Malaysia, Indonesia Gesa Laksana Resolusi Aman di Laut China Selatan
2016.07.12
Washington DC

Negara-negara Asia Tenggara menggesa supaya resolusi aman dilaksanakan dalam pertikaian Laut China Selatan berikutan keputusan tribunal Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menolak tuntutan luas China terhadap perairan itu yang strategik dan kaya dengan sumber.
Semasa menyampaikan keputusannya pada Selasa berhubung saman yang dikemukakan oleh Filipina pada 2013, Mahkamah Tetap Timbang Tara (PAC) di The Hague sebulat suara menolak tuntutan China berdasarkan garisan sembilan sempang dalam peta China era 1940-an.
"Tribunal membuat kesimpulan bahawa ... tidak ada asas undang-undang bagi China untuk menuntut hak-hak bersejarah kepada sumber, melebihi hak-hak yang diperuntukkan oleh Konvensyen itu, di dalam kawasan laut yang termasuk dalam 'garisan sembilan sempang'," kata kenyataan akhbar yang dikeluarkan PAC pada Selasa.
Mahkamah itu memutuskan bahawa China telah melanggar hak kedaulatan Filipina menerusi gangguan dengan menangkap ikan dan cari gali minyak, membina pulau buatan dan gagal menghalang bot-bot China daripada menangkap ikan di zon ekonomi eksklusif (ZEE) yang sejauh 200 batu nautika dari garis pantai, seperti yang ditetapkan dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).
Mahkamah itu juga mempersalahkan China kerana menghalang secara fizikal bot-bot Filipina dalam zon-zon berkenaan selain menyebabkan "kerosakan teruk" kepada ekosistem rapuh menerusi projek-projek penambakan dan pembinaan yang dijalankannya.
Di Manila, kerajaan baru pimpinan Presiden Rodrigo Duterte memberi maklum balas dalam nada berhati-hati.
"Filipina amat menghormati keputusan ini yang merupakan sumbangan penting kepada usaha-usaha berterusan dalam menangani pertikaian di Laut China Selatan," kata Menteri Luar Perfecto Yasay di Manila pada Selasa.
"Filipina mengulangi komitmennya dalam usaha untuk meneruskan resolusi aman dan pengurusan pertikaian dengan tujuan menggalakkan serta meningkatkan keamanan dan kestabilan di rantau ini," katanya.
China, yang enggan mengambil bahagian dalam prosiding tribunal itu, berkata, ia menolak keputusan "yang tidak adil dan menyalahi undang-undang" itu, yang sah mengikut undang-undang antarabangsa tetapi tidak mempunyai mekanisme penguatkuasaan.
"Hak dan kepentingan kedaulatan dan maritim wilayah China di Laut China Selatan tidak akan terjejas dalam apa jua keadaan berikutan keputusan ini. China menentang dan tidak akan menerima sebarang tuntutan atau tindakan berdasarkan kepada keputusan ini, "katanya dalam satu kenyataan.
Terperangkap dalam pertikaian
Keputusan itu memberi implikasi kepada beberapa negara kecil di rantau itu yang terpaksa menyaksikan perluasan kuasa China ke dalam beberapa kawasan seperti Kepulauan Spratly yang dituntut oleh Malaysia, Vietnam, Brunei dan Taiwan serta Filipina dan China.
"Malaysia percaya semua pihak berkenaan mampu menyelesaikan pertikaian dengan menghormati sepenuhnya proses diplomatik dan undang-undang, serta undang-undang antarabangsa dan UNCLOS 1982,” kata Kementerian Luar negara itu dalam satu kenyataan.
"Malaysia percaya bahawa adalah amat penting bagi semua pihak mengekalkan keamanan, keselamatan, kestabilan dan menahan diri daripada melakukan aktiviti yang boleh merumitkan lagi pertikaian atau menimbulkan ketegangan, serta mengelak daripada mengancam atau menggunakan kekerasan di Laut China Selatan," katanya.
Indonesia pula mengekalkan pendirian neutral sejak bertahun-tahun lalu berhubung pertikaian wilayah itu tetapi semakin ditarik untuk menghampiri perbalahan berkenaan dalam beberapa bulan kebelakangan ini berikutan serangan berulang kali oleh nelayan China berhampiran kepulauan Natuna.
Pada akhir Jun, kapal Tentera Laut Indonesia melepaskan tembakan amaran semasa mengejar 12 bot nelayan asing di kawasan itu, yang terletak di barat laut selatan Borneo. Sebuah bot yang mempunyai bendera China telah ditahan bersama-sama tujuh anak kapalnya, yang menyebabkan China mengemukakan bantahan, demikian menurut laporan.
"Indonesia sekali lagi menyeru semua pihak untuk menahan diri dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menyebabkan ketegangan, serta melindungi rantau Asia Tenggara terutamanya daripada sebarang aktiviti ketenteraan yang boleh menimbulkan ancaman kepada keamanan dan kestabilan, dan menghormati undang-undang antarabangsa termasuk UNCLOS, " kata Kementerian Hal Ehwal Luar negara itu dalam satu kenyataan.
Melda Kamil Ariadno, seorang pakar undang-undang antarabangsa di Universiti Indonesia, berkata peraturan itu boleh membawa ketidakstabilan jika China tidak menghormatinya.
"China telah menolaknya, negara itu mempunyai hak untuk berbuat demikian, dan akan mempertahankan pandangannya dengan sebarang cara yang mungkin. Ini boleh membawa kepada kemungkinan berlakunya konflik. Rantau ini tidak akan selamat lagi, " kata Melda kepada BeritaBenar pada Selasa.
China mungkin meningkatkan kehadiran tenteranya di rantau ini sebagai tindak balas kepada tekanan antarabangsa, kata beliau.
"Ini berbahaya, kerana kurangnya kebebasan belayar di Laut China Selatan akan menggalakkan pihak-pihak ketiga untuk melibatkan diri dan campur tangan," katanya sambil menambah kata bahawa Jepun, Australia atau Amerika Syarikat boleh melibatkan diri pada ketika itu.
Sebagai sebuah negara terbesar dalam Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), Indonesia perlu menggesa blok serantau itu supaya melaksanakan peranannya dalam menyelesaikan masalah tersebut.
"Indonesia adalah negara terbesar di ASEAN, dan ia mempunyai kepentingan dalam perkara itu kerana perairan Natuna sering dicerobohi, maka ia perlu lebih aktif dan berani," katanya.
Mohd Azizuddin Mohd Sani, seorang penganalisis hubungan antarabangsa di Universiti Utara Malaysia, berkata, keputusan semalam boleh memberi sedikit kesan kerana China telah menolaknya.
"Oleh itu, Filipina tidak dapat berbuat apa-apa dan China tahu keputusan itu tidak akan memberi kesan kepada negaranya dalam apa jua cara," katanya.
Tia Asmara di Jakarta, Hata Wahari dan Melati Amalina di Kuala Lumpur menyumbang kepada laporan ini.