Saudara-mara mangsa pengeboman Bali mahu hadiri perbicaraan Hambali
2024.01.27
Teluk Guantanamo, Cuba, dan Kuala Lumpur
Saudara-mara mangsa yang terbunuh dalam pengeboman Bali 2002, yang menyaksikan hukuman dijatuhkan terhadap dua rakyat Malaysia terlibat serangan itu, pada Sabtu berkata mereka akan kembali ke Cuba untuk menghadiri perbicaraan lelaki Indonesia, Encep Nurjaman atau lebih dikenali sebagai Hambali, yang dituduh menjadi dalang kejadian itu.
Di Malaysia pula, abang kepada seorang daripada tertuduh menyuarakan kesedihannya namun lega selepas hakim memutuskan pada Jumaat bahawa kedua-dua lelaki rakyat Malaysia itu mesti menjalani hukuman penjara lima tahun lagi, sebagai tambahan kepada tempoh dua dekad penahanan mereka.
"Sebenarnya, ini semua tentang Hambali," kata warganegara Britain Susanna Miller kepada BenarNews dan seorang lagi wartawan di lobi sebuah hotel di pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat di Guantanamo, di mana prosiding hukuman berakhir pada Jumaat. "Ini adalah latihan untuk perbicaraan [dia]."
Dia merujuk kepada Hambali, yang dituduh menjadi dalang pengeboman berani mati pada 12 Oktober 2002, di tempat hiburan di Kuta, Bali, yang mengorbankan 202 orang. Abangnya, Dan Miller, terkorban dalam pengeboman itu pada usia 31 tahun manakala isterinya yang baru dikahwini selama lima minggu, Polly, melecur teruk hampir separuh badannya.
Lima daripada saudara-mara mangsa yang memberi keterangan semasa perbicaraan minggu ini berusaha bertemu wartawan pada Sabtu di pangkalan tentera laut itu, di mana wartawan diiringi pihak tentera sepanjang masa dan mesti menyerahkan sebarang gambar untuk ditapis oleh pihak berkuasa itu.
Miller dan peguam Britain, Mathew Arnold, yang abangnya, Timothy, turut terbunuh dalam serangan itu, berkata mereka telah pergi ke Guantanamo sebelum ini untuk menghadiri prosiding praperbicaraan untuk dua rakyat Malaysia itu dan Hambali.
Peluang untuk mengambil bahagian dalam proses kehakiman itu walaupun setelah dua dekad kemudian nampaknya memberi ketenangan kepada saudara-mara mangsa, yang menggambarkan bagaimana trauma kejadian maut itu telah memberi kesan kepada beberapa generasi mereka.
Anak lelaki Susanna, Solomon Lamagni-Miller, 18, berkata dia berharap dapat membantu neneknya pergi ke Cuba untuk mengikuti perbicaraan Hambali. Walaupun dia tidak dilahirkan pada masa pengeboman itu berlaku, namun Solomon berkata kejadian itu sentiasa menjadi sebahagian daripada hidupnya.
"Setiap tahun pada tarikh 12 haribulan itu, kami pergi ke upacara peringatan yang diadakan di London,“ katanya.
Kes mahkamah Hambali dipisahkan daripada kes dua rakyat Malaysia, Mohammed Farik bin Amin dan Mohammed Nazir bin Lep pada penghujung tahun lepas. Hambali mungkin kembali ke mahkamah pada April ini untuk pengemukaan beberapa usul perundangan.
Mohammed Farik, 48, dan Mohammed Nizar, 47, mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh dan beberapa pertuduhan lain di mahkamah pada minggu lepas. Dokumen pertuduhan menyatakan bahawa kedua-dua lelaki itu telah membantu menyembunyikan mereka yang bersubahat selepas serangan itu.
Kedua-duanya ditangkap di Thailand pada 2003 dan dibawa ke tapak hitam CIA di mana mereka diseksa, menurut laporan Senat AS. Mereka kemudian dibawa ke Guantanamo pada 2006, dan perbicaraan mereka di mahkamah tentera itu bermula pada 2021.
