Tahanan Asia Tenggara di Guantanamo Dihadapkan di Mahkamah Tentera AS

Hambali memohon agar peguam Indonesia turut menyertai pasukan pembelaannya.
John Bechtel
Fort Meade, Maryland
2021-08-30
Share
Tahanan Asia Tenggara di Guantanamo Dihadapkan di Mahkamah Tentera AS Foto yang dirakam pada 29 Ogos 2021, dan telah disemak oleh pegawai tentera Amerika Syarikat (AS), menunjukkan bendera negara itu dikibarkan separuh tiang sebagai tanda menghormati mangsa yang terbunuh dalam serangan pengganas di Afghanistan pada minggu lalu, di luar fasiliti tentera AS yang menempatkan tiga tahanan Asia Tenggara yang akan dihadapkan ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan keganasan
[AP]

KEMASKINI pada 7 petang waktu tempatan ETS - 2021-08-30

Pendakwaan terhadap tiga tahanan Asia Tenggara bermula pada Isnin dengan kesemua lelaki itu, yang ditahan selama 18 tahun oleh Amerika Syarikat (AS), dihadapkan buat pertama kalinya di sebuah mahkamah tentera di Stesen Tentera Laut di Teluk Guantanamo, Cuba.

Dengan berjanggut dan memakai pelitup separuh muka serta berbaju kemeja dan berseluar hitam atau putih, mereka duduk tanpa dikawal ketika hakim tentera AS bertanya sama ada mereka berpuas hati dengan wakil guaman masing-masing, sejurus selepas prosiding bermula.

Lelaki yang dituduh mendalangi pengeboman sebuah kelab malam di Bali pada 2002, yang mengorbankan 202 orang, telah meminta agar seorang peguam Indonesia turut menyertai pasukan pembelaannya.

"Saya ingin diwakili oleh seorang peguam Indonesia," kata Encep Nurjaman - yang lebih dikenal sebagai Hambali - kepada hakim tentera Komander Hayes Larsen menerusi seorang jurubahasa.

BenarNews membuat liputan pendakwaan itu dari sebuah pangkalan tentera AS berhampiran ibu negara AS, yang diaturkan untuk media oleh Pejabat Suruhanjaya Tentera.

Pendakwaan itu sepatutnya diadakan pada Februari lalu tetapi ditunda berikutan kebimbangan mengenai pandemik koronavirus.

Pada 2017, pentadbiran Trump mengumumkan bahawa ia merancang untuk mendakwa Hambali dengan pertuduhan berkaitan keganasan. Dan pada Januari 2021, lapan hari selepas Presiden Joe Biden mengangkat sumpah sebagai ketua komander, Pejabat Suruhanjaya Tentera mengumumkan bahawa Hambali dan dua rakyat Malaysia itu akan dihadapkan di sebuah mahkamah tentera.

Pendakwaan terhadap ketiga-tiga lelaki itu adalah yang pertama dilakukan di Guantanamo dalam masa tujuh tahun, menurut New York Times.

Tiga rakyat Asia Tenggara itu adalah antara 39 tahanan yang dipenjarakan di pangkalan Tentera Laut AS, menurut laporan itu. Semasa kemuncak usaha AS memerangi keganasan susulan serangan 9/11 oleh al-Qaeda di New York dan Washington, penjara tentera itu menahan hampir 800 suspek pengganas dari seluruh dunia.

Lima tahanan lain yang dituduh merancang dan membantu serangan tersebut di bumi Amerika kira-kira 20 tahun lalu telah didakwa pada Mei 2012 tetapi kes mereka masih dalam fasa pra-perbicaraan tanpa sebarang penjadualan tarikh perbicaraan, lapor Associated Press.

Isu jurubahasa

Perbicaraan Isnin bermula dengan kejutan apabila peguam warganegara Indonesia, Hambali, dan peguam bagi dua rakyat Malaysia, Nazir Bin Lep dan Farik Bin Amin, mempersoalkan tahap keberkecualian dan kualiti jurubahasa asing yang disediakan oleh tentera AS.

Peguam James Hodes meminta supaya prosiding itu dirakamkan dan direkodkan.

"Saya boleh berikan telefon bimbit saya dan mereka boleh mula merakamnya," kata Hodes, peguam yang mewakili Hambali, yang janggutnya diwarnakan jingga.

Beliau kemudian berhujah bahawa jurubahasa Indonesia itu harus dikeluarkan daripada kes tersebut dan mendakwa bahawa penterjemah itu bersikap berat sebelah.

"Jurubahasa Indonesia ini telah membuat kenyataan bahawa mereka ini adalah pengganas dan perlu dibunuh," kata Hodes kepada hakim. "Itu satu daripada sebabnya."

Terdahulu, Hodes menyuarakan kebimbangannya mengenai seorang jurubahasa yang berinteraksi dengan tertuduh tersebut, yang duduk bersama-sama para pendakwa raya, namun hakim Komander Larson menjawab: "Hari ini bukanlah hari untuk perkara itu."

Peguam Christine Funk pula berkata anak guamnya, Farik bin Amin, menyuarakan rasa kecewa mengenai penterjemahan semasa prosiding tersebut bermula.

Beliau berkata anak guamnya tidak mahir berbahasa Inggeris tetapi "dipaksa mendengar dua bahasa."

Hakim meminta para peguam supaya "memberi makluman balas secara perlahan dan teratur supaya kita dapat memperoleh intepretasi yang tepat."

"Saya mahu memastikan bahawa kesemua tertuduh memahami semua yang berlaku ini," kata Larsen.

Pertuduhan itu termasuklah konspirasi - pihak pendakwa raya mendakwa bahawa kesemua tertuduh bersubahat dengan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, serta yang lain untuk melakukan serangan pengganas di seluruh Asia Tenggara dan di tempat-tempat lain. Hambali dikatakan telah bertemu Osama pada 1996 di Afghanistan, kata AS.

Hambali, yang nama sebenarnya Encep Nurjaman, ditangkap di Thailand pada Ogos 2003 bersama-sama dua rakyat Malaysia itu, Mohammad Nazir Lep dan Mohd Farik Bin Amin. Mereka dihantar ke rangkaian penjara rahsia CIA sebelum dipindahkan ke penjara di Teluk Guantanamo pada September 2006.

Warganegara Indonesia itu, yang turut dikenali sebagai "Osama Asia Tenggara", menghadapi lapan pertuduhan keganasan berkaitan dengan pengeboman Bali manakala dua rakyat Malaysia itu menghadapi sembilan pertuduhan.

Kesemua pertuduhan itu tidak membawa hukuman mati.

Perbicaraan pada Isnin berakhir tanpa ketiga-tiga tertuduh itu didakwa. Kes ditangguhkan sehingga jam 9 pagi Selasa.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh