Follow us

1MDB: Malaysia Gugur Pertuduhan Jenayah Terhadap Goldman Sachs dan Dua Entiti

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-09-04
E-mel
Komen
Share
Timbalan Pendakwaraya Masri Daud bercakap kepada pemberita selepas pendengaran kes Goldman Sachs di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Malaysia, 4 September 2020.
Timbalan Pendakwaraya Masri Daud bercakap kepada pemberita selepas pendengaran kes Goldman Sachs di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Malaysia, 4 September 2020.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Malaysia menggugurkan semua pertuduhan jenayah terhadap firma pelaburan perbankan Wall Street, Goldman Sachs bersama dua entiti di Asia, yang merupakan sebahagian daripada persetujuan dalam penyelesaian melibatkan sejumlah AS$4 bilion di atas peranan firma tersebut menyeleweng berbilion dollar daripada dana negara 1MDB, kata pegawai pada Jumaat.

Pengguguran pertuduhan itu dibuat apabila pihak pendakwaan Malaysia menarik balik semua pertuduhan di mahkamah selepas persetujuan rundingan antara Putrajaya dan Goldman Sachs yang dicapai pada Julai lepas.

Bagaimanapun Malaysia masih meneruskan tindakan mahkamah terhadap bekas pengurus firma itu, Roger Ng yang dikaitkan dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Di dalam kes Pendakwaraya vs Goldman Sachs International Ltd, saya dengan ini memerintahkan Goldman Sachs International Ltd dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan terhadap mereka,” kata Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan semasa sidang mahkamah pada Jumaat.

Selain Goldman Sachs International, Mohamed Zaini turut mengulangi perintah yang sama buat dua lagi entiti Goldman Sach di Asia iaitu Goldman Sachs (Asia) LLC dan Goldman Sachs (Singapura) berkaitan pertuduhan melibatkan penjualan bon 1MDB berjumlah AS$6.5 bilion (RM27.2 bilion) turut digugurkan.

Pada Disember 2018, Malaysia memfailkan empat pertuduhan terhadap Goldman Sachs, dua bekas eksekutifnya, pembiaya kewangan yang dalam buruan Jho Low serta seorang peguam kerana didakwa melakukan penyelewengan melalui menaja jamin dan mengatur pengeluaran siri bon terbitan antara anak syarikat 1MDB dengan Aabar Investments PJS. Limited (Aabar Limited).

Peguam Negara pada ketika itu, Tommy Thomas berkata Goldman Sachs perlu bertanggungjawab kerana telah mendapat manfaat daripada wang sebanyak AS$600 juta (RM2.5 bilion) untuk pengeluaran siri bon pada 2012 dan 2013.

Pertuduhan eksekutif

Selain pengguguran pertuduhan jenayah itu, pihak pendakwa raya turut menamatkan pendakwaan keatas 17 eksekutifnya termasuk Richard Gnodde iaitu ketua pegawai eksekutif Goldman Sachs International, demikian disahkan oleh sumber dalaman kepada BeritaBenar.

“Pihak pendakwa raya tidak lagi mahu meneruskan pendakwaan berikutan perintah dilepas dan dibebaskan yang diberikan semasa sesi hari ini (Jumaat),” menurut sumber itu.

Pada 9 Ogos, 2019, Malaysia mengeluarkan waran tangkap ke atas 17 eksekutif Goldman Sachs dan memfailkan pendakwaan keatas mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di bawah Seksyen 179 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007  kerana menjalankan skim untuk menipu kerajaan Malaysia.

Terdahulu itu, pendakwaraya Masri Daud memberitahu mahkamah bahawa kesemua pertuduhan jenayah terhadap tertuduh ditarik semula dan meminta mereka untuk dibebaskan dari pertuduhan dengan berkata, “Pihak pendakwaraya tidak lagi mahu meneruskan kes dan memohon untuk menarik semula semua pertuduhan,”

Pada 24 Julai lepas, Goldman Sach mencapai persetujuan dengan Putrajaya selepas rundingan lima hari bersama wakil kerajaan dan firma berkenaan yang mendapat pelepasan khas untuk rundingan tersebut di Kuala Lumpur berikutan status sempadan negara yang masih ditutup kerana pandemik COVID-19.

