Malaysia Keluar Notis Amaran Berhubung Ancaman Penggodam Laman Web Kerajaan

Notis itu berikutan ancaman yang diterima daripada kumpulan dikenali ‘Anonymous Malaysia’ pada Isnin.
Nisha David & Noah Lee
2021.01.26
Kuala Lumpur
Malaysia Keluar Notis Amaran Berhubung Ancaman Penggodam Laman Web Kerajaan Tangkapan skrin laman web rasmi syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines setelah digodam oleh kumpulan yang menggelarkan dirinya sebagai "Official Cyber Caliphate" pada 26 Januari, 2015.
[Reuters]

Malaysia telah mengeluarkan notis amaran kepada semua agensi kerajaannya supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi kemungkinan serangan siber, sehari selepas satu kumpulan penggodam mengeluarkan ancaman yang mereka sedang berusaha membuktikan bahawa tahap keselamatan data negara itu sangat lemah serta tidak efektif.

Notis amaran itu dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara, yang berada dibawah Jabatan Perdana Menteri antara lain memaklumkan bahawa majlis itu, serta Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berkoordinasi secara bersama mengambil langkah untuk mencegah daripada ancaman pengodam laman web kerajaan.

"MKN dan NACSA memandang serius ancaman yang dikeluarkan oleh kumpulan 'Anonymous Malaysia untuk menggodam laman web kerajaan. NACSA telah mengeluarkan satu notis amaran kepada semua agensi kerajaan untuk mengambil langkah-langkah perlu bagi mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan tersebut,” demikian menurut kenyataan MKN yang dikeluarkan di Putrajaya.

Sehari sebelum itu, telah tular sebuah video pendek dimuatnaik melalui satu akaun Facebook, di mana seorang individu yang memakai topeng mengeluarkan ancaman terhadap kerajaan Malaysia, dengan mendakwa bahawa sistem keselamatan siber kerajaan Malaysia berada ditahap lemah dan telah menyebabkan kebocoran maklumat orang awam ke tangan yang salah.

Kelemahan itu adalah disebabkan sikap kerajaan yang tidak mahu belajar dari kesalahan lampau, dakwa individu itu, dengan berkata bahawa sebelum ini telah banyak kejadian laman web kerajaan digodam.

"Ini adalah mesej kepada kerajaan Malaysia. Sistem keselamatan anda adalah terlalu lemah, dan semua data terdedah kepada risiko kebocoran. Ini boleh menyebabkan kesemua maklumat dijual oleh penggodam yang tidak diingini.

"Telah terdapat banyak kes di mana lebih 46 juta data dari syarikat telekomunikasi Malaysia telah berjaya digodam sehingga kini. Mengapa kes penipuan terus meningkat dan apakah yang sedang dilakukan mengenai perkara ini? Laman web Angkatan Tentera dan banyak lagi telah berjaya digodam," kata mesej yang disampaikan melalui video tersebut.

Individu berkenaan turut mendakwa bahawa kerajaan Malaysia tidak menyokong pembangunan sistem keselamatan siber, dan tidak berminat untuk meningkatkan keupayaan keselamatan secara aktif dan enggan mengakui kelemahan mereka.

"Sudah lama kami mendiamkan diri. Sekarang masanya untuk anda membuka mata," katanya.

Kali terakhir kumpulan tersebut muncul adalah pada tahun 2015 bagi menyatakan sokongan kepada gerakan Bersih 4.0 dan mengancam untuk melancarkan serangan siber kepada kerajaan sekiranya Perdana Menteri pada masa itu, Najib Razak tidak meletakkan jawatan.

“Kerajaan amat mengambil berat dan memberi keutamaan terhadap keselamatan infrastruktur teknologi maklumat kerajaan, serta sistem-sistem kritikal negara dengan menggariskan tindakan-tindakan pengukuhan sistem teknologi maklumat, termasuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai-pegawai yang berkaitan,” tambah kenyataan tersebut.