Semasa bercakap kepada saudara-mara mangsa buat kali pertama pada minggu ini, kedua-dua lelaki itu berkata mereka sedia bertanggungjawab atas tindakan yang dilakukan dan mereka juga sudah berubah.
Indonesia melaksanakan hukuman mati pada 2008 terhadap tiga pengebom Bali yang telah disabitkan kesalahan. Beberapa lelaki lain yang dikaitkan dengan serangan itu pula dipenjarakan atau terbunuh dalam operasi pihak berkuasa memerangi keganasan.
Tetapi tiga lelaki itu berakhir di Guantanamo, fasiliti kontroversi yang dibina untuk tahanan "perang melawan keganasan" AS berikutan serangan maut 11 September.
Saudara-mara mangsa yang ditemui pemberita pada Sabtu menyatakan bahawa mereka menerima keputusan mahkamah itu, walaupun hukuman yang disyorkan selama 23 tahun telah dikurangkan kepada lima tahun di bawah terma perjanjian pengakuan.
"Ini memulihkan keyakinan saya terhadap suruhanjaya tentera," kata Matthew Arnold, merujuk kepada prosiding menjatuhkan hukuman baru-baru ini. Beliau memberitahu bahawa tertuduh telah diwakili dengan sewajarnya oleh peguam mereka.
Sedih dan jejas prosiding
Dalam pada itu, keluarga Mohammed Nazir mengetahui hukuman itu pada lewat Jumaat, menurut abangnya.
"Kami lega kerana adanya penamatan bagi penahanan mereka. Kami sedih kerana dia masih perlu menjalani hukuman penjara beberapa tahun lagi. Namun, secara keseluruhannya kami gembira kerana perkara ini sudah pun berakhir.
"Sama ada dia akan dihantar pulang atau tidak, saya tidak tahu. Semuanya bergantung kepada kerajaan AS," kata Najib Lep kepada BenarNews semasa dihubungi melalui telefon di bandar kelahiran keluarga itu di negeri Johor.
Keluarga Mohammed Nazir tidak hadir pada prosiding perbicaraan tertuduh itu selepas mereka "berubah fikiran pada saat-saat akhir," kata abangnya.
“Dia sangat merindui kami dan dia takut tidak dapat mengawal emosinya, dan itu akan menjejaskan prosiding. Kami tidak mahu itu berlaku. Kami mahu dia fokus. Saya berharap untuk melawatnya selepas ini. Insya-Allah, tidak lama lagi,” kata Najib lagi.
Sementara itu, dua abang Mohammed Farik telah memberi kenyataan semasa hadir memberi sokongan kepada adik mereka di mahkamah pada Khamis. Mohammed Fadil Amin, anak sulung daripada 10 berdik, berkata beliau mendengar keterangan saudara-mara mangsa pada Rabu. Mohammed Farik merupakan anak yang keenam.
“Buat pertama kali saya mendengar cerita yang menyayat hati seperti ini,” katanya semasa bercakap dalam Bahasa Inggeris. "Saya harap saya boleh memeluk semua orang."
Mohammed Fadil, yang tinggal di Kuala Lumpur, berkata ibu bapa mereka telah mengajar mereka untuk mengikuti ajaran Islam. Ibu mereka memastikan bahawa mereka solat, mempunyai tingkah laku yang baik, jujur serta membesar sebagai insan berguna.
Seorang arkitek, Mohammed Fadil belajar di England manakala adik perempuannya melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat.
Mohammed Faizal pula mengikut jejak abangnya untuk memberikan keterangan di kandang saksi – beliau adalah anak kelima dalam keluarga mereka.
Berusaha menahan sebak ketika memberi keterangan, Mohammed Faizal berkata beliau dan adiknya, Mohammed Farik rapat ketika mereka kecil.
“Kami membesar bersama. Kami main sembunyi-sembunyi bersama,” katanya.
Mohammed Faizal menyifatkan adiknya sebagai seorang yang pemalu dan rendah hati serta menambah bahawa dia adalah yang paling alim dalam kalangan mereka 10 beradik.
Katanya beliau gembira apabila Mohammed Farik mengaku bertanggungjawab atas tindakannya sambil menambah beliau tidak tahu apa kesan pengakuan itu.