu hadirin bahawa kesihatannya 'okay,' sambil menolak soalan-soalan lain yang tidak berkaitan dengan topik Sosma.

"Mengenai kesihatan saya, anda boleh lihat bahawa saya okay. Saya menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu. Saya masih membaca. Saya masih bekerja - tetapi saya tidak berada di pejabat.

"Saya lakukan kerja seperti menjaga cucu-cucu saya, dan kadang kala, menghiburkan rakan-rakan baik saya. Saya berfungsi secara normal," katanya sambil berseloroh.

Abdul Ghani mengesahkan bahawa beliau mula menjalani rawatan dialisis ketika masih berkhidmat di Jabatan Peguam Negara.

Dilaporkan bahawa perkhidmatan Abdul Ghani ditamatkan secara tiba-tiba oleh kerajaan atas"sebab-sebab kesihatan."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.