MCSS

MKN juga berkata, Strategik Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) yang dilancarkan pada Oktober lalu, telah menggariskan tindakan bagi mengukuhkan sistem teknologi komunikasi dan maklumat dan sistem kritikal negara.

Sementara itu, Cyber Security Malaysia (CSM) ketika dihubungi BeritaBenar menyatakan sedang giat memantau dakwaan pengguna Facebook, Anonymous Malaysia yang mengeluarkan kenyataan berbaur ancaman terhadap sistem siber negara yang disifatkan berada pada tahap rendah dan berisiko berlaku kes kebocoran data.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amiruddin Abdul Wahab, berkata Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) dibawah kendalian CSM akan mengumpul maklumat berkaitan perkara itu sebelum diserahkan kepada NACSA serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk tindakan lanjut.

"CSM akan selaraskan semua maklumat dengan agensi berkaitan sebelum menyerahkannya kepada NACSA dan KKMM. Kita tidak bersetuju dengan apa yang Anonymous Malaysia lakukan semasa rakyat sedang melalui fasa penularan pandemik COVID-19," katanya kepada BeritaBenar.

Pada masa sama, CSM turut menggesa semua organisasi di sektor awam dan swasta memperkukuh keselamatan teknologi maklumat serta komunikasi, selain jangan memandang ringan soal kepentingan pelaburan keselamatan siber di organisasi masing-masing.

Sementara itu, pakar keselamatan rangkaian, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM), Zuriati Ahmad Zukarnain pula berkata, sama ada sedar atau sebaliknya, ketika pandemik ini, orang ramai lebih banyak terdedah kepada ancaman tersebut kerana banyak urus niaga dilakukan secara dalam talian.

"Tahap ancaman adalah berbeza dan berlaku pada setiap masa. Ada di antara mereka yang membuat ancaman seumpama ini adalah hendak menguji pengalaman masing-masing.

"Kalau terima mesej daripada mereka yang tidak dikenali, jangan cepat terpedaya dan buat semakan dulu," katanya.

Sementara itu, penasihat keselamatan siber, Razwan Mokhtar berkata bahawa beliau tidak pasti kenapa kumpulan Anonymous Malaysia tampil membuat ugutan itu pada masa kini, kerana isu yang ditimbulkan oleh mereka dikatakan bukan satu isu yang baru dalam sektor keselamatan siber.

"Mungkin mereka hanya mahu memberikan amaran kepada kerajaan mengenai isu lama ini. Ia bukan sesuatu yang baru. Kerajaan memang telah kehilangan banyak elemen keselamatan siber, mengupah syarikat yang tidak selayaknya, serta kekurangan pakar untuk bekerja di dalam sektor keselamatan siber," kata beliau kepada BeritaBenar.

Razwan berpendapat bahawa amaran itu adalah lebih kepada aktiviti 'hacktivism' berbanding satu ancaman serangan siber sebenar.

"Saya tidak melihat ini sebagai satu ancaman siber, tetapi lebih kepada hacktivist," kata Razwan.

Hacktivism merujuk kepada perbuatan penggodaman komputer yang dibuat dengan motif politik atau keadilan sosial, berbanding untuk meraih keuntungan.

Pada Disember lalu, rangkaian siber Angkatan Tentera Malaysia telah menjadi sasaran penggodam.

Perkara itu disahkan oleh Panglimanya Jeneral Affendi Buang dalam satu kenyataan media pada 29 Disember, namun menyatakan bahawa serangan tersebut gagal menjejaskan operasi portal sebenar dan sebaliknya hanya membabitkan segmen tertentu yang telah diletakkan di luar rangkaian.

Sejak beberapa tahun lalu, beberapa kejadian penggodaman laman web milik kerajaan telah berlaku, termasuk akaun Facebook PDRM pada 2015, manakala pada tahun 2014, puluhan laman web termasuk laman Kementerian Pendidikan dilaporkan telah digodam.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.