Follow us

Rangka Manusia Purba Bukti Penempatan Awal Di Utara Malaysia

Fairuz Mazlan
Pulau Pinang
2017-05-01
E-mel
Komen
Share
Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr Mokhtar Saidin ketika menjalankan kerja-kerja penggalian di tapak arkeologi Guar Kepah, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, 24 April 2017.
Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr Mokhtar Saidin ketika menjalankan kerja-kerja penggalian di tapak arkeologi Guar Kepah, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, 24 April 2017.
[Fairuz Mazlan/BeritaBenar]

Penemuan rangka, yang dipercaya milik manusia purba berusia di antara 5,000 dan 6,000 tahun dari era Neolitik, membuktikan wujudnya penempatan awal di Pulau Pinang, negeri utara Malaysia, kata ketua arkeologi Universiti Sains Malaysia kepada BeritaBenar.

Rangka itu, yang dinamakan sebagai "Wanita Pulau Pinang", telah ditemui di Guar Kepah, Seberang Perai Utara pada 17 April lepas.

Pusat Arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM), Unit Pelancongan, Seni dan Warisan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Seberang Perai Utara yang sedang bekerjasama bagi pembinaan Pusat Arkeologi Guar Kepah sedang melakukan kerja-kerja menggali tanah semasa rangka itu ditemui di kawasan berkenaan.

Ia ditemui kira-kira 70 sentimeter dari permukaan tanah.

"Rangka itu ditemui tertanam dalam keadaan pengebumian tradisi purba di mana tangan diikat dan diletakkan dalam kedudukan yang betul sebelum ditimbuni dengan kerang ," kata Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM Profesor Dr Mokhtar Saidin kepada BeritaBenar di tapak penggalian itu.

Tengkorak, tulang paha dan tulang rusuk yang ditemui itu berada di bawah lantai bekas sebuah tapak rumah, yang mahu dikorek tanahnya untuk membina batu asas bagi pembinaan galeri pusat arkeologi berkenaan.

Ahli arkeologi itu memberitahu bahawa berdasarkan kepada gigi rangka itu, pihaknya percaya ia wanita tetapi kajian lebih terperinci perlu dibuat bagi memastikan kesahihan jantina, umur, genetik dan sebab kematian.

“Pelbagai barangan tembikar dan alat pemburuan juga dikebumikan bersama-sama dengan rangka berkenaan kerana kepercayaan bahawa barangan berkenaan akan digunakan pada akhirat nanti.

"Ritual seperti itu tidak hanya terdapat di Sumatera, Indonesia malah mempunyai persamaan dengan rakyat Senegal di benua Afrika yang masih mengamalkan ritual yang sama sehingga ke hari ini,"  kata Mokhtar kepada BeritaBenar.

Mokhtar menjelaskan bahawa era Neolitik dianggap sebagai Zaman Batu terakhir dan Guar Kepah merupakan saki baki tapak Zaman Batu akhir bagi Malaysia berdasarkan kepada kerang-kerang yang ditemui tertimbus itu.

Manusia kemudian menemui logam yang seterusnya membawa kepada permulaan Zaman Gangsa.

Pasukan pengkaji dari USM telah menjalankan kerja-kerja penyelidikan di kawasan berkenaan sejak 2010, di mana kerang prasejarah, tembikar, alat dan sisa-sisa makanan dari zaman Neolitik ditemui dan berjaya didokumentasikan.

"Dengan penemuan rangka ini, maka kajian kami selesai. Kami mempunyai cengkerang, makanan, dan alat-alat memburu dan kini memperoleh tulang. Jadi, galeri akan lengkap dengan semua yang bakal dipamerkan, " kata Mokhtar.

Beliau menambah rangka itu semasa ditemui berada di bahagian paling bawah di tapak berkenaan kerana dipercayai bahagian atasnya sudah dialihkan ketika seorang ahli arkeologi British pada pertama kali menemukan rangka sedemikian di kawasan yang sama pada 1860.

