Follow us

1MDB: Malaysia Dakwa Syarikat Gergasi Wall Street, Goldman Sachs dan Bekas Eksekutifnya

Hadi Azmi & Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-12-17
E-mel
Komen
Share
Peguam Negara Malaysia Tommy Thomas bercakap kepada pemberita di luar pejabatnya di Putrajaya pada hari pertama beliau memulakan tugas barunya itu, 6 Jun 2018.
Peguam Negara Malaysia Tommy Thomas bercakap kepada pemberita di luar pejabatnya di Putrajaya pada hari pertama beliau memulakan tugas barunya itu, 6 Jun 2018.
(AP)

Malaysia memfailkan pertuduhan jenayah pada Isnin terhadap bank pelaburan yang berpejabat di Amerika Syarikat, Goldman Sachs, dua bekas eksekutifnya, pembiaya kewangan yang dalam buruan Jho Low serta seorang peguam kerana didakwa menyelewengkan wang melalui bon-bon yang dikaitkan dengan dana negara, 1MDB, pada 2012 dan 2013, kata para pegawai.

Goldman Sachs perlu bertanggungjawab kerana ia mendapat manfaat daripada wang sebanyak AS$600 juta (RM2.5 bilion) untuk menaja jamin dan mengatur pengeluaran siri bon itu, kata Peguam Negara Malaysia, Tommy Thomas, ketika mengumumkan tindakan terbaru dalam siasatan multinasional berhubung dakwaan rasuah besar-besaran dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semasa di bawah kerajaan sebelum ini.

"Selain secara peribadi menerima sebahagian daripada hasil bon yang telah diselewengkan itu, para pekerja dan pengarah Goldman Sachs turut menerima bonus dan peningkatan prospek kerjaya yang lebih baik di Goldman Sachs serta dalam industri perbankan pelaburan secara umumnya, " kata Thomas dalam  kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

"Penipuan mereka telah menjejaskan pasaran modal kita, dan jika tiada prosiding jenayah dikenakan terhadap tertuduh, perlakuan mereka yang melemahkan sistem kewangan dan integriti pasaran akan dibiar lepas tanpa sebarang hukuman."

Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, bekas eksekutif Goldman Sachs iaitu Tim Leissner dan Roger Ng Chong Hwa serta Jasmine Loo Ai Swan, seorang bekas peguam untuk dana yang dibelenggui masalah kewangan itu, telah membuat kenyataan palsu atau mengelirukan untuk menyelewengkan AS$2.7 bilion (RM11.25 bilion) daripada hasil ketiga-tiga bon tersebut, kata Thomas.

Mereka didakwa melanggar Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan  2007.

Memandangkan kerajaan Malaysia berpendapat bahawa dakwaan itu adalah kesalahan berat dalam undang-undang sekuriti, ia mahu mengenakan denda jenayah lebih AS$2.7 bilion selain mendapatkan semula AS$600 juta yang telah diperoleh Goldman Sachs, kata Thomas.

Selain itu, setiap tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum selama 10 tahun jika sabit kesalahan.

Pertuduhan Malaysia yang berkaitan dengan pengeluaran bon itu adalah sama dengan pertuduhan yang difailkan oleh kerajaan Amerika Syarikat pada November lalu terhadap Jho Low, Ng dan Leissner. Leissner mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan melakukan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan 1MDB dan didenda AS$43.7 juta (RM182 juta).

Goldman Sachs, syarikat gergasi di Wall Street, menafikan sebarang kesalahan yang berkaitan dengan dakwaan Malaysia itu, lapor Associated Press.

"Kami percaya dakwaan ini dibuat secara salah dan kami akan bersungguh-sungguh mempertahankan mereka serta berharap diberi peluang untuk membentangkan kes kami," kata jurucakap Goldman Sachs, Edward Naylor dalam satu kenyataan. "Firma ini sentiasa bekerjasama dengan semua pihak yang menyiasat perkara ini."

