Hishammuddin: Keputusan Penggunaan Hawk Bergantung Kepada Laporan Lembaga Siasatan Khas, TUDM, ATM

Laporan Kertas Putih Pertahanan 2019 telah menyarankan Putrajaya menukar semua jet pejuang Hawk 108, 208 yang diperolehi sejak 1994 dengan segera.
Hadi Azmi & Noah Lee
Melaka & Kuala Lumpur
2021-11-17
Share
Hishammuddin: Keputusan Penggunaan Hawk Bergantung Kepada Laporan Lembaga Siasatan Khas, TUDM, ATM Anggota Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) sedang menjalankan siasatan disekitar bangkai pesawat Hawk 108 yang terhempas di dalam kawasan Pangkalan TUDM Butterworth, Pulau Pinang, 17 Nov, 2021.
[A. Ammarudin/BenarNews]

Menteri Pertahanan Malaysia pada Rabu memaklumkan yang beliau telahpun mengarahkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menyiasat punca jet pejuang Hawk 108 terhempas sehari sebelum itu - walaubagaimanapun sebarang keputusan untuk menghentikan penggunaan pesawat yang sudah berkhidmat selama 27 tahun itu dan mempunyai masalah airframe perlu dibuat oleh pihak tentera.

Pada Selasa pesawat pejuang Hawk 108 terhempas semasa latihan penerbangan malam di dalam Pangkalan TUDM Butterworth dan mengorbankan seorang juruterbang berpangkat Kapten manakala seorang mejar cedera.

Menurut laporan media tempatan Malaysia, sebanyak sembilan pesawat pejuang Hawk telah terhempas sejak 1996.

“TUDM telah diarahkan segera berikan laporan lebih terperinci dan siasat punca kejadian,” kata Hishammuddin Hussein dalam satu hantaran di laman media sosialnya pada Rabu.

Menteri Pertahanan itu semasa ditemui media di Melaka pula berkata, sebarang keputusan lanjut berhubung penggunaan pesawat Hawk ekoran kejadian terkini di Pulau Pinang adalah bergantung kepada hasil siasatan oleh Lembaga Siasatan Khas yang sudah ditubuhkan.

“Keputusan ground (gantung) semua pesawat, itu bukan keputusan saya, tetapi daripada ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan TUDM. Untuk berikan penjelasan, kita serahkan kepada mereka yang mengetahuinya,” tambah Hishammuddin.

Terdapat kekhuatiran mengenai masa depan penggunaan jet pejuang Hawk oleh TUDM itu, ekoran kejadian terkini pada Selasa, yang mana ia adalah kejadian kesembilan menimpa pesawat jenis tersebut sejak 1996 dan telah menyaksikan enam juruterbang terkorban.

Semasa menjawab pertanyaan media sama ada terdapat rancangan oleh pihak kerajaan untuk mempercepatkan perolehan pesawat pejuang baharu selepas kejadian terbaharu itu, Menteri Pertahanan berkata, “[TUDM adalah] backend user, sama ada mereka memerlukan pesawat terbaharu atau mereka memerlukan peruntukan untuk mengekalkan pesawat-pesawat yang sedia ada, keputusan itu mesti datang dari pihak TUDM sendiri.”

"Kami [kerajaan] bukan pakar. Kami bukan penggunanya. Jadinya ia terletak di atas kepala dan bahu TUDM itu sendiri untuk memastikan bahawa aset-aset yang sedia ada selamat untuk menjalankan apa yang sudah ditetapkan untuk memastikan negara kita ini selamat,” kata Hishammuddin. 

Beliau turut mengenepikan persoalan mengenai usia jet pejuang Hawk yang dioperasikan oleh TUDM sebagai faktor untuk menghentikan penggunaannya serta membeli pesawat baharu.

Menurut menteri itu lagi, jet pejuang tersebut tidak sepatutnya mempunyai masalah selagi ia diselenggara dengan baik.

"Selagi mana pesawat-pesawat tersebut boleh berfungsi dan dapat digunakan untuk tujuan sepatutnya, pada saya ia tidak menjadi hal ia sudah berapa tahun. Ia bergantung kepada cara bagaimana pesawat itu diselenggara," tambah Hishammuddin.

Beliau menambah bahawa kerajaan kini perlu menumpukan peruntukan kewangannya kepada perkara yang perlu diberi keutamaan, terutama ketika ekonomi negara terkesan akibat pandemik COVID-19.

Bertentangan laporan Kertas Putih Pertahanan

Kenyataan Menteri Pertahanan itu bagaimanapun bertentangan dengan laporan dikeluarkan kerajaan melalui Kertas Putih Pertahanan 2019, yang mana Putrajaya telah disarankan supaya menukar segera kesemua 28 pesawat Hawk 108, termasuk varian Hawk 208 yang mempunyai tempat duduk tunggal, yang diperolehi pada tahun 1994.

"Pihak tentera memerlukan pesawat tempur jenis ringan (LCA) secepat mungkin bagi meningkatkan bilangan program juruterbang dan untuk memastikan terdapat bilangan pesawat pejuang yang mencukupi bagi menjalankan operasi di masa akan datang," menurut laporan Kertas Putih tersebut.

