Hakim AS Tangguh Pendakwaan Suspek Pengeboman Bali Berikutan COVID-19

Hakim berkenaan berkata adalah berisiko untuk melakukan perjalanan pada masa ini dan kes mahkamah Guantanamo itu lebih sesuai diadakan pada penghujung musim panas.
Shailaja Neelakantan
2021.02.03
Washington
Hakim AS Tangguh Pendakwaan Suspek Pengeboman Bali Berikutan COVID-19 Seorang pengawal membuka pagar di pintu masuk Kem VI, sebuah penjara yang digunakan untuk menempatkan tahanan di Pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat di Teluk Guantanamo, Cuba, 5 Mac 2013.
[AP]

Berikutan risiko kesihatan koronavirus, seorang hakim menangguhkan pendakwaan kes di mahkamah tentera Amerika Syarikat (AS) terhadap seorang tahanan Guantanamo yang didakwa mendalangi pengeboman Bali pada 2002 serta dua rakyat Malaysia berhubung pertuduhan yang berkaitan dengan keganasan, kata Pejabat Suruhanjaya Ketenteraan pada Rabu.

Warganegara Indonesia, Hambali atau nama sebenarnya Encep Nurjaman, serta dua rakyat Malaysia iaitu Mohammad Nazir Lep dan Mohd Farik Bin Amin sepatutnya didakwa pada 22 Februari di Stesen Tentera Laut AS di Teluk Guantanamo, Cuba.

Kolonel Charles L. Pritchard, hakim yang ditugaskan untuk mengendalikan kes itu, memutuskan pada Selasa bahawa adalah berisiko bagi peguam dan pegawai mahkamah untuk melakukan perjalanan ke pangkalan berkenaan semasa pandemik tersebut, kata Ron Flesvig, jurucakap Pejabat Suruhanjaya Ketenteraan kepada BeritaBenar.

"Hakim tentera dalam kes AS lwn Nurjaman dan lain-lain akan meneruskan pendakwaan yang dijadualkan pada 22 Februari," kata Pejabat Suruhanjaya Ketenteraan dalam e-mel.

"Keputusan hakim ... menunjukkan bahawa risiko terhadap kesihatan dan keselamatan mereka yang terlibat dalam pendakwaan itu adalah tinggi berikutan pandemik COVID-19 global dan sehubungan itu, ekoran daripada keadaan ini, adalah wajar untuk pelanjutan bagi pendakwaan itu. Suruhanjaya tidak memberikan tarikh baru bagi pendakwaan tersebut."

Pelanjutan adalah istilah sah bagi penangguhan.

Antara sebab lain yang dinyatakan hakim berkenaan bagi menangguhkan pendakwaan itu ialah bukan semua orang diberi vaksinasi koronavirus dan berikutan itu, rancangan untuk mendakwa tahanan tersebut ditangguhkan, kata Flesvig.

Beliau berkata hakim itu juga memutuskan bahawa adalah lebih sesuai bagi semua pihak yang terlibat dalam kes itu untuk melakukan perjalanan pada penghujung musim panas.

Pihak pembelaan bagi seorang daripada defendan telah meminta penangguhan berikutan pandemik itu, kata Flesvig.

Pihak pendakwaan turut membuat permohonan sama dan meminta penangguhan selama 40 hari "berikutan usaha gigih kerajaan persekutuan untuk memerangi pandemik itu dan mengemas kini dasar perlindungan kesihatan bagi memenuhi keadaan yang berubah."

Ketiga-tiga tertuduh, yang dipenjarakan di fasiliti penjara terkenal itu sejak 2006, menghadapi pertuduhan yang berkaitan dengan pengeboman maut di Bali dan Jakarta masing-masing pada 2002 dan 2003, kata tentera AS pada minggu lalu.

Pada 21 Januari, Pentagon mengumumkan rancangan untuk meneruskan perbicaraan tentera itu. Seminggu kemudian, Kolonel Pritchard menetapkan 22 Februari sebagai tarikh bagi kesemua tertuduh menjawab pertuduhan yang berkaitan dengan keganasan.

Hambali menghadapi lapan pertuduhan manakala dua rakyat Malaysia itu berdepan sembilan pertuduhan, menurut kertas pertuduhan yang dimuat naik oleh Pejabat Suruhanjaya Ketenteraan.

Ketiga-tiga lelaki itu dituduh melakukan konspirasi, pembunuhan, percubaan membunuh, sengaja menyebabkan kecederaan tubuh yang serius, keganasan, menyerang orang awam, melakukan serangan terhadap harta benda awam serta pemusnahan harta benda, menurut DoD.

Kedua-dua rakyat Malaysia itu juga menghadapi pertuduhan tambahan dengan hakikatnya - "semua itu melanggar undang-undang perang."

Pihak berkuasa AS menyatakan bahawa pertuduhan itu tidak membawa hukuman mati.

Indonesia menyalahkan JI bagi serangan Bali 2002

Profil Jabatan Pertahanan (DoD) AS mengenai Hambali menggambarkannya sebagai dalang operasi bagi Jemaah Islamiyah (JI), sebuah kumpulan militan Asia Tenggara yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda - kumpulan yang melakukan serangan pengganas pada 11 September di New York dan Washington.

Pihak berkuasa Indonesia menyalahkan JI kerana melakukan pengeboman yang membunuh 202 orang di Bali pada Oktober 2002 – serangan pengganas paling buruk setakat ini di Indonesia.

Sementara itu, pegawai Pentagon menyatakan bahawa Hambali telah membantu merancang serangan itu dan pengeboman di Hotel J.W. Marriot di Jakarta pada 2003 yang menyebabkan 12 terbunuh.

Pada 22 Januari, ketua anti-keganasan Malaysia memberitahu BeritaBenar bahawa negara itu menyambut baik keputusan AS untuk merujuk pendakwaan terhadap Hambali dan dua rakyat Malaysia itu yang ditahan di Teluk Guantanamo ke sebuah mahkamah tentera, dengan menyatakan bahawa keadilan dapat dilaksanakan menerusi prosiding perbicaraan.

Minggu lalu, Achmad Michdan, seorang peguam Indonesia yang mewakili Hambali, memberitahu BeritaBenar bahawa beliau berharap perbicaraan itu dapat dipindahkan dari pangkalan AS di Cuba.

Beliau berkata kerajaan Indonesia telah menyatakan sebelum ini bahawa Hambali tidak mempunyai kewarganegaraan dan dia tidak memiliki kad pengenalan nasional ketika ditangkap pada 2003.

Pegawai Indonesia menyatakan pada 2016 bahawa jika Hambali dibebaskan, mereka keberatan menerima kepulangannya kerana bimbang ia boleh mencetuskan kebangkitan semula sel pengganas tempatan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.