Mahkamah Malaysia Lepaskan Tanpa Dibebaskan 14 Ahli ‘Geng Nicky’

Ketua Geng Nicky berpangkat Dato Seri dan punya hubungan dengan kongsi gelap 14K – disenarai hitam oleh Amerika Syarikat masih dalam buruan.
Noah Lee & Nisha David
Kuala Lumpur
2021-09-30
Share
Mahkamah Malaysia Lepaskan Tanpa Dibebaskan 14 Ahli ‘Geng Nicky’ Pihak Berkuasa Malaysia membawa sekumpulan lelaki warga China yang ditahan kerana dipercayai terlibat melalukan jenayah penipuan dalam talian ke mahkamah, di Mahkamah Sepang, Selangor, 13 Disember 2019.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Tindakan keras ke atas rangkaian ketua kumpulan jenayah terancang yang dikaitkan dengan sindiket dari China telah terungkai dengan Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan 14 suspek pada Khamis, dengan kesemua mereka termasuk empat warga China dan dua adik ahli perniagaan Malaysia dalam buruan Nicky Liow Soon Hee, yang juga ketua Geng Nicky.

Timbalan Pendakwa Raya Iskandar Ahmad berkata keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Abd Halim Aman selepas pihak pendakwaan membuat permohonan kepada mahkamah supaya satu perintah dilepaskan tanpa dibebaskan diberi kepada kesemua tertuduh sementara pihak berkuasa meneruskan siasatan terhadap kumpulan tersebut.

"Pihak pendakwaan membuat permohonan kepada mahkamah supaya satu perintah DNAA (dismissal not amounting to acquittal) diberikan kepada tertuduh dalam kes ini, kerana kami telah memberikan arahan kepada pegawai siasatan untuk meneruskan penyiasatan mereka dalam kes ini dan kami akan membuat pertuduhan semula (di masa akan datang).

"Hakim telah membuat keputusan untuk mengeluarkan perintah tersebut berdasarkan Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan bahawa kuasa untuk mendakwa dan menarik balik pertuduhan adalah terletak dalam bidang kuasa pihak pendakwa raya," kata Iskandar kepada BenarNews ketika dihubungi pada Khamis.

Disebabkan oleh kekangan akibat pandemik COVID-19, kehadiran secara fizikal di mahkamah telah dihadkan. Menurut laporan media tempatan, wartawan tidak dibenarkan masuk bagi mendengar kes berkenaan sepanjang prosiding berlangsung.

Menurut Iskandar, Hakim Abd Halim telah membuat keputusan untuk mengeluarkan perintah DNAA selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak pendakwa raya dan juga pasukan peguam bela yang mewakili tertuduh.

"Kami berjaya meyakinkan mahkamah mengapa perlu diberikan perintah DNAA dan bukannya perintah AND (dilepas dan dibebaskan), seperti diminta oleh peguam bela," tambah beliau.

Dalam sistem kehakiman di Malaysia, perintah lepas tanpa bebas membolehkan pendakwa raya mengenakan tuduhan semula ke atas seseorang individu pada masa akan datang, iaitu apabila timbul bukti baharu dalam sesuatu kes.

Menurut Iskandar, tiada had masa untuk pihak pendakwa raya memfailkan pertuduhan semula yang baharu.

Menurut laporan agensi berita nasional Bernama, 13 daripada tertuduh itu sebelum ini telah didakwa di mahkamah dengan tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksima 20 tahun jika sabit kesalahan, manakala seorang lagi dituduh membantu kumpulan tersebut di bawah Seksyen 130W Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksima 10 tahun.

Penahanan Geng Nicky menggemparkan negara apabila polis Malaysia pada awal tahun ini telah melancarkan operasi besar-besaran bagi menumpaskan sindiket berkenaan, yang dipercayai mempunyai pertalian dengan ketua kumpulan kongsi gelap 14K – yang disenarai hitam oleh Amerika Syarikat (AS) Disember lalu - Wan Kouk Koi atau lebih dikenali sebagai ‘Broken Tooth’.

Pada 30 Mac, Abdul Hamid Bador yang merupakan Ketua Polis Negara pada waktu itu mengumumkan bahawa seramai 68 orang lelaki dan wanita termasuk warga China dan Myanmar selain rakyat tempatan telah ditangkap dalam beberapa siri serbuan sejak 20 Mac.

Nicky yang bergelar Dato Seri bagaimanapun telah berjaya melarikan diri, dipercayai dengan bantuan seorang bekas timbalan pendakwa raya yang dipercayai menjadi orang perantara sindiket dan bertanggungjawab membocorkan maklumat tentang operasi polis.

Polis turut membuka siasatan terhadap 34 orang pegawai dan anggota dari pelbagai agensi penguatkuasa kerana disyaki melindungi kegiatan lelaki tersebut.

"Polis sedang memburu ketua Geng Nicky yang dikenali sebagai Nicky Liow Soon Hee, pengasas syarikat pelaburan ‘Winner Dynasty Group’ berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor, yang dipercayai masih berada dalam negara dan memiliki aset bernilai RM1billion (AS$241 juta)," kata Abdul Hamid dalam satu sidang media pada masa itu.

Beberapa tindakan sekatan yang dilaksanakan Amerika Syarikat (AS) terhadap Wan Kuok Koi dikatakan telah membantu Polis DiRaja Malaysia mengesan hubungan Nicky dengan kumpulan-kumpulan penjenayah di China dan kegiatan rasuah polis di negara Asia Tenggara.

Ketua Polis Negeri Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata bahawa sekatan yang dikenakan Jabatan Perbendaharaan AS telah membolehkan Polis Malaysia menghubungkaitkan jejak yang ada sehingga membongkarkan kegiatan jenayah Geng Nicky.

Dalam operasi susulan pada April, pihak polis telah menahan seramai 12 lagi pegawai dan anggota pihak berkuasa, termasuk dua pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta beberapa orang pegawai polis.

Bagaimanapun beberapa pegawai dan anggota penguatkuasa yang ditahan kerana mempunyai kaitan dalam kes itu dilaporkan telah dilepas dengan jaminan polis pada Mei, sementara menunggu hasil siasatan polis.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh