Follow us

1MDB: Putrajaya Bakal Terima Bayaran Pertama Wang Didakwa Dicuri

Staf BeritaBenar
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-01-30
E-mel
Komen
Share
Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng pada satu sidang media di pejabat pentadbiran Putrajaya, 18 Jan, 2019.
Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng pada satu sidang media di pejabat pentadbiran Putrajaya, 18 Jan, 2019.
[AP]

Putrajaya akan menerima bayaran pertama dari pihak tertentu untuk membayar balik wang yang dicuri daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tahun ini, demikian kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang tidak mengenal pasti pihak pembayar dan jumlah bayaran.

Beliau menyifatkan perkembangan baru itu sebagai satu permulaan yang baik bagi pihak kerajaan.

"Nilainya bukan berbilion, tetapi ianya adalah satu permulaan dan berita yang baik. Diharapkan perkembangan baru ini akan disusuli dengan bayaran berikutnya kepada Malaysia. Kita akan mendapatkan semula wang yang dicuri daripada 1MDB,” katanya pada satu sidang media di Putrajaya pada Rabu.

Guan Eng uga enggan memberitahu sama ada wang yang akan diterima itu daripada dalam atau luar negara sambil berkata, maklumat lanjut mengenai perkara berkenaan akan diumumkan selepas semuanya selesai.

Tahun lepas, Guan Eng Lim dipetik sebagai berkata bahawa Malaysia dijangka menerima sehingga 14.4 bilion ringgit daripada dana yang hilang dan dicuri daripada 1MDB.

Pada sidang media Rabu itu juga Menteri Kewangan meminta parti-parti politk yang didakwa menerima wang daripada 1MDB untuk memulangkan kembali wang tersebut kepada Kerajaan.

"Jika mereka tidak mahu pulangkan, kita akan mengambil tindakan termasuk tindakan undang-undang. Buat masa ini, kami sedang memberi tumpuan kepada jumlah yang besar dahulu," tambahnya lagi.

Pada September lalu, mahkamah di Singapura mengarahkan supaya wang sebanyak S$15.3 juta (46.075 juta ringgit) yang dikaitkan dengan 1MDB dan SRC International dipulangkan kepada Malaysia.

Pada 2016, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) memfailkan 12 saman bagi pelucutanhak dan mendapatkan kembali lebih AS$1 bilion (RM3.9 bilion) aset yang didakwa dibayar dengan wang yang dicuri daripada 1MDB. Sumber yang terlibat dalam siasatan Amerika Syarikat telah mengenal pasti Najib sebagai "Pegawai Malaysia 1"  dalam dokumen DOJ.

Pada tahun yang sama, pihak berkuasa di Singapura mengumumkan bahawa mereka telah merampas aset berjumlah $240 juta (AS$177 juta) - di mana $120 juta (AS$88.5 juta) dirampas daripada sekutu Najib, ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho (juga dikenali sebagai Jho Low) dan keluarga terdekatnya.

Bekas Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Najib Razak, yang memimpin Barisan Nasional dan kecundang dalam usahanya mengekalkan jawatan bagi penggal ketiga semasa pilihan raya umum pada Mei tahun lalu, mengasaskan 1MDB pada 2009 sebagai dana pelaburan untuk merangsang pembangunan di Malaysia.

Walaupun beliau dikaitkan dengan dana yang hilang itu, Najib, yang turut mengganggotai lembaga penasihat 1MDB sehingga pembubarannya pada 2016, menafikan beliau melakukan sebarang salah laku.

Tindakan penalti

Sementara itu, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia [SC] pada Rabu mengesahkan tindakan yang diambil terhadap Deloitte PLT. [Deloitte] selepas firma juruaudit antarabangsa itu didapati melakukan empat pelanggaraan berkaitan Program Sukuk Murabahah bernilai RM2.4 bilion yang diterbitkan oleh Bandar Malaysia Sdn. Bhd. (BMSB) pada 2014.

Program Sukuk Murabahah yang bernilai RM2.4 billion telah diterbitkan pada tahun 2014 oleh Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) dan diaudit oleh Deloitte sebagai juruaudit berkanun.

Selain turut menegur tindakan Deloitte, Suruhanjaya berkenaan dalam kenyataannya berkata, Deloitte didapati telah melanggar Seksyen 276 (3) (b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana gagal melaporkan penyelewengan kepada Suruhanjaya Sekuriti, dan ini mempunyai kesan material ke atas kemampuan BMSB memenuhi kewajipannya untuk membayar balik wang kepada pemegang sukuk di bawah program itu.

"Suruhanjaya Sekuriti menganggap pelanggaran yang dilakukan oleh Deloitte sebagai serius,” kata kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur pada Rabu.

Deloitte merupakan juruaudit berkanun untuk BMSB dan 1MDB Real Estate Sdn. Bhd. (1MDB RE) bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2015 hingga 2016.

1Malaysian Development Berhad (1MDB) merupakan syarikat induk 1MDB RE dan BMSB. 1MDB RE yang kini dikenali sebagai TRX City Sdn Bhd merupakan salah satu daripada penyedia sekuriti bagi Program Sukuk Murabahah serta syarikat induk terdekat BMSB.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Sekuriti mengenakan denda sebanyak RM2 juta atas pelanggaran tersebut, denda maksimum  yang diperuntukkan di bawah Seksyen 354 (3) (b) CMSA.

Suruhanjaya berkenaan juga berkata, Deloitte turut melakukan dua pelanggaran lain di bawah Seksyen 276 (1) CMSA, dan dikenakan denda berjumlah RM200,000 kerana gagal menghantar satu salinan Penyata Kewangan yang telah diaudit (AFS) 2015 dan 2016 BMSB kepada MTrustee Berhad, dalam tempoh tujuh hari selepas memberikannya kepada BMSB

Saman 2 juta ringgit itu merupakan nilai tertinggi yang dikenakan di bawah Seksyen 276(3)(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Lihat Laman Penuh