COVID-19: Syarikat Malaysia Beri Amaran Kekurangan Kronik Sarung Tangan Akibat PKP

Hadi Azmi
2020.03.25
Kuala Lumpur, Malaysia
200325-MY-COVID-Glove1000.jpg Seorang pekerja memeriksa sarung tangan getah pakai buang di kilang Top Glove di Klang, dekat Kuala Lumpur, 25 September 2009.
[Reuters]

Syarikat-syarikat pengeluar sarung tangan getah di Malaysia pada Rabu menggesa kerajaan supaya mengecualikan mereka daripada Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan di seluruh negara, dengan memberi amaran akan berlakunya "kekurangan kronik" produk itu berikutan pengurangan tenaga kerja di tengah-tengah lonjakan permintaan daripada hospital-hospital seluruh dunia yang sedang berusaha memerangi koronavirus.

Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) - pengeluar sarung tangan perubatan terbesar di dunia - membuat rayuan itu ketika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa kerajaan melanjutkan lagi perintah kawalan pergerakan itu sehingga pertengahan April bagi mengekang penularan koronavirus.

"Ini adalah permintaan dari seluruh dunia yang akan menjadi sangat mencabar berikutan pelaksanaan PKP, di mana pengeluar sarung tangan getah dibenarkan beroperasi dengan hanya 50 peratus tenaga kerja mereka," kata persatuan itu yang menggunakan akronim  Perintah Kawalan Pergerakan, yang pada mulanya dilaksanakan sehingga 31 Mac tetapi kini dilanjutkan sehingga 14 April.

"Ini bermakna hanya separuh daripada kuantiti normal sarung tangan yang dapat dihasilkan dan ia benar-benar boleh menyebabkan berlakunya kekurangan kronik produk itu di dunia," kata persatuan itu.

Pengeluar sarung tangan getah Malaysia sebelum ini merungut bahawa wabak itu juga telah menyebabkan penutupan kilang pengeluar kotak kadbod, yang menyukarkan ahli-ahli MARGMA untuk membungkus dan menghantar keluar produk mereka.

Terdahulu, pihak berkuasa kesihatan negara itu mengesahkan sebanyak 172 kes baru jangkitan COVID-19 yang menjadikan jumlah kes itu di Malaysia adalah sebanyak 1,796 dengan 17 kematian. Negara majoriti penduduk Islam itu kekal sebagai negara ketiga tertinggi bagi kes itu di Asia selepas China dan Korea Selatan.

Keperluan mendesak bagi lebih banyak bekalan sarung tangan pakai buang meningkat pada Selasa apabila Amerika Syarikat menarik balik larangannya yang dikenakan pada September 2019 ke atas syarikat pengeluar sarung tangan Malaysia, WRP Asia Pacific Sdn. Berhad, yang pengeluarannya didakwa menggunakan buruh secara paksa.

Pihak berkuasa kastam telah menyekat kemasukan produk itu ke pasaran Amerika Syarikat bersama-sama dengan produk pakaian yang dihasilkan oleh pengilang pakaian di wilayah Xinjiang, China.

Untuk mengekang penularan COVID-19 secara mencegah kontak sesama manusia, Perdana Menteri Muhyiddin memberitahu rakyat Malaysia menerusi satu perutusan khas yang disiarkan semua stesen televisyen bahawa beliau akan melanjutkan perintah kawalan pergerakan itu sehingga 14 April.

"Pola kes positif COVID-19 yang baru masih berlaku dan ia dijangka berterusan untuk beberapa ketika sehingga ia mula menurun," katanya. "Saya diberikan taklimat oleh Majlis Keselamatan Negara bahawa kita akan melihat lebih banyak kes baru jika kita tidak bertindak dengan cepat."

Kesan daripada pelaksanaan perintah kawalan pergerakan sejak seminggu lalu telah banyak memberi kesan kepada perniagaan termasuk pengeluar sarung tangan. MARGMA berkata para pekerjanya terpaksa bekerja lebih masa semasa perintah itu bagi menghasilkan sarung tangan tetapi hanya menggunakan separuh daripada jumlah tenaga kerja biasa.

"Malaysia menggunakan kira-kira 120 juta pasang sarung tangan setiap tahun dan ini dapat dipenuhi dengan mudah, dan kami memberi jaminan kepada [menteri kesihatan] bahawa tidak akan ada kekurangan bekalan," kata kenyataan persatuan itu. Ia berkata syarikat pengeluar akan terus mengadakan perbincangan dengan kerajaan supaya membenarkan mereka menghasilkan sarung tangan dengan menggunakan keseluruhan tenaga kerja dalam usaha mengekang virus itu.

Malaysia dijangka mengeluarkan 225 bilion pasang sarung tangan perubatan tahun ini yang merupakan kira-kira 65 peratus daripada jumlah keperluan dunia iaitu sebanyak 330 bilion pasang, kata kenyataan itu.

Presiden persatuan itu Denis Low berkata perintah kawalan pergerakan itu boleh menjejaskan usaha global untuk membendung wabak koronavirus.

"Kami percaya kerajaan mempunyai rasa belas kasihan dan Perdana Menteri dan menteri-menteri kita akan membantu dalam memerangi coronavirus COVID-19 ini yang telah menjejaskan dunia," katanya dalam kenyataan itu, sambil menekankan bahawa kerja lebih masa berikutan kekurangan tenaga kerja akan meningkatkan kos pengeluaran sehingga 30 peratus.

Tidak lagi guna buruh paksa


Sementara itu, pihak berkuasa Custom and Border Protection (CBP) Amerika Syarikat mengumumkan pada Selasa bahawa ia telah menarik balik larangan kemasukan sarung tangan getah yang diimport daripada pengeluar Malaysia, WRP Asia Pasifik, yang sebelum ini didakwa terlibat dengan penggunaan buruh secara paksa.

Undang-undang AS melarang pengimportan produk yang dihasilkan dengan mengguna tenaga buruh secara paksa termasuk banduan dan kanak-kanak. Pihak berkuasa kastam menyekat kemasukan produk itu  dengan menggunakan Perintah Larangan Pelepasan (WMP).

"WRO, yang pada mulanya dikenakan terhadap syarikat itu pada September 2019, telah dibatalkan berdasarkan maklumat  yang diperoleh CBP baru-baru ini yang menunjukkan syarikat itu tidak lagi mengeluarkan sarung tangan getah dengan menggunakan buruh secara paksa," kata Brenda Smith, penolong pesuruhjaya eksekutif CBP dalam kenyataan.

"Kami sangat gembira kerana usaha ini berjaya mengurangkan dengan ketara risiko rantaian bekalan," katanya.

Washington sebelum ini membenarkan pengimportan produk tertentu yang dihasilkan oleh buruh paksa sekiranya produk itu tidak dihasilkan "dalam kuantiti yang sebanyak itu di Amerika Syarikat bagi memenuhi permintaan penggunaan Amerika Syarikat," menurut CBP.

Apabila produk WRP Asia Pasifik disekat, pegawai kastam turut mengumumkan larangan berdasarkan WRO terhadap pakaian yang dihasilkan oleh Hetian Taida Apparel Company di Xinjiang, dengan mendakwa produk itu "dihasilkan dengan pihak penjara atau buruh paksa."

Xinjiang adalah wilayah China yang menimbulkan keresahan ramai di mana  pakar dan aktivis PBB menyatakan sekurang-kurangnya 1 juta etnik Uyghur  dan Muslim ditahan di pusat-pusat tahanan di mana mereka dipaksa bekerja dalam keadaan "teruk".

CBP, dalam kenyataannya, menegaskan bahawa ia lazimnya "menerima dakwaan tentang buruh paksa dari pelbagai sumber termasuk orang awam." Pengimport mempunyai peluang untuk sama ada mengeksport semula penghantaran yang ditahan itu pada bila-bila masa atau mengemukakan dokumen untuk mencabar keputusan CBP, katanya.

Pada Januari 2019, Kementerian Sumber Manusia Malaysia mengumumkan bahawa kerajaan akan menyaman WRP Asia Pasifik atas dakwaan bahawa syarikat pengeluar sarung tangan itu tidak membayar gaji pekerja dari Bangladesh dan Nepal, yang mencetuskan tindakan mogok oleh kira-kira 2,000 pekerja.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.