Follow us

Presiden PAS dilantik Utusan Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-04-02
E-mel
Komen
Share
Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Abdul Hadi Awang semasa satu wawancara media di Ibupejabat parti di Kuala Lumpur, Malaysia, 31 Mac, 2015.
Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Abdul Hadi Awang semasa satu wawancara media di Ibupejabat parti di Kuala Lumpur, Malaysia, 31 Mac, 2015.
[AFP]

Kerajaan Malaysia telah melantik Abdul Hadi Awang, Presiden parti PAS, yang konservatif dan Islamik sebagai Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah dengan beliau pernah tersenarai sebagai antara 500 tokoh Islam berpengaruh di dunia oleh The  Royal  Islamic  Strategic Studies berpusat di Jordan pada 2016.

Pengumuman mengenai perlantikan itu dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri melalui satu kenyataan media lima perenggan yang dikeluarkan di Putrajaya lewat Khamis.

"YAB Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersetuju melantik YB Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas YAB Perdana Menteri ke Timur Tengah Bertaraf Menteri,

“Abdul Hadi Awang merupakan bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia. Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu pada 1999 hingga 2004,” kata Pejabat Perdana Menteri sambil memetik yang Abdul Hadi adalah antara 500 tokoh Islam berpengaruh di dunia menurut The Royal Islamic Strategic Studies, Jordan pada 2016.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menjelaskan skop tugas yang bakal digalas oleh Abdul Hadi, 72  dan bila akan memulakan tugasnya itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang dalam satu muatnaik di laman media sosial Facebooknya berterima kasih kepada Perdana Menteri dengan pelantikan tersebut.

“Saya dengan rendah diri mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Insya-Allah saya akan memanfaatkan sedikit pengalaman untuk membantu Kerajaan Malaysia memimpin agenda perpaduan ummah dan keamanan sejagat,” kata beliau secara ringkas.

Abdul Hadi yang tidak tersenarai dalam kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini menjelaskan beliau memilih untuk tidak diberikan portfolio kerajaan supaya dapat memantau menteri-menteri PAS yang berada dalam kerajaan.

"Kita hantar wakil menteri dan timbalan menteri yang akan melaksanakan peranan eksekutif untuk membuktikan kemampuan mentadbir dan mengurus dalam keadaaan parti perlu memantau.

"Sebab itu saya sebagai presiden parti tidak dilantik sebagai menteri kabinet untuk lebih berkesan parti memantau kerajaan, menteri-menteri kabinet dan timbalan menteri kita yang duduk dalam kerajaan," katanya dalam satu siaran langsung di Facebook pada 10 Mac lalu.

Beliau yang bergiat dalam politik sejak 1964 fasih berbahasa arab dan merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah dan Ijazah Sarjana dalam bidang Sains Politik dan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Beliau memegang jawatan presiden PAS sejak 2003 menggantikan tempat yang dikosongkan selepas kematian presiden terdahulu Fadzil Noor.

Selain Abdul Hadi, kabinet yang dipilih Muhyiddin setelah berjaya menumbangkan kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan itu juga tidak menampilkan Presiden parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu Malaysia (UMNO) Ahmad Zahid Hamidi yang sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah di mahkamah.

Rapatkan hubungan dengan dunia Arab

Mengulas mengenai pelantikan Abdul Hadi, pakar sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia Abdul Muein Abadi berkata ia merupakan pelengkap kepada Menteri Luar Hishamuddin Hussin yang turut disegani di rantau itu.

“Hishammuddin memiliki hubungan yang cukup erat dengan para pemimpin kerajaan monarki Arab seperti Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, dan Kuwait.

“Abdul Hadi Awang pula cukup berpengalaman dan memiliki hubungan erat dengan gerakan Islamis di Timur Tengah seperti Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia, Ikhwanul Muslimin, Hamas Palestin, serta pelbagai gerakan Islam lain di Turki, Tunisia, Maghribi, Qatar, dan juga Iran – antara seteru monarki Arab,” kata Abdul Muein kepada BeritaBenar.

Menurut beliau gandingan antara Hishammuddin yang pro-monarki Timur Tengah dan Abdul Hadi yang pro-Islamis ini akan membawa manfaat kepada kepentingan strategik Malaysia.

Pada 31 Ogos 2018 lalu, kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Perdana Menteri Mahathir Mohamad ketika itu melantik Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke China dan juga pengerusi Malaysia-China Business Council.

Perlantikan Abdul Hadi dilihat sebagai satu cara untuk merapatkan hubungan Malaysia dan negara di Timur Tengah.

Hubungan Malaysia dan Arab Saudi dilihat sedikit terjejas apabila Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu Mahathir menganjurkan perhimpunan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur yang dilihat sebagai cubaan untuk merendahkan fungsi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Raja Saudi Raja Salman Abdulaziz menyatakan kerisauan beliau melalui satu ‘video call’ kepada Mahathir dan untuk menunjukkan bantahan Arab Saudi tidak menghantar wakil kerajaannya pada Sidang Kemuncak tersebut yang dihadiri antara lainnya Turki, Jordan dan Iran.

Lihat Laman Penuh