Malaysia: Tuntutan Goldman berhubung penyelesaian 1MDB tindakan ‘pramatang’
2023.10.12
Kuala Lumpur

Jawatankuasa Pasukan Petugas Malaysia pada Khamis berkata bahawa ia terkejut dengan tindakan ‘pramatang’ Goldman Sachs Group membawa pertikaian itu ke mahkamah timbang tara ketika penyelesaian sedang diusahakan mengenai peranan bank itu dalam skandal dana pelaburan berbilion dollar 1MDB.
Goldman Sachs menyaman kerajaan Malaysia pada Rabu, yang membuka lembaran baharu dalam pertikaian itu yang tertumpu kepada penyelesaian sebanyak AS$3.9 bilion di mana firma Wall Street itu bersetuju untuk membayar Malaysia pada 2020 berhubung peranannya dalam skim penyelewengan tersebut.
Walaupun perbincangan semakin mengecewakan kedua-dua pihak, pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas 1MDB Johari Ghani berkata beliau terkejut dengan tindakan Goldman Sachs.
“Pada ketika ini … kedua-dua pihak masih dianggap dalam peringkat perbincangan untuk menyelesaikan pertikaian secara baik, dan sebagai pihak yang terkilan, Pasukan Petugas 1MDB melihat permulaan prosiding mahkamah timbang tara oleh Goldman Sachs sebagai tindakan pramatang dan tanpa pertimbangan keperluan prasyarat yang sewajarnya,” kata Johari dalam kenyataan.
Pada 18 Ogos 2020, Goldman Sachs mengumumkan satu perjanjian dengan kerajaan Malaysia bagi menjamin pemulangan sekurang-kurangnya AS$1.4 bilion aset dan hasil berkaitan 1MDB yang dirampas di seluruh dunia sebagai menyelesaikan prosiding jenayah dan kawal selia tehadapnya.
Penyelesaian itu juga mewajibkan pembayaran interim sebanyak AS$250 juta oleh Goldman Sachs jika Malaysia tidak memperoleh sekurang-kurangnya AS$500 juta dalam aset dan hasil menjelang Ogos 2022, menurut bank itu dalam satu kenyataan pada tahun itu.
Kedua-dua pihak tidak bersetuju sama ada bank itu telah menyediakan aset tersebut.
Pada Khamis, Goldman Sachs berkata ia menyaman Malaysia atas kegagalan mengiktiraf pembayarannya.
"Kami memfailkan timbang tara terhadap Kerajaan Malaysia kerana melanggar kewajipannya untuk mengkreditkan aset dengan sewajarnya terhadap jaminan yang diberikan oleh Goldman Sachs dalam perjanjian penyelesaian kami serta mendapatkan semula aset-aset lain," kata jurucakap Goldman Sachs dalam satu kenyataan.
Prosiding itu telah difailkan di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London, lapor Bloomberg News.
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim semasa menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur pada Sidang Kemuncak Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) di Jakarta, Indonesia, Khamis, 7 Sept, 2023. [AP]
Jabatan Peguam Negara menafikan semua dakwaan dalam tuntutan saman itu dan menyatakan bahawa ia menggambarkan tatakelola kerajaan secara salah.
“[Kami] akan menyediakan jawapannya mengikut rangka undang-undang ditetapkan dan mengulangi bahawa kepentingan rakyat Malaysia menjadi keutamaan kami,” katanya dalam kenyataan.
Perkembangan terkini itu dilihat sebagai berkemungkinan memburukkan lagi pertikaian di antara kedua-dua pihak.
Pada Ogos, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim membangkitkan kemungkinan menyaman Goldman Sachs kerana kurang memberi kerjasama dalam membincangkan penyelesaian itu, menurut media tempatan.
Johari berkata tindakan bank tersebut menyaman Malaysia dilihat sebagai cubaan untuk mengalihkan perhatian daripada melaksanakan tanggungjawabnya berhubung pembayaran berkenaan.
Kerajaan Malaysia telah bersetuju dengan empat lanjutan pembayaran sejak Ogos 2022 dengan yang terakhir pada 8 Ogos 2023 – dan ia ditetapkan supaya tamat pada 8 November tahun ini, katanya.
Siasatan diteruskan
Skandal 1MDB, di mana sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion telah diseleweng daripada dana itu, yang membawa kepada kejatuhan bekas Perdana Menteri Najib Razak dalam pilihan raya bersejarah pada 2018, merupakan satu episod paling memalukan bagi Goldman Sachs dalam sejarahnya.
Pada Julai 2020, bekas perdana menteri itu disabitkan dengan pertuduhan rasuah berhubung skandal itu dan dihukum penjara pada Ogos 2022.
Pada Mac, panel Mahkamah Persekutuan Malaysia menolak usaha terakhir Najib untuk dibebaskan daripada hukuman penjara 12 tahun berikutan sabitan bagi pertuduhan yang dikaitkan dengan anak syarikat 1MDB, SRC International. Bekas perdana menteri itu juga dibicarakan bagi pertuduhan tambahan yang dikaitkan dengan 1MDB.
Malaysia juga masih berusaha menghadapkan suspek dalang skandal itu, Low Taek Jho – pembiaya kewangan buruan yang lebih dikenali sebagai Jho Low – ke muka pengadilan. Beliau menjadi suspek buruan antarabangsa - Interpol telah memfailkan notis merah terhadapnya – selain menghadapi pertuduhan di Amerika Syarikat juga.
Minggu lalu, Roger Ng, bekas pegawai bank Goldman Sachs yang telah disabitkan kesalahan di AS kerana peranannya dalam skandal rasuah itu, telah diekstradisi ke Malaysia untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Pihak berkuasa Malaysia pada minggu ini berkata mereka bergantung kepada kerjasama Ng dalam usaha mendapatkan kembali sebanyak mungkin hasil yang hilang daripada dana itu.
Ng, yang merupakan warganegara Malaysia, dijadual memulakan hukuman penjara 10 tahun pada 6 Okt. tetapi pihak berkuasa AS memberikan penangguhan dan membenarkannya pulang ke Malaysia selepas diberikan "penyerahan sementara" oleh negara itu pada 2019 .
Selain Ng, bekas eksekutif kanan Goldman Sachs Tim Leissner juga mengaku bersalah terhadap pengubahan wang haram dan melanggar Akta Amalan Rasuah Asing berkaitan 1MDB. Beliau memberi kerjasama dengan pihak pendakwa raya dan dibebaskan dengan ikat jamin AS$20 juta sementara menunggu hukuman, menurut siasatan Jabatan Kehakiman.