Tiga skim


Dalam pertuduhan yang dikemukakan pada November lalu, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mendakwa bahawa mereka yang melakukan konspirasi itu telah menyediakan tiga skim untuk mengumpul dana daripada 1MBD dan mengalihkan beberapa bahagian daripadanya untuk kegunaan mereka sendiri.

Skim pertama, yang dinamakan Projek Magnolia, bermula pada awal 2012, menurut DOJ.

Jho Low, Ng, Leissner dan rakan konspirasi lain yang tidak dinamakan didakwa telah bersetuju bahawa dengan bantuan daripada Goldman, 1MDB akan mengeluarkan bon bernilai AS$1.75 bilion yang dijamin oleh entiti yang dimiliki oleh kerajaan Abu Dhabi.

Kerajaan AS mendakwa bahawa lebih daripada AS$500 juta (RM2 bilion) telah diselewengkan dan dialihkan daripada 1MDB melalui pemindahan kawat ke akaun-akaun bank atas nama syarikat-syarikat yang dimiliki dan dikawal oleh Low, Leissner, Ng dan rakan konspirasi lain.

Bermula Mei 2012 dan sepanjang 2013, ketiga-tiga tertuduh serta rakan konspirasi yang tidak dinamakan itu telah melakukan dua transaksi bon, Projek Maximus dan Projek Catalyze, yang direka untuk mendapatkan lebih daripada AS$4 bilion (RM16.7 bilion) bagi projek 1MDB, kata DOJ.

"Lebih daripada AS$2.7 bilion (RM11.25 bilion) telah diselewengkan daripada 1MDB dengan Jho Low, Ng, Leissner dan lain-lain bersubahat untuk mengubah wang ini melalui sistem kewangan Amerika Syarikat bagi membayar rasuah kepada para pegawai asing serta demi faedah peribadi diri sendiri dan saudara mara mereka," kata kerajaan AS pada masa itu.

Antara yang dinamakan dalam pertuduhan AS sebagai menerima sogokan adalah Pegawai Malaysia 1 (MO1) dan isterinya yang dirujuk sebagai ‘Madam’ dalam beberapa e-mel antara ketiga-tiga tertuduh itu. MO1 tidak dinamakan dalam pertuduhan berkaitan dengan 1MDB yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman sebelum ini, tetapi sumber telah mengenal pasti beliau sebagai bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang kini menghadapi 39 pertuduhan yang berkaitan dengan 1MDB di mahkamah-mahkamah Malaysia.

Najib telah mengasaskan 1MDB pada 2009 untuk membiayai projek-projek pembangunan di seluruh Malaysia. Penyiasat mendakwa bahawa AS$4.5 bilion (RM18.7 bilion) telah diselewengkan daripada dana yang dibelenggui masalah itu dan wang berkenaan telah diubah melalui hartanah dan aset lain.

‘Politik yang tentukan’ bersalah

Jho Low, melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh sebuah firma perhubungan awam Australia pada Isnin, tetap dengan pengakuannya bahawa dia tidak bersalah dan mendakwa bahawa dia tidak akan diberikan perbicaraan yang adil di Malaysia.

"Encik Low tidak akan tunduk kepada mana-mana bidang kuasa di mana bersalah ditentukan oleh politik dan tidak ada proses undang-undang yang bebas," kata kenyataan itu yang memetik Benjamin Haslem, ketua pegawai eksekutif bersama Wells Haslem Mayhew Strategic Public Affairs yang berpejabat di Sydney.

Ng, yang ditahan di Malaysia berhubung dengan pertuduhan AS, adalah satu-satunya daripada empat tertuduh yang berada dalam tahanan. Pada 13 Dis, mahkamah Malaysia menolak permohonan Ng supaya dia dibebaskan dengan jaminan kerana Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menganggap dia mungkin melarikan diri.

"Ini adalah kes mengikut keadaan khusus dan Ng pula berisiko melarikan diri," kata hakim itu.

Ng dijangka diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi perbicaraan di sana.

Pegawai Malaysia telah berkata bahawa Jho Low dan Loo telah melarikan diri dan mereka juga akan diekstradisi apabila ditangkap.

Lihat Laman Penuh