Mahkamah Guantanamo jangka rakyat Malaysia dikaitkan dengan pengeboman di Indonesia mengaku bersalah
2023.10.20
Washington
Seorang lelaki rakyat Malaysia yang meringkuk dalam penjara di Teluk Guantanamo sejak 2006 kini bersedia untuk mengaku bersalah terhadap pertuduhan melakukan keganasan bagi membolehkan dia dihantar pulang ke tanah air dan perkara itu akan dibincang pada perbicaraan kes tersebut minggu depan, demikian menurut satu dokumen mahkamah.
Dokumen itu menamakan rakyat Malaysia Mohammed Farik bin Amin sebagai defendan dan mengarahkannya untuk menghadiri perbicaraan pada Isnin di Pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) di Cuba.
Dia dan seorang lagi rakyat Malaysia iaitu Mohammed Nazir bin Lep, yang turut ditahan di Guantanamo, telah didakwa oleh pihak tentera AS berhubung insiden pengeboman maut di Bali dan Jakarta pada 2002 dan 2003.
“Suruhanjaya Tentera AS akan memanggil tertuduh untuk membuat pengakuan selaras dengan syarat tawaran bagi perjanjian praperbicaraan... Suruhanjaya akan menjalankan siasatan berhubung peruntukan yang membabitkan pengakuan tertuduh,” menurut dokumen itu.
“Suruhanjaya itu juga akan terus menyiasat terma dan syarat PTA [perjanjian praperbicaraan] itu bagi memastikan terdapat persetujuan di antara pihak berkuasa yang bersidang bagi mendengar kes itu dan tertuduh serta pemahaman bersama mengenai maksud dan kesan PTA tersebut,” katanya.
Satu lagi dokumen dalam kes itu menyaksikan penambahan defendan kedua.
“Ia telah dipinda bagi memasukkan Mohammed Nazir bin Lep,” kata Ron Flesvig, jurucakap Pejabat Suruhanjaya Tentera AS kepada BenarNews.
Flesvig berkata bagaimanapun, beliau tidak pasti sama ada satu perjanjian berhubung pengakuan itu akan dibuat pada Isnin.
Mahkamah telah membenarkan peguam Mohammed Nazir iaitu Brian Bouffard dan dua lagi yang ditugas mengendalikan kes tersebut untuk tidak hadir pada prosiding dua hari iaitu Isnin dan Selasa kerana mereka akan “terlibat dalam tugasan yang berkaitan misi di Asia Tenggara.”
Butiran tugasan itu bagaimanapun tidak dinyatakan.
Mohammed Nazir dan Mohammed Farik telah didakwa dengan pertuduhan bersubahat, membunuh, cuba membunuh, dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah, melakukan keganasan, menyerang orang awam, menyerang objek awam dan memusnahkan harta benda yang dikaitkan dengan insiden pengeboman maut di Bali dan Jakarta. Ia termasuk pengeboman berganda yang meragut 202 nyawa di Bali pada Oktober 2002 – iaitu serangan pengganas terburuk pernah berlaku di Indonesia.
Anggota polis memeriksa runtuhan sebuah kelab malam yang musnah dalam insiden letupan bom di Kuta, Bali, Indonesia, 13 Okt 2002 [Gambar fail AP]
Peguam utama Mohammed Farik iaitu Christine Funk bagaimanapun tidak memberikan maklum balas kepada permintaan BenarNews untuk mendapatkan komen.
Sementara itu, Bouffard memaklumkan akhbar The New York Times bahawa “Mohammed Nazir akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan AS.”
Kes berasingan
Kedua-dua rakyat Malaysia, bersama seorang rakyat Indonesia iaitu Encep Nurjaman (juga dikenali sebagai Hambali) telah ditahan di penjara tentera AS di Guantanamo selama 17 tahun.
Susulan penahanan mereka di Thailand pada 2003, ketiga-tiga lelaki telah dihantar ke penjara rahsia CIA di luar negara yang digelar sebagai lokasi hitam di mana mereka diseksa, demikian menurut laporan Senat AS pada 2014.
Hambali pula dijadual hadir bersendirian pada prosiding perbicaraan yang berlangsung selama dua hari mulai Rabu. Ketiga-tiga lelaki sepatutnya dibicarakan bersama namun mahkamah memerintahkan agar kes Mohammed Farik dan Mohammed Nazir diasingkan daripada kes Hambali.
Pada September, BenarNews melaporkan bahawa beberapa pegawai atasan Malaysia telah bertemu dengan rakan sejawat di AS bagi membolehkan pasangan itu kembali ke tanah air mereka.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau telah membincangkan perkara itu dengan Tina Kaidanow, wakil khas AS untuk hal ehwal Guantanamo semasa berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Saifuddin berkata beliau juga telah pergi ke penjara itu, yang terletak di Cuba, untuk bertemu kedua-dua defendan namun tidak menyatakan bila beliau berbuat demikian.
“Kisah mereka membuatkan saya benar-benar tersentuh. Ini bertitik tolak mengenai kehidupan, keinsafan dan peluang untuk menjadi insan yang lebih baik,” kata Saifuddin dalam hantaran di laman Facebook yang kemudian dipadam. “Insya-Allah, kita akan berusaha mempercepat urusan untuk mereka kembali ke Malaysia.”
Ketika itu, peguam Jim Hodes memaklumkan BenarNews bahawa anak guamnya, Hambali, gembira apabila mengetahui bahawa Mohammed Nazir dan Mohammed Farik mungkin berpeluang untuk kembali ke Malaysia.
“Dia mengharapkan perkara yang sama untuk dirinya,” kata Hodes.