Polis: Kanak-kanak rumah amal dipaksa jadi buruh, dirotan, didera dengan objek panas
2024.09.17
Kuala Lumpur
Sebahagian besar dari 402 kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah-rumah amal didakwa berkait dengan kumpulan ajaran sesat yang diharamkan di Malaysia didapati telah dirotan, dicederakan dengan objek panas, dibiarkan kelaparan selain turut dipaksa bekerja dan didera secara emosi, kata pihak berkuasa setelah saringan kesihatan hampir selesai.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain turut mendedahkan sebanyak 96 akaun bank telah dibekukan, berjumlah RM581,552.30 (AS$ 136,123) milik Global Ikhwan Berhad Holdings (GISBH), sebuah syarikat dikaitkan dengan kumpulan ajaran sesat al-Arqam yang telah diharamkan di Malaysia.
Dalam pada itu, perkembangan kes tersebut turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menitahkan supaya siasatan menyeluruh dibuat berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan rumah amal terbabit.
“Hasil daripada saringan tersebut memang terdapat elemen-elemen dari sudut jenayah fizikal dan emosi telah berlaku yang memerlukan penilaian lanjut lagi dari segi kesihatan emosi terhadap mangsa-mangsa yang telah kita selamatkan.
“Elemen-elemen jenayah yang telah kita kesan adalah penderaan fizikal dan emosi antaranya dipukul, disebat, ditekan leher dan dadanya.
“Selain itu, kita juga mengesan elemen pengantunan, buruh kanak-kanak di mana mereka yang berusia bawah 18 tahun dipaksa bekerja dan dieksploitasi untuk menjual barang, pengabaian dan juga malnutrisi atau kekurangan zat makanan dikesan dalam kalangan kanak-kanak tersebut,” kata Razarudin pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada Selasa.
Menurut beliau lagi, pembekuan akaun-akaun itu dibuat di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Langkah itu merupakan sebahagian daripada siasatan menyeluruh terhadap GISBH atas dakwaan pemerdagangan manusia dan penderaan kanak-kanak susulan serbuan besar-besaran oleh pihak berkuasa pada minggu lalu atas beberapa rumah amal didakwa milik syarikat itu, katanya.
Razarudin turut mengesahkan bahawa polis telah dua menerima laporan mengenai pendedahan penderaan kanak-kanak yang disyaki dilakukan oleh ahli GISBH, melalui dua video yang disebarkan di media sosial pada Isnin.
Salah satu dari video berkenaan berdurasi hampir dua minit dipercayai dirakam di salah sebuah rumah amal kendalian GISBH dan menunjukkan beberapa kanak-kanak lelaki menangis kesakitan akibat dirotan berkali-kali oleh seorang dewasa.
“Dua kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” tambah beliau.
GISBH merupakan sebuah organisasi dipercayai mempunyai hubung kait dengan kumpulan ajaran sesat yang diasaskan oleh Ashaari Muhammad dan mengumpulkan ribuan pengikut termasuk dari negara jiran seperti Indonesia, Thailand, dan Brunei sebelum diharamkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1994.
Ashaari pernah menjadi Pengerusi GISBH sebelum beliau meninggal dunia.
Ia mula menjadi tumpuan umum sejak Rabu lalu susulan serbuan besar-besaran yang dibuat oleh pihak berkuasa di 18 buah rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan kendalian syarikat tersebut yang menjurus kepada tangkapan hampir 200 kakitangan termasuk guru agama.
Polis turut menyelamatkan seramai 402 orang kanak-kanak berusia antara satu dan 17 tahun dilaporkan mengalami penderaan seksual seperti diliwat dan dipaksa meliwat, didoktrinkan dengan menggunakan sentimen agama selain tinggal dalam persekitaran yang daif semasa serbuan yang dinamakan Op Global itu.
GISBH yang sebelum ini menafikan bahawa rumah-rumah amal yang diserbu pihak berkuasa di bawah kelolaan mereka telah mengakui berlakunya kesalahan liwat dalam kalangan penghuninya, namun menegaskan ia hanya membabitkan segelintir individu.
Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif GISBH Nasiruddin Mohd Ali menerusi satu rakaman video yang disiarkan di Facebook rasmi GISBH pada Sabtu menyuarakan bahawa adalah tidak wajar untuk polis menahan 402 kanak-kanak untuk pemeriksaan kesihatan dan diambil keterangan.
Nasiruddin bagaimanapun menafikan kanak-kanak terbabit disuruh meliwat dan pelbagai tuduhan lain termasuk penyediaan 'air berkat' menggunakan bulu serta kaki yang berlaku sejak 30 tahun lalu.
"Memang liwat itu ada, tapi satu dua, habis kenapa nak dihukumkan semua?,” katanya.
Agong titah siasatan
Sultan Ibrahim yang memandang serius mengenai perkara itu dalam satu hantaran di laman media sosial Facebook milik baginda telah menitahkan supaya siasatan segera dan menyeluruh dibuat berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan rumah amal di bawah GISBH itu.
“Saya mahu siasatan menyeluruh dijalankan dan tindakan segera diambil,” titah baginda pada Selasa.
Sultan Ibrahim juga mengingatkan bahawa perkara berkaitan akidah umat Islam seharusnya dipelihara setiap masa dan tidak boleh dipandang ringan.
Baginda turut menasihatkan semua pihak agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau pandangan yang melampau berkaitan isu agama kerana ia amat sensitif dan mesti ditangani dengan berhati-hati.
Dalam perkembangan terbaru, Razarudin memaklumkan hanya dua buah rumah amal daripada keseluruhan 20 yang diserbu didapati berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat manakala selebihnya beroperasi secara tidak sah dan berselindung di sebalik gerakan agama bagi menjalani aktiviti mereka.
Meskipun GISBH mendakwa aktiviti amal yang dijalankan adalah sah, namun polis berkata mereka telah menemui bukti bahawa kanak-kanak telah dieksplotasi untuk bekerja dan tujuan lain sekali gus menjurus kepada pembekuan akaun bank bagi mengesan aliran kewangan serta aset berkaitan dengan syarikat tersebut
“Sebanyak 33 kertas siasatan telah dibuka dan polis telah menyiapkan tiga kertas siasatan yang akan diserahkan kepada pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi tujuan pendakwaan pada Selasa,” tambah beliau.
Seramai 159 individu, termasuk ustaz dan pengerusi rumah amal, telah ditahan untuk membantu siasatan.
GISBH kini disiasat di bawah beberapa akta termasuk Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Akta Kanak-Kanak 2001, dan Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata sejumlah 149 mangsa kanak-kanak berumur antara satu hingga 10 tahun telah diberi perintah jagaan sementara yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah Seksyen 25 (2) Akta Kanak-Kanak 2001 dan telah dipindahkan ke empat tempat yang selamat, namun lokasinya dirahsiakan.
“Baki mangsa kanak-kanak seramai 243 orang lagi yang masih ditempatkan di Pulapol akan dipindahkan ke pusat jagaan sementara secara berperingkat.
“Kebanyakan ibu bapa kepada kanak-kanak terbabit telah dikenal pasti tetapi polis belum memanggil mereka lagi kerana tiada yang tampil untuk mengaku itu adalah anak-anak mereka dan antara sebabnya mungkin kerana mereka tidak tahu bahawa anak mereka telah diselamatkan atau mungkin juga mereka tidak mahu tampil mengaku anak mereka disebabkan GISBH pernah mengaku kanak-kanak itu merupakan anak yatim."
Menurut beliau lagi Pengarah Eksekutif GISBH Nasiruddin Mohd Ali akan dipanggil untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat.
BenarNews cuba menghubungi jurucakap syarikat tersebut bagi mendapatkan komen namun masih belum menerima sebarang maklum balas.
Perlu penilaian dalaman lanjut
Profesor Psikologi dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia Siti Aisyah Panatik mencadangkan satu keperluan penilaian dalaman lanjut dari segi kesihatan emosi dapat dijalankan terhadap kanak-kanak tersebut.
Katanya penilaian itu sangat diperlukan bagi membolehkan profesional kesihatan mental memahami sejauh mana kesan penderaan tersebut terhadap kestabilan emosi, perkembangan psikologi, dan kesejahteraan keseluruhan mereka.
“Tanpa penilaian yang mendalam, terdapat risiko tinggi bahawa trauma yang dialami mungkin tidak disedari, seterusnya menyebabkan masalah psikologi yang lebih serius di kemudian hari,” kata beliau kepada BenarNews.
Pakar psikologi kanak-kanak dari SEGi Universiti Mariani Md Nor pula berpendapat kanak-kanak itu terdedah kepada penderaan seksual, fizikal dan emosi bertahun lamanya dan meninggalkan kesan amat mendalam serta memerlukan terapi jangka masa panjang bagi membolehkan mereka berintegrasi dalam masyarakat.
“Untuk pulih dan mencapai perkembangan positif, kanak-kanak ini memerlukan sokongan dan persekitaran yang baik untuk jangka masa yang lama… ini akan ambil masa bukan sebulan dua, malah lebih lama mungkin hingga enam bulan.
“Kanak-kanak ini perlu merasa selamat terlebih dahulu sebelum dapat menyesuaikan diri di tempat-tempat yang mereka berada dengan pekerja-pekerja sosial dan kaunselor yang memahami apa yang mereka alami dalam konteks membesar mengikut sudut psikologi,” katanya kepada BenarNews