Malaysia perkenal dasar dan peraturan pengkomputeran awan, kecerdasan buatan
2024.10.01
Kuala Lumpur
KEMASKINI pada 5.30 petang waktu tempatan ETS - 2024-10-01
Malaysia mengumumkan perlaksanaan Dasar Pengkomputeran Awan Negara yang berteraskan peraturan kecerdasan buatan (AI), dengan Perdana Menterinya berkata langkah tersebut dibuat bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat serta lonjakan pelaburan syarikat teknologi global di negara itu.
Selain itu, Anwar Ibrahim turut mendedahkan mengenai rancangan Malaysia menubuhkan pejabat AI nasional, yang bakal menjadi penyelaras kepada inisiatif teknologi kecerdasan buatan supaya dapat memperkukuhkan peraturan dan perkongsian baharu yang boleh meletakan Malaysia sebagai hab AI yang beretika dan inovasi digital.
“Dasar Pengkomputeran Awan Negara yang baharu itu akan memberi tumpuan kepada empat teras utama- meningkatkan inovasi perkhidmatan awam, memacu daya saing ekonomi, memastikan keselamatan data dan kepercayaan pengguna, dan memastikan semua rakyat mendapat manfaat daripada kemajuan teknologi.
“Dasar kerajaan untuk menarik pelaburan digital adalah jelas, dengan memodenkan Malaysia melalui kemajuan teknologi ini, kami bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan tetapi boleh memupuk budaya inovasi dan celik digital yang dapat meresap kepada seluruh masyarakat,” kata Anwar pada Selasa.
Perdana Menteri itu berkata demikian pada majlis pecah tanah pembinaan pusat data dan rantau awan pertama Google di Malaysia bernilai AS$2 billion yang terletak di Elmina Business Park, di Selangor, sebuah hab infrastruktur dan perindustrian utama negara.
Tambah Anwar pejabat AI nasional bertanggungjawab menyiapkan pelan tindakan teknologi lima tahun dan pembangunan rangka kerja kawal selia yang akan membantu menggalakkan penggunaan AI yang beretika dan mampan pada tahun hadapan.
"Kami menyasarkan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab untuk kecerdasan buatan generatif, dan pelaburan daripada rakan kongsi teknologi akan menjadi kritikal dalam membina infrastruktur digital yang teguh dan selamat," kata beliau lagi.
Anwar turut mengulangi komitmen Google untuk mengenal pasti potensi negara itu dalam menyumbang kepada pertumbuhan dengan berkata syarikat teknologi global seperti Google mengiktiraf potensi Malaysia, serta keazaman menyumbang kepada pertumbuhan negara dengan cara ikhlas dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Kami bukan sekadar ingin menarik pelaburan pusat data, kami mahu rakan kongsi yang berkongsi nilai kami ke arah masa depan yang mampan.”
Kukuh kehadiran
Pelaburan terbaharu pusat data Google di Malaysia dijangka memainkan peranan penting kerana gergasi teknologi itu kekal yakin terhadap sistem awan dan infrastruktur kecederasan buatan dengan meluaskan kehadirannya di rantau Asia Tenggara.
Memandangkan ketegangan geopolitik masih terus kekal tinggi, ketika Rusia dan China bersaing dengan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, negara Asia Tenggara termasuk Malaysia berpeluang mendapat keuntungan daripada pelaburan oleh syarikat teknologi besar yang mencari kawasan pertumbuhan seterusnya.
Langkah Google mencerminkan trend lebih besar dalam kalangan syarikat teknologi Barat, yang meningkatkan pelaburan di seluruh Asia Tenggara untuk memanfaatkan permintaan semakin berkembang di rantau ini.
Gergasi teknologi lain termasuk Amazon, Apple, Microsoft dan Nvidia juga meningkatkan kehadiran mereka di rantau ini sejak beberapa tahun lalu.
Sehari sebelumnya, di Thailand, Google memajukan jejak digitalnya dengan pelaburan AS$1 billion yang diumumkan selepas pertemuan antara Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra dan Ruth Porat di Bangkok.
Gergasi teknologi itu merancang untuk membangunkan kemudahan digital di Bangkok dan wilayah timur Chonburi.
Sementara itu, Professor ekonomi University of Reading di United Kingdom Niaz Asadullah semasa dihubungi BenarNews berkata langkah terbaharu Google itu merupakan sebahagian daripada strategi firma teknologi itu untuk mengukuhkan kehadirannya dalam ekonomi digital Asia Tenggara
"Pelaburan Google di Malaysia dan Thailand mencerminkan trend yang lebih luas syarikat teknologi dalam mengembangkan jejak mereka di Asia Tenggara.
"Penubuhan rantau awan Google akan mempercepatkan transformasi digital Malaysia terutamanya dalam sektor seperti kewangan, logistik dan runcit. Secara keseluruhannya, perkembangan ini mewakili senario menang-menang untuk Asia Tenggara," kata Niaz kepada BenarNews.
Manu Bhaskaran Ketua Pegawai Eksekutif Centennial Asia Advisors, sebuah firma penasihat yang beribu pejabat di Washington memberitahu BenarNews, “Malaysia memenangi sejumlah besar pelaburan pusat data terutamanya di wilayah selatan berhampiran Singapura, di mana banyak syarikat mempunyai ibu pejabat serantau.”
Dalam pada itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia dalam satu kenyataan Tengku Zafrul Aziz pula berkata sepanjang 2023, banyak firma teknologi dan penyedia perkhidmatan awan mengumumkan rancangan untuk membina dan mengendalikan pusat data baharu di rantau itu.
"Kami memuji usaha pantas Google untuk menubuhkan pusat data ini di Malaysia. Kemudahan ini akan membolehkan industri negara memanfaatkan teknologi canggih seperti AI dan pengkomputeran awan serta membantu meningkatkan rantaian nilai global."
Berikutan pengumuman dasar awan dan AI, Google mendedahkan perkongsian jangka panjang dengan firma teknologi Malaysia yang boleh mewujudkan lebih 26,000 peluang pekerjaan serta dapat menyumbang lebih AS$3.2 bilion kepada ekonomi Malaysia menjelang 2030.