Penjaga rumah amal GISBH dera kanak-kanak dihukum penjara 10 tahun
2024.09.26
Mahkamah Malaysia pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas seorang lelaki kerana membahayakan nyawa kanak-kanak, dalam penyelesaian pantas kepada satu kes difailkan dalam skandal penderaan kanak-kanak yang mengejutkan terbongkar baru-baru ini.
Kes terhadap lelaki berusia 23 tahun itu tidak dibicarakan kerana dia mengaku bersalah dan menyesal kerana merotan dan mencederakan kanak-kanak di salah sebuah rumah kebajikan yang dimiliki oleh sebuah konglomerat yang terbabit dalam skandal itu.
Muhammad Barur Rahim Hisam yang bertugas sebagai penjaga asrama rumah amal milik Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) mengaku bersalah mendera tiga kanak-kanak di bawah jagaannya.
Dia membuat pengakuan tersebut atas empat pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman bagi kesalahan berkaitan pengabaian kanak-kanak di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Klang, Selangor, Noridah Adam.
Mengikut fakta kes, lelaki tersebut dituduh merotan dua orang kanak-kanak berumur 10 dan 11 tahun sekitar Jun dan Julai 2024 di Sekolah Rendah Islam Miftahul Hikmah di Bukit Raja, Klang dengan menggunakan sebatang rotan sebanyak lima dan enam kali sehingga mendatangkan cedera.
Dia turut didakwa merotan serta menekan dada mangsa ketiga, kanak-kanak berumur sembilan tahun menggunakan lutut sehingga lebam dalam dua kejadian pada Jun dan September di lokasi yang sama.
Hakim Noridah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan merotan mangsa pertama dan kedua manakala bagi kesalahan merotan dan menindih mangsa ketiga, tertuduh dikenakan hukuman selama tiga tahun setiap satu pertuduhan.
“Kesemua hukuman bermula dari tarikh tangkapan pada 11 September lalu dan dijalankan secara berasingan,” kata Hakim Noridah selepas mempertimbangkan permohonan dan hujahan dari pihak pendakwaraya dalam prosiding yang berlangsung lebih satu jam.
Mahkamah turut mengenakan bon kelakuan baik selama lima tahun terhadap tertuduh bersama cagaran RM10,000 (AS$2,421) dan dengan seorang penjamin.
Jika gagal melaksanakan bon, tertuduh boleh dihukum hukuman penjara selama enam bulan bagi setiap pertuduhan.
Berdasarkan maklumat pihak berkuasa, sekolah berkenaan diusahakan oleh GISBH, sebuah kumpulan berunsur keagamaan yang bergerak sebagai sebuah entiti perniagaan dan mempunyai rangkaian operasi di peringkat tempatan serta antarabangsa selain mempunyai jaringan institusi pendidikan serta rumah kebajikannya sendiri.
Kumpulan berkenaan baru-baru ini menjadi sasaran operasi besar-besaran oleh polis dan beberapa agensi penguatkuasaan undang-undang yang lain, selepas terdapat laporan berlakunya aktiviti jenayah oleh kumpulan itu termasuk dakwaan pengabaian kanak-kanak, penderaan dan serangan seksual di rumah-rumah kebajikan dioperasikan GISBH.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan siasatan sedang dilakukan terhadap beberapa rakaman video yang tular di media sosial berkaitan penderaan terhadap kanak-kanak dipercayai penghuni rumah amal GISBH.
Penderaan kanak-kanak
Menerusi rakaman video yang tular itu, salah satu daripadanya yang berdurasi seminit sembilan saat menunjukkan seorang kanak-kanak sedang menahan kesakitan sambil menangis dipercayai akibat dadanya ditindih dengan lutut oleh seorang lelaki.
Dalam satu lagi rakaman video berdurasi 42 saat, kelihatan kanak-kanak lelaki dirotan seorang lelaki pada bahagian tapak tangan beberapa kali menyebabkan kanak-kanak itu merintih kesakitan.
Selain isu penderaan, GISBH juga disyaki meneruskan pegangan tarikat Aurad Muhammadiah yang diisytiharkan sesat dan diharamkan oleh kerajaan Malaysia sejak era 1980-an.
Menurut kenyataan media dikeluarkan polis pada Rabu, kumpulan tersebut dikatakan telah mendoktrinasi para pengikut mereka menggunakan pegangan tersebut supaya mereka "mendewakan" pemimpin bagi memudahcara aktiviti perniagaan mereka.
"Doktrin ini sangat berbahaya kepada keselamatan negara khususnya ajaran agama Islam di negara ini dan kebajikan serta masa depan pengikut-pengikutnya yang bergantung sepenuhnya kepada pemimpin-pemimpin mereka sahaja," kata Razarudin dalam kenyataan tersebut.
Menurut laporan media tempatan, pihak berkuasa telah berjaya menyelamatkan lebih 570 orang kanak-kanak selepas menyerbu lebih 20 buah rumah kebajikan yang dioperasikan GISBH. Selain itu, polis juga telah menahan kira-kira 200 individu yang disyaki menganggotai kumpulan berkenaan, termasuk sejumlah pemimpin tertinggi mereka.
Dalam tindakan terbaru pihak berkuasa, seramai 34 orang ahli GISBH telah ditangkap semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) setelah reman mereka tamat pada Rabu.
SOSMA membenarkan pihak berkuasa untuk menahan individu yang disyaki terlibat dalam kes yang boleh menganggu gugat keselamatan negara selama 28 hari tanpa dirujuk ke mahkamah terlebih dahulu.