Pesawat LCA jenis baharu mempunyai beberapa fungsi termasuk memberikan bantuan serangan udara secara rapat, pemintasan udara dalam peperangan, dan operasi pintasan bagi memberikan sokongan kepada pesawat tempur pelbagai peranan, atau dikenali sebagai MRCA.

Pada Disember tahun lepas, Panglima Tentera Udara Ackbal Abdul Samad mengumumkan bahawa pesawat-pesawat Hawk sedia ada tidak akan dinaiktaraf lagi kerana TUDM telah membuat perancangan untuk membeli 36 buah pesawat tempur ringan secara berfasa, bergantung kepada kelulusan kerajaan.

"Pesawat dua fungsi Light Combat Aircraft/Fighter Lead in Trainer (LCA/FLIT) ini mengikut jumlah keperluan sebenar adalah sebanyak 36 buah, tetapi untuk perancangan kita masih menunggu jumlah peruntukan," kata Ackbal semasa sidang media pada Disember tahun lepas.

"TUDM memerlukan LCA/FLIT sebagai pesawat dwi-fungsi yang mempunyai kebolehan seimbang untuk digunakan bagi melatih juruterbang serta pelbagai operasi dan misi.

"TUDM telah memohon peruntukan daripada kerajaan untuk memperolehi 18 pesawat dalam fasa pertama melalui pendaftaran projek baru 2021, serta permohonan untuk perolehan Fasa 2 bagi mendapatkan 18 buah lagi pesawat di bawah Rancangan Malaysia Ke-13," kata Ackbal lagi.

Naiktaraf bukan opsyen

Panglima TUDM itu juga menjelaskan kelulusan perolehan pesawat dwi fungsi oleh kerajaan adalah bertujuan untuk menggantikan pesawat jenis Hawk yang telah digunakan dalam sejak lebih 23 tahun lalu.

Beliau berkata, jangka hayat pesawat Hawk akan tamat tidak lama lagi dan menaiktarafnya bukan lagi satu opsyen kerana TUDM berdepan dengan isu ‘airframe’.

Ackbal kemudiannya memberitahu yang penggunaan pesawat Hawk dijangka akan ditamatkan perkhidmatannya dalam masa lima tahun lagi sementara menunggu pesawat LCA/FLIT yang baharu.

Jet pejuang Hawk 108/208 buatan BAE System, firma United Kingdom itu masih lagi digunapakai oleh TUDM, dengan kesemua pesawat perjuang itu diperolehi sejak 1994, di mana sebanyak 28 buah persawat berada dalam pemilikan Tentera Udara.

Dalam kejadian terbaharu di Pangkalan TUDM Butterworth di Pulau Pinang itu, jet pejuang Hawk 108 yang dipandu oleh dua juruterbang Kapten Mohamad Affendi Bustamy dan rakannya Mejar Mohd Fareez Omar terhempas di dalam kawasan pangkalan semasa sedang membuat penerbangan latihan pada waktu malam.

Kapten Mohamad Affendi terkorban manakala Mejar Mohd Fareez mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya serta dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan stabil.

Sebelum ini, sebuah pesawat Hawk 108 pernah terhempas di dalam sebuah hutan paya bakau di Cukai, Terengganu pada Jun 2017, selepas ia dilaporkan hilang dari radar.

Kemampuan Hawk

Pakar keselamatan Ramli Dollah dari Universiti Malaysia Sabah ketika dihubungi memberikan pandangan optimis seperti disuarakan Menteri Pertahanan, yang terus menaruh keyakinan terhadap kemampuan armada pesawat Hawk TUDM walaupun selepas berlakunya banyak kemalangan.

"Walaupun terdapat beberapa kejadian membabitkan Hawk pada masa lalu, saya rasa pesawat Hawk masih merupakan jet pejuang yang boleh menjalankan tugas menjaga keselamatan negara. Selagi mana ia diselenggara dengan bagus, sepatutnya tiada isu yang patut timbul," kata Ramli kepada BenarNews.

Bagi mengukuhkan hujahnya, Ramli memberikan contoh ketika berlakunya pencerobohan oleh pesawat Tentera Udara China di Laut Cina Selatan - berhampiran Beting Patinggi Ali - di mana TUDM menghantar pesawat Hawk untuk memintas jet China.

"Kita menghantar pesawat Hawk untuk berdepan dengan ancaman tersebut. Ia adalah bukti bahawa kita boleh berharap pada Hawk untuk melakukan pintasan terhadap pesawat China," tegas beliau.

Selain pesawat jenis Hawk 108 dan 208 yang dibangunkan oleh BAE Systems, Malaysia turut mempunyai pemilikan terhadap jet pejuang Sukhoi Su-30MKM dan Boeing F/A-18D Hornet dengan beberapa pesawat latihan seperti Aermacchi MB-339, Beechcraft Super King Air B200 dan Pilatus PC-7/Pilatus PC-7 Mk11.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh