Follow us

COVID-19: Malaysia Sertai Beberapa Negara Lain Tangguh Hantar Jemaah Haji

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-06-11
E-mel
Komen
Share
Jemaah haji Malaysia bersedia untuk menaiki bas dari penginapan Tabung Haji ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk berlepas ke Arab Saudi bagi menunaikan ibadah haji, 14 Ogos, 2018.
Jemaah haji Malaysia bersedia untuk menaiki bas dari penginapan Tabung Haji ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk berlepas ke Arab Saudi bagi menunaikan ibadah haji, 14 Ogos, 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia pada Khamis menyertai Indonesia dan beberapa negara lain di Asia Tenggara menangguhkan penghantaran jemaah haji ke Mekah tahun ini atas alasan kebimbangan kesihatan melibatkan wabak koronavirus yang telah menjangkiti lebih 100,000 orang di Arab Saudi, kata pegawai.

Kira-Kira 31,600 jemaah Malaysia didaftarkan untuk menunaikan haji – antara kewajiban utama umat Islam – namun kini mereka terpaksa menangguhkan rancangan meneruskan perjalanan keagamaan yang wajib dilaksanakan sekali seumur hidup itu, demikian menurut pengumuman kerajaan.

Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama, berkata kerajaan mengambil keputusan itu setelah berunding dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Lembaga Tabung Haji – agensi yang menguruskan dana untuk jemaah haji Malaysia dan perkara yang berkaitan dengan ziarah ke tanah suci umat Islam itu.

“Berdasarkan taklimat yang disampaikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Lembaga Tabung Haji serta perbincangan ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang telah bersidang pada 9 Jun 2020, ibadat haji untuk semua rakyat Malaysia bagi Musim Haji 1441 Hijrah adalah ditangguhkan,” menurut Zulkifli dalam satu kenyataan, merujuk kepada tahun dalam kalendar Islam.

“Sehingga kini, masih belum ada vaksin yang sesuai untuk mengekang penyebaran virus COVID-19 yang telah meragut banyak nyawa di seluruh dunia. Ibadat haji yang merupakan Rukun Islam kelima berkait rapat dengan syarat istito’ah,  iaitu berkemampuan menunaikan haji dari aspek kesihatan, keselamatan, keizinan melakukan perjalanan ke Tanah Suci dan kewangan. Tanpa keupayaan atau kemampuan pada  hal-hal yang disebutkan, maka menurut hukum syariah syarat istito’ah tidak dicapai untuk mewajibkan kita menunaikan haji. Saya nyatakan dengan tulus ikhlas bahawa ini adalah keputusan yang amat berat untuk diluahkan.”

Menteri itu berkata beliau telah bertemu duta besar Arab Saudi ke Malaysia pada Rabu untuk menyerahkan surat secara rasmi berhubung penangguhan mengerjakan ibadat haji oleh jemaah Malaysia kepada Menteri Haji dan Umrah, Mohammed Saleh bin Taher Banten, selain memaklumkan bahawa beliau juga telah mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong – kuasa tertinggi berhubung hal ehwal Islam negara berhubung penangguhan itu.

Diberi keutamaan pada tahun hadapan

Dalam kenyataan berasingan, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, Pengarah Urusan Lembaga Tabung Haji berkata semua jemaah yang telah berdaftar bagi musim haji 2020 akan diberi keutamaan untuk melakukan perjalanan mereka pada tahun depan.

"Oleh kerana penangguhan ini, semua calon jemaah yang diperuntukkan untuk menunaikan haji bagi musim 2020 akan diberi keutamaan untuk melakukan ibadat itu pada 2021. Mereka yang mendapat giliran bagi tahun 2021 juga akan berpeluang pergi sementara menunggu ketersediaan dalam kuota tahunan,” katanya.

Ibadat haji di Mekah dilakukan setiap tahun untuk tempoh selama 10 hari pada bulan kedua belas dan terakhir dalam kalendar hijrah Islam, dan diwajibkan ke atas semua umat Islam yang mempunyai kemampuan fizikal serta kewangan, sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup mereka.

Bagi mengawal kemasukan jemaah haji, kerajaan Arab Saudi mengeluarkan kuota dengan kadar 0.1 peratus daripada jumlah penduduk bagi setiap negara.

Ibadat haji tahun ini dijangka berlangsung dari akhir Julai hingga awal Ogos namun Arab Saudi masih belum membuka semula Masjid Besar di Mekah – antara destinasi utama jemaah haji yang berhimpun di tanah suci itu dari seluruh dunia – kerana kerajaan negara itu masih bertungkus-lumus memerangi pandemik COVID-19.

Pada awal tahun ini, Riyadh mengumumkan akan menangguhkan ibadat Umrah - juga dikenal sebagai ziarah kecil ke Mekah – susulan kebimbangan yang menyelubungi penularan virus tersebut.

Buat masa ini, Arab Saudi mungkin mengambil langkah mengurangkan jumlah jemaah haji dalam usaha mencegah penularan wabak itu pada masa depan, menurut laporan berita kerajaan itu minggu ini.

Pada 2 Jun, Indonesia mengumumkan pembatalan penghantaran 200,000 jemaah haji atas alasan ketidakpastian sama ada pihak berkuasa Arab Saudi akan membenarkan mereka memasuki negara itu susulan penularan wabak yang sedang melanda.

Singapura, Brunei, Thailand dan Kemboja juga telah mengumumkan tidak akan menghantar jemaah haji masing-masing pada tahun ini.

Zamzam Jaafar, 67, antara rakyat Malaysia yang telah mendaftar untuk menunaikan ibadat haji pada tahun ini bersama saudara lelakinya, berkata beliau menerima keputusan kerajaan itu.

"Saya menyerahkannya kepada Tuhan, dan saya reda. Saya tidak sabar untuk ke Mekah tahun depan,” kata ahli fizik nuklear yang telah bersara itu kepada BeritaBenar.

Lihat Laman Penuh