"Kawasan tamadun awal itu telah ditemukan oleh seorang pengkaji British pada tahun 1860 lagi dan sebanyak sembilan rangka telah dijumpai dan ia kini disimpan di Leiden, Belanda bagi tujuan kajian."

arkeologi2-300.jpg

Kerja-kerja penggalian sedang dilakukan di tapak arkeologi Guar Kepah [Fairul Mazlan/BeritaBenar]

 

Tapak Warisan Dunia UNESCO

Pulau Pinang, negeri pulau dengan beberapa daerahnya terletak di tanah besar Semenanjung Malaysia, sedang berusaha menempatkan kawasan berkenaan dalam senarai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu [UNESCO], yang merupakan lokasi kedua bagi negeri berkenaan selain bandaraya George Town yang terletak di bahagian pulau.

"Kami akan mengemukakan semua maklumat dan dokumen kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk tindakan selanjutnya, dengan tujuan untuk memohon kepada Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan pengiktirafan UNESCO," kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kepada pemberita pada Rabu lepas.

Sementara itu, Presiden Majlis Perbandaran Seberang Perai, Maimunah Mohd Sharif yang juga bekas Pengurus Besar George Town World Heritage Incorporated memberitahu BeritaBenar bahawa penyenaraian kawasan itu  sebagai tapak warisan dunia UNESCO merupakan  satu perkembangan positif.

"Mana-mana tapak yang berada dalam senarai UNESCO akan ditempatkan dalam peta dunia. Ia akan menarik kunjungan orang yang meminati sejarah dan warisan ke tempat-tempat berkenaan.

"Tiada siapa yang pernah mendengar nama Guar Kepah, satu tempat di utara Seberang Perai. Tetapi sejak penemuan "Wanita Pulau Pinang" minggu lepas, kawan-kawan saya dari luar negara telah menghubungi saya untuk bertanyakan mengenai penemuan itu, " katanya.

Tahun lepas, sebidang kawasan biasa di Kedah, negeri jiran Pulau Pinang, mencipta sejarah apabila pakar-pakar aekeologi menemukan struktur purba dan mengesahkannya sebagai tapak Arkeologi Sungai Batu yang berusia lebih 2,000 tahun dan merupakan satu daripada tamadun tertua di Asia Tenggara.

Pada Mei 2016, selepas hampir satu dekad kerja-kerja penggalian di sebuah ladang kelapa sawit tempatan itu, ahli arkeologi dengan lima pakar utama tamadun purba - Mesopotamia, Indus, Mesoamerika, China dan Greco-Roman - menandatangani plak bagi mengiktiraf pentingnya sejarah Sungai Batu.

Ahli-ahli arkeologi berkenaan mengisytiharkan Sungai Batu sebagai mendahului beberapa abad bagi beberapa khazanah termasuk dua khazanah arkeologi paling terkenal di rantau Asia Tenggara - kuil Borobudur di Indonesia dan Angkor Wat di Kemboja, yang telah dibina masing-masing pada abad 9 dan ke-12.

Selain itu, rangka lelaki tertua prasejarah purba yang dikenali sebagai “Perak Man”, yang dipercayai berusia 11,000 tahun ditemukan oleh sepasukan ahli arkeologi tempatan di Gunung Gua Runtuh, di Lembah Lemggong di negeri Perak pada 1991. Ia kini disenaraikan sebagai tapak warisan dunia UNESCO.

Mokhtar tidak menolak kemungkinan yang masyarakat Guar Kepah telah berhijrah ke utara negeri Kedah untuk membentuk masyarakat lebih besar dengan tamadun lebih maju dan membawa teknologi terkini pada masa itu.

"Ia boleh berlaku kerana Neolitik adalah 5,000 tahun yang lalu dan Sungai Batu adalah kira-kira 2,600 tahun yang lalu. Mereka tidak tahu tentang logam di situ. Jadi, tamadun Sungai Batu boleh bermula dari sini, " katanya sambil menambah kata bahawa tamadun Sungai Batu adalah tapak kepada industri peleburan besi yang berkembang maju.

S.C Lei di George Town turut menyumbang kepada laporan ini.

Komen (0)
Share
Lihat Laman Penuh