Agong Diminta Campur Tangan Isu Lanjutan Khidmat Ketua Hakim

Fadzil Aziz & Ray Sherman
2017.08.02
Kuala Lumpur
170802-MY-judges-620.jpg Pengerusi pakatan pembangkang Mahathir Mohamad (tengah) dan pemimpin pembangkang lain menunjukkan salinan petisyen yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Malaysia, di pintu gerbang Istana Negara, 2 Ogos 2017.
[Fadzil Aziz/BeritaBenar]

Pemimpin empat parti pembangkang bertemu dengan pegawai istana Malaysia pada Rabu bagi menyerahkan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong untuk meminta mahkamah tertinggi negara mencabar keputusan kerajaan melanjutkan tempoh perkhidmatan dua hakim tertinggi negara.

Pakatan utama pembangkang, Pakatan Harapan, yang diketuai oleh pengerusi dan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata, Yang di-Pertuan Agong adalah satu-satunya yang boleh menggunakan budi bicara baginda mengikut Perkara 130 Perlembagaan untuk merujuk keputusan itu bagi disemak semula oleh mahkamah. Mahathir, yang merupakan pengkritik paling lantang Perdana Menteri Najib Razak berkata, Yang di-Pertuan Agong berkenan melanjutkan tempoh perkhidmatan hakim-hakim berkenaan selepas menerima nasihat Najib.

"Kami semua yang mewakili empat parti dalam Pakatan Harapan, melalui surat ini, menggesa Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan budi bicara baginda dan merujuk perkara itu kepada Mahkamah Persekutuan bagi memutuskan sama ada perlantikan semula itu sah," kata Mahathir kepada pemberita di luar pintu gerbang Istana Negara di Kuala Lumpur.

Perkara 130 menyatakan "Yang di-Pertuan Agong Malaysia boleh merujuk kepada Mahkamah Persekutuan bagi pendapatnya tentang sebarang persoalan berhubung tentang apa-apa peruntukan Perlembagaan yang telah berbangkit atau nampaknya akan berbangkit, dan Mahkamah Persekutuan hendaklah menyatakan pendapatnya di mahkamah terbuka berhubung sebarang persoalan yang dirujuk kepadanya. "

Mahathir, pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang baru ditubuhkan, menandatangani petisyen berkenaan bersama-sama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden Parti Amanah Nasional Mujahid Yusuf Rawa dan pemimpin Parti Tindakan Demokratik [DAP] Lim Kit Siang.

Para penggubal undang-undang dan pakar perundangan Malaysia telah mengkritik langkah melanjutkan pelantikan Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin dengan menganggap perubahan itu sebagai tidak berperlembagaan kerana ia menggugat kebebasan kehakiman negara.

Mengikut Perlembagaan, tempoh perkhidmatan hakim tidak boleh dilanjutkan bagi mereka yang telah mencapai umur 66 tahun dan 6 bulan.

Md Raus akan mencapai umur persaraan mandatori pada Khamis dan Zulkefly pula pada 27 September ini tetapi akan kekal menjadi hakim tambahan yang tidak terikat dengan had umur yang sama.

Tempoh perkhidmatan masing-masing dilanjutkan kepada tiga dan dua tahun dengan kedua-dua hakim itu dilantik sebagai hakim tambahan kepada Mahkamah Persekutuan - mahkamah tertinggi negara, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Najib pada 7 Julai.

"Lanjutan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif akan berkuat kuasa dalam masa dua hari lagi dan sekiranya perkara ini tidak ditangani dengan serta-merta, ia boleh mengakibatkan krisis kehakiman kerana semua perbicaraan atau keputusan selepas 4 Ogos akan menjadi tidak sah," kata Mahathir.  "Ia juga akan melumpuhkan sistem pentadbiran badan kehakiman, yang diketuai oleh ketua hakim, kerana ia tidak diurustadbirkan oleh hakim yang sah di bawah Perlembagaan."

Dr Mahathir berkata berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, pelantikan kedua-dua hakim itu dibuat berdasarkan kepada perkenan Agong dengan nasihat daripada Najib, dan Agong mempunyai kuasa membawa perkara itu ke mahkamah sebelum ia dikuatkuasakan.

Kerajaan telah mengumumkan bahawa langkah itu dibuat mengikut Perkara 122 Perlembagaan. Yang di-Pertuan Agong Malaysia, bertindak atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja yang mewakili 13 negeri dalam Persekutuan Malaysia, telah meluluskan pelantikan itu.

Bekas Ketua Hakim Negara Abdul Hamid Mohamad, pakar-pakar perlembagaan dan Majlis Peguam Malaysia berpendapat bahawa istilah hakim tambahan dalam Perlembagaan membenarkan pelantikan ke mahkamah persekutuan, tetapi ia tidak boleh digunakan untuk menambah tempoh lanjutan perkhidmatan.

Kerajaan mempertahankan tindakan itu dengan menyatakan bahawa Perlembagaan membenarkan urusan sedemikian dan mencabar pengkritik untuk membawa perkara itu ke mahkamah.

"Perlembagaan Persekutuan tidak melarang mana-mana hakim tambahan di mahkamah persekutuan daripada memegang jawatan lain," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang Azalina Othman pada