Dalam persetujuan itu, Malaysia bersetuju untuk mengugurkan semua pertuduhan terhadap firma perbankan itu dan sebagai balasan menerima AS$2.5 bilion wang tunai dan AS$1.4 bilion dalam bentuk pemulangan aset yang dibeli menggunakan wang yang diseleweng dari dana 1MDB yang sekarang ini sedang dirampas oleh pelbagai pihak berkuasa serata dunia.

Pampasan itu walaubagaimanapun adalah jauh berbeza dengan jumlah asal yang diminta oleh Malaysia iaitu AS$6.5 bilion daripada firma tersebut kerana mengeluarkan bon dengan nilai yang sama di antara tahun 2012 dan 2013 untuk pembelian loji janakuasa bebas dan juga Tun Razak Exchange (TRX) dan projek Bandar Malaysia.

Pengakuan salahlaku

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz sebelum ini berkata penyelesaian yang dicapai termasuk pembayaran wang tunai AS$2.5 bilion dan jaminan penuh mendapatkan semula aset bernilai lebih kurang AS$1.4 bilion yang dibeli menggunakan keuntungan hasil transaksi bon 1MDB.

“Penyelesaian oleh Goldman Sachs memperlihatkan pengakuan tentang salahlaku dua bekas pegawainya dalam skim rasuah dan penipuan 1MDB dalam skala yang lebih luas. Penyelesaian ini tidak menjejaskan pendakwaan Malaysia terhadap Jho Low dan individu-individu lain yang dikaitkan dengan 1MDB,” menurut kenyataan Menteri Kewangan pada masa itu.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin turut mengeluarkan kenyataan berhubung kejayaan rundingan antara kerajaan dan firma antarabangsa itu dengan berkata “Ini adalah satu kejayaan dalam usaha untuk mendapatkan hak dan aset rakyat Malaysia.”

Beliau turut menekankan komitmen kerajaan dalam mendapatkan semula aset-aset lain milik 1MDB dan turut terus mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.

Namun begitu, Malaysia masih meneruskan pertuduhan jenayah di bawah akta yang sama terhadap bekas pengurus firma tersebut iaitu Roger Ng yang kini berada di Amerika Syarikat dan  sedang menunggu perbicaraan keatasnya yang dibawa oleh Jabatan Kehakiman AS kerana bersekongkol dalam pengubahan wang serta merasuah pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi dalam skandal 1MDB.

Ng diekstradisi ke AS pada Mei 2019 untuk didakwa di Mahkamah Persekutuan di New York.

Di depan hakim yang sama dalam sesi prosiding yang berbeza selepas prosiding kes Goldman Sachs tamat, peguam yang mewakili Ng, Tan Hok Chuan memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya dijangka pulang ke Malaysia pada November.

“Beliau dijangka pulang pada November,” kata Tan kepada Mohamed Zaini dengan hakim itu menetapkan 10 Sept sebagai tarikh seterusnya bagi kes tersebut.

Selain dari Ng, persetujuan yang dicapai di antara kerajaan Malaysia dan Goldman and Sachs turut tidak menjejaskan dakwaan terhadap ahli perniagaan dalam pelarian Jho Low dan beberapa individu dan entiti yang lain.

Najib Razak menubuhkan 1MDB pada 2009 sebaik sahaja beliau dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Abdullah Ahmad Badawi yang bertujuan mempromosi pembangunan ekonomi di Malaysia menerusi perkongsian global dan pelaburan langsung asing. Dana itu adalah bertujuan untuk digunakan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Sebaliknya 1MDB menanggung kerugian berbilion dolar dan pada 2016, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menuduh “Pegawai Nombor 1 Malaysia” – kemudian dikenal pasti sebagai Najib – dan sekutu menyeleweng serta mengubah lebih AS$4.5 bilion daripada wang yang dikaitkan dengan 1MDB antara 2009 dan 2014.

Pada 28 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas Najib setelah mensabitkan beliau dengan tujuh pertuduhan - termasuk penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram – yang menyaksikan berbilion dollar telah diseleweng daripada 1MDB, yang ditubuhkannya itu.

Najib telah diikat jamin sementara menunggu keputusan rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Lihat Laman Penuh