Polis Malaysia selamatkan 400 kanak-kanak dari rumah amal terkait ajaran sesat
2024.09.11
Kuala Lumpur
Pihak berkuasa Malaysia telah menyelamat lebih 400 kanak-kanak yang didakwa terpaksa hidup dalam keadaan daif dengan ramai menghadapi hukuman fizikal dan penderaan seksual di rumah amal yang dikaitkan dengan bekas anggota kumpulan ajaran sesat Al-Arqam yang telah diharamkan dalam operasi besar-besaran pasukan polis negara itu di dua negeri pada Rabu.
Hampir 200 kakitangan termasuk guru agama ditahan semasa serbuan ke atas 18 rumah amal di Selangor dan dua lagi di Negeri Sembilan milik syarikat yang dikaitkan bekas anggota kumpulan ajaran sesat itu.
Penyiasat berkata mangsa berusia antara satu dan 17 tahun dilaporkan mengalami penderaan seksual dan didoktrinkan dengan menggunakan sentimen agama.
“Apa yang kita lihat kegiatan mendoktrin kanak-kanak ini dengan memperalatkan agama adalah satu perkara tidak baik,” kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain pada satu sidang media di Pahang.
“Daripada siasatan awal didapati mereka didoktrin dari usia muda dan dimanipulasi oleh orang dewasa yang menguruskan rumah amal terbabit.”
Tambah beliau, kebanyakan kanak-kanak terbabit dipaksa meminta derma dengan berselindung di sebalik kegiatan amal.
Razarudin berkata enam suspek utama termasuk seorang guru agama perempuan dan lima lelaki yang berperanan sebagai penyelia telah ditahan.
Polis juga telah membuka beberapa kertas siasatan terhadap syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Polis telah membuka lapan kertas siasatan dan bekerjasama rapat dengan Pejabat Peguam Negara bagi tindakan selanjutnya.
“Satu daripada kertas siasatan telah mendapat arahan pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” jelas Razarudin.
Seksyen tersebut memperuntukkan kesalahan melibatkan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak kepada kecederaan fizikal atau emosi yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 [AS$4,597] atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Serbuan besar-besaran tersebut dijalankan susulan beberapa laporan berhubung kes penderaan yang diterima awal bulan ini termasuk dakwaan pengabaian serius dan amang seksual yang membawa kepada penangkapan enam suspek utama itu.
Dalam salah satu laporan polis yang dibuat di Port Dickson, Negeri Sembilan, pengadu memperincikan contoh kanak-kanak dipaksa terlibat dalam kegiatan seksual, menurut polis.
Rumah amal yang terlibat dalam serbuan tersebut didakwa membabitkan GISBH, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan bekas anggota Al-Arqam yang telah diharamkan oleh kerajaan kerana didapati mempromosikan ajaran yang bercanggah daripada akidah Islam.
Penderaan seksual
Razarudin turut mendedahkan kebanyakan kanak-kanak yang diselamatkan bukan merupakan anak yatim seperti yang didakwa sebelum ini sebaliknya anak kepada ahli-ahli GISBH yang ditempatkan di rumah-rumah amal seawal usia satu hingga dua tahun sebagai salah satu usaha pendoktrinan.
“Daripada maklumat risikan yang diterima antara modus operandi yang digunakan adalah mangsa (kanak-kanak) diajar dan dididik cara-cara meliwat dan seterusnya menjadi mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak lain.
“Tubuh badan mangsa turut disentuh dengan alasan melakukan rawatan secara perubatan Islam,” kata beliau.
Selain penderaan seksual dan eksploitasi untuk mengaut keuntungan dengan cara kutipan derma, Razarudin mendedahkan mengsa yang tidak sihat tidak dibenarkan mendapatkan rawatan di klinik sehingga keadaan kritikal di samping mangsa dicederakan dengan menggunakan objek panas sebagai hukuman atas kesilapan yang dilakukan.
Sejak 2011 sehingga minggu lalu, sebanyak 41 laporan polis telah dibuat ke atas GISBH di seluruh negara, kata beliau.
“Kesemua kanak-kanak yang diselamatkan akan menjalani saringan awal pemeriksaan kesihatan dan proses dokumentasi di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.
“Mungkin ambil masa selama 14 hari untuk melakukan saringan kerana terlampau ramai dan tertakluk kepada keperluan lain,” tambah Razarudin.
Walaupun kumpulan yang diasaskan oleh Ashaari Muhammad berlandaskan pegangan Aurad Muhammadiah telah diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1994, pengikutnya dipercayai meneruskan operasi mereka secara tersembunyi menggunakan nama yang berbeza.
Apabila ajaran Al-Arqam diharamkan, Ashaari ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari 2 hingga 24 September 2004 sebelum ditahan mengikut Akta Kediaman Terhad di Rawang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Labuan selama 10 tahun.
Ashaari menimbulkan kontroversi kerana pernah mendakwa beliau berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW secara sedar atau disebut 'yaqazah' dan meramalkan dirinya bakal menjadi perdana menteri Malaysia selepas Mahathir Mohamad.
Ashaari meninggal dunia di Hospital Ipoh Specialist Center, Perak pada 13 Mei 2010 kerana jangkitan paru-paru.
Sementara itu, GISBH dalam satu kenyataan menafikan dakwaan yang mengaitkan syarikat tersebut dengan kes eksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja.
“Kami menafikan tuduhan tersebut dan menegaskan bahawa kami sekali-kali tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang khususnya dalam melibatkan kanak-kanak sebagai pekerja.
“Kami bersedia untuk memberikan kerjasama dengan pihak berwajib bagi menyelesaikan isu ini,” menurut kenyataan itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar pada Sabtu lalu memberi amaran berkenaan segala aktiviti bertentangan dengan ajaran Islam ekoran dakwaan di media sosial berhubung penglibatan GISBH dalam mempromosikan fahaman yang dianggap bercanggah dengan Islam.
“Ini adalah perkara serius yang boleh menjejaskan pegangan asas kepercayaan kita,” kata Mohd Na’im dalam satu kenyataan pada minggu lalu.
“Sebarang aktiviti yang mungkin menyelewengkan akidah umat Islam haruslah segera dilaporkan kepada pihak berkuasa.”
BenarNews turut menghubungi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri untuk mendapatkan ulasan berhubung kes eksploitasi kanak-kanak dalam serbuan polis itu namun masih belum menerima maklum balas.
Sementara itu, Profesor Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Ahmad Fauzi Abdul Hamid yang telah menulis beberapa kajian akademik mengenai Al-Arqam berkata meskipun kumpulan tersebut diharamkan kerana mempromosikan ajaran sesat, GISBH tidak semestinya berkait langsung dengan kumpulan itu.
“Global Ikhwan bukan dari kumpulan Darul Arqam namun mempunyai hubung kait dengan Rufaqa, serpihan daripada kumpulan itu,” kata Ahmad Fauzi kepada BenarNews.
Beliau mengakui kebarangkalian terdaat segelintir daripada ahli GISBH yang masih meneruskan ajaran yang diamalkan oleh Al-Arqam walaupun ahli kumpulan tersebut telah bersetuju meninggalkan ajaran terdahulu sebagai sebahagian daripada persetujuan yang dibuat dengan kerajaan pada 2013.
“Sekiranya terdapat ahli yang masih degil mahu beramal dengan ajaran terdahulu sedangkan kumpulan itu sudah bersetuju untuk tinggalkannya pada 2013, maka wajar untuk pihak berkuasa mengambil tindakan,” katanya.
Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.