Mahkamah Guantanamo Tetapkan Tarikh Pendakwaan Suspek Keganasan Hambali Dan 2 Rakyat Malaysia

Ketiga-tiga lelaki itu, yang menghadapi pertuduhan berkaitan insiden pengeboman maut di Bali dan Jakarta, akan dihadapkan di mahkamah pada 22 Februari.
John Bechtel
2021.01.28
Washington
Mahkamah Guantanamo Tetapkan Tarikh Pendakwaan Suspek Keganasan Hambali Dan 2 Rakyat Malaysia Bilik mahkamah Teluk Guantanamo, Pangkalan Tentera Laut di Cuba, 13 Ogos 2004.
[AP]

Seorang tahanan Guantanamo yang didakwa mendalangi pengeboman maut di Bali pada 2002 dan dua lelaki Malaysia akan dihadapkan di sebuah mahkamah tentera Amerika Syarikat (AS) pada 22 Februari untuk berdepan pertuduhan yang berkaitan dengan keganasan, kata Pejabat Suruhanjaya Ketenteraan minggu ini.

Satu arahan yang difailkan pada Selasa telah menetapkan tarikh bagi warganegara Indonesia, Hambali, atau nama sebenarnya Encep Nurjaman dan rakyat Malaysia, Mohammad Nazir Lep dan Mohd Farik Amin, untuk didakwa di Stesen Tentera Laut AS di Teluk Guantanamo, Cuba.

"Pendakwaan dijadualkan pada jam 1400, Isnin, 22 Februari 2021. Semua pihak perlu membuat persediaan sewajarnya untuk hadir," menurut arahan itu.

Kolonel Charles L. Pritchard, hakim yang ditugaskan untuk mengadili kes berkenaan, telah menetapkan Sabtu bagi sebarang usul dikemukakan untuk menangguh pendakwaan itu dan Isnin pula untuk makluman balas terhadap usul tersebut, jika ia dikemukakan.

Jurucakap Pejabat Suruhanjaya Ketenteraan, Ron Flesvig, berkata ketiga-tiga tertuduh dijangka hadir di mahkamah dan membuat pengakuan bagi pertuduhan terhadap mereka.

"Susulan pengakuan itu, hakim akan menjadualkan tarikh perbicaraan," kata Flesvig kepada BeritaBenar.

Ketiga-tiga lelaki itu, yang dipenjarakan di fasiliti penjara itu sejak 2006, menghadapi pertuduhan yang berkaitan dengan pengeboman maut di Bali dan Jakarta masing-masing pada 2002 dan 2003, kata pihak tentera A.S minggu ini.

Hambali menghadapi lapan pertuduhan manakala dua rakyat Malaysia itu berdepan sembilan pertuduhan, menurut kertas pertuduhan yang dimuat naik oleh Pejabat Suruhanjaya Ketenteraan pada 21 Januari, iaitu hari di mana pihak berkuasa mengumumkan bahawa mereka akan mendakwa ketiga-tiga lelaki itu.

Hambali.jpg

Encep Nurjamen (alias Hambali) ditunjukkan dalam foto tidak bertarikh ini di pangkalan A.S di Teluk Guantanamo, Cuba. [Pejabat Pembelaan Awam Persekutuan melalui AP]

Profil Jabatan Pertahanan (DoD) A.S mengenai Hambali menggambarkannya sebagai dalang operasi bagi Jemaah Islamiyah (JI), sebuah kumpulan militan Asia Tenggara yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda - kumpulan yang melakukan serangan pengganas pada 11 September di New York dan Washington.

Pihak berkuasa Indonesia menyalahkan JI kerana melakukan pengeboman yang membunuh 202 orang di Bali pada Oktober 2002.

Sementara itu, pegawai Pentagon menyatakan bahawa Hambali telah membantu merancang serangan itu dan pengeboman di Hotel J.W. Marriot di Jakarta pada 2003 yang menyebabkan 12 terbunuh.

Ketiga-tiga lelaki itu dituduh melakukan konspirasi, pembunuhan, percubaan membunuh, sengaja menyebabkan kecederaan tubuh yang serius, keganasan, menyerang orang awam, melakukan serangan terhadap harta benda awam serta pemusnahan harta benda, menurut DoD. Kedua-dua rakyat Malaysia itu juga menghadapi pertuduhan tambahan - "semuanya melanggar undang-undang perang."

Pihak berkuasa AS menyatakan bahawa pertuduhan itu tidak membawa hukuman mati.

Flesvig berkata wartawan boleh menghadiri prosiding itu.

"Ini adalah kali pertama pihak media akan berada di pulau ini semasa pandemik COVID," katanya.

Pulang?

Minggu lalu, Achmad Michdan, seorang peguam Indonesia yang mewakili Hambali, berkata bahawa beliau berharap perbicaraan itu dapat dipindahkan dari Cuba.

"Nampaknya tentera AS tidak tahu apa yang harus dilakukan dengannya, walaupun kami telah berbincang bahawa perbicaraan itu tidak harus diadakan di sana," katanya kepada BeritaBenar.

Menurutnya beliau telah menghubungi Hambali melalui Major James Valentine, seorang peguam Marin AS yang mewakili Hambali di mahkamah tentera itu. Rancangannya untuk mengunjungi Hambali baru-baru ini terpaksa dibatalkan akibat pandemik itu, kata Michdan.

Beliau berkata semasa pentadbiran Presiden Barack Obama merancang untuk menutup Guantanamo, Hambali "mungkin boleh membuat pengakuan dan berunding untuk kembali ke tanah airnya, dengan syarat dia tidak bercakap mengenai penyeksaan."

Hambali dan dua lelaki Malaysia itu ditangkap di Thailand pada 2003 dan dihantar ke rangkaian penjara rahsia CIA sebelum dipindahkan ke Guantanamo pada September 2006. Laporan Senat AS mengenai penahanan suspek keganasan dan teknik soal siasat CIA pada tahun-tahun selepas serangan keganasan 11 September mengesahkan adanya penyeksaan.

Menurut laporan itu, Hambali tidak diseksa menggunakan air tetapi "teknik soal siasat lebih teruk" digunakan termasuk diletakkan dalam posisi regang yang menyakitkan dan dihentak ke dinding atau dibiarkan berkeadaan bogel dan dikurung dalam kotak seperti keranda.

Ketika ditanya strategi apa yang akan dilakukan peguam itu berikutan pendakwaan tentera AS terhadap Hambali, Michdan berkata, “Kami mahu berunding. Sekiranya boleh, kami mahu dia diekstradisi."

Kerajaan Indonesia telah menyatakan sebelum ini bahawa Hambali tidak mempunyai kewarganegaraan, kata Michdan, dan dia tidak memiliki kad pengenalan nasional ketika ditangkap pada 2003.

Pegawai Indonesia menyatakan pada 2016 bahawa jika Hambali dibebaskan, mereka keberatan menerima kepulangannya kerana bimbang ia boleh mencetuskan kebangkitan semula sel pengganas tempatan.

Tetapi, ketua anti-keganasan Malaysia pada minggu lalu menyambut baik keputusan AS untuk mendakwa Hambali dan dua tahanan Malaysia itu di mahkamah tentera, dengan menyatakan keadilan dapat dibuktikan melalui prosiding perbicaraan.

“Ini adalah langkah bagus oleh AS - mereka [tertuduh] kini mempunyai peluang untuk membantah kes mereka di mahkamah," kata ketua anti-keganasan polis Malaysia, Normah Ishak, kepada BeritaBenar.

"Keadilan dapat ditegakkan dan dilihat semasa perbicaraan mahkamah," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.