Follow us

Bekas Menteri Kewangan Berdepan Pertuduhan Rasuah Berkaitan Terowong Dasar Laut

Hadi Azmi
Kuala Lumpur , Malaysia
2020-08-06
E-mel
Komen
Share
Lim Guan Eng bercakap kepada wartawan di Kementerian Kewangan di Putrajaya, Jun 2018.
Lim Guan Eng bercakap kepada wartawan di Kementerian Kewangan di Putrajaya, Jun 2018.
(Hadi Azmi/BeritaBenar)

Lim Guan Eng, bekas menteri kewangan dan pemimpin kanan pembangkang Malaysia, ditahan pada Khamis malam berhubung dakwaan rasuah berkaitan projek terowong dasar laut dan lebuh raya bernilai AS$1.5 bilion, demikian menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu kenyataan, SPRM memaklumkan agensi itu telah mendapat izin Peguam Negara untuk mendakwa Guan Eng, yang pernah menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang dari 2008 hingga 2018, atas pertuduhan meminta atau menerima rasuah dan menyalahgunakan kedudukannya demi kepentingan peribadi.

Beliau dijadualkan hadir di Mahkamah Khas Rasuah di Kuala Lumpur pada Jumaat dan Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada Isnin untuk didakwa.

“Kedua-dua pertuduhan di Mahkamah Kuala Lumpur dan Pulau Pinang adalah bersangkutan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang,” menurut SPRM dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada lewat Rabu malam.

Sumber SPRM yang tidak dibenarkan bercakap kepada media mengesahkan penahanan Lim.

"Ya, beliau ditahan pada jam 9:30 malam dan akan dibawa ke mahkamah esok pagi,” kata sumber tersebut kepada BeritaBenar.

SPRM dalam kenyataannya turut mengesahkan bahawa Guan Eng, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), sebuah parti pembangkang, akan hadir pada Selasa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang untuk berdepan satu lagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya demi keuntungan peribadi atas kes yang berbeza namun tidak memberikan butiran lanjut mengenai kes itu.

Sekiranya disabitkan kesalahan, Guan Eng berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan yang diterima di bawah kedua-dua bahagian tersebut.

Projek terowong sepanjang 4.47 batu (7.2 km) itu bermula pada 2016 di bawah pemerintahan Najib Razak sebagai Perdana Menteri, yang merupakan penghubung ketiga antara pulau dan tanah besar di Pulau Pinang yang dijangka siapa pada 2025, dan merupakan terowong dasar laut pertama di Malaysia.

Liew Chin Tong, seorang senator dan ahli Majlis Eksekutif Pusat DAP, mempersoalkan penahanan Guan Eng.

"SPRM boleh sahaja memberitahu Setiausaha Agung kami, Lim Guan Eng, untuk hadir ke mahkamah pada waktu tertentu. Tidak perlu menahannya semalaman, beliau tidak akan melarikan diri," menurut Liew dalam satu kenyataan.

Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad melantik Guan Eng sebagai Menteri Kewangan sejurus selepas pilihan raya umum pada Mei 2018 yang menewaskan gabungan parti-parti pimpinan Najib.

Pada September 2018, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Lim daripada dua pertuduhan rasuah selepas disabitkan oleh kerajaan Najib berhubung pembelian banglo pada 2015 yang harganya jauh di bawah nilai pasaran.

Selepas beberapa minggu menerajui Kementerian Kewangan, Guan Eng pada 5 Julai 2018 mengumumkan penangguhan projek kereta api dan saluran paip yang disokong oleh China atas alasan terdapat kebimbangan mengenai kos gabungan yang dianggarkan mencecah angka melebihi AS$23 juta.

Beliau menangguhkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan kedua-dua projek saluran paip itu setelah meminta nasihat Peguam Negara Tommy Thomas dan Perdana Menteri Mahathir kemudian telah mengumumkan perkara itu dengan menyatakan bahawa pemerintah perlu melunaskan hutang negara yang ditinggalkan pentadbiran Najib.

"Keputusan hanya ditujukan kepada kontraktor tertentu yang mempunyai kaitan dengan ketentuan yang disebutkan dalam perjanjian, dan bukan di negara tertentu," kata Guan Eng ketika itu.

Beliau berkata kos ECRL telah meningkat sebanyak RM6.4 bilion menjadi RM20 bilion.

Pada Ogos 2019, Mahathir mengumumkan bahawa Malaysia telah berjaya mengumpul semula RM243 juta daripada sebuah syarikat negara China bagi projek saluran paip yang belum siap. Beliau turut mengumumkan pembinaan ECRL disambung semula selepas berunding dengan China bagi mengurangkan satu pertiga kos pembinaannya.

Dua tahun sebelum itu, Najib telah menyatakan bahawa projek ECRL merupakan satu pengubah strategi. Beliau memimpin usaha Malaysia untuk membangunkan projek itu sebagai sebahagian daripada inisiatif besar-besaran China iaitu One Belt One Road (OBOR) untuk menghubungkannya dengan negara di Asia Selatan dan Tenggara melalui pelabuhan, jalan raya, jalan kereta api dan laluan perdagangan.

Reaksi Najib

Bekas perdana menteri itu telah melontarkan dakwaan terhadap Guang Eng berhubung projek terowong tersebut di laman media sosial Facebook pada Disember 2019. Susulan berita penahanan bekas Menteri Kewangan itu, Najib sekali lagi berkongsi catatan mengenai perkara tersebut pada Khamis dengan 4.2 juta pengikut Facebooknya.

“Saya kongsi sekali lagi cara licik depa (mereka) gasak berpuluh-puluh bilion Ringgit.” Tulis Najib yang turut berdepan tindakan undang-undang berhubug skandal 1Malaysia Development Berhad, “(Catatan dikongsi) Dah hampir 10,000 kongsian sejak saya tulis bulan Disember lalu tetapi tidak pernah sekali pun DAP sangkal.”

Pada Julai, Najib didapati bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan berjuta-juta dolar dari SRC International Sdn Bhd, anak syarikat dana negara 1MDB. Seorang hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta (AS$ 49.3 juta) terhadap Najib.

Bekas perdana menteri itu, yang berdepan 42 pertuduhan jenayah, sedang dibicarakan di mahkamah lain atas 25 pertuduhan rasuah melibatkan skandal 1MDB.

Najib menubuhkan 1MDB pada 2009 sebaik sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan menyatakan bahawa dana itu mampu memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia. Para pegawai Amerika Syarikat dan Malaysia mendakwa lebih AS$4.5 bilion telah dialihkan daripada 1MDB melalui syarikat pelaburan pesisir kepada Najib dan sekutunya, menurut Jabatan Kehakiman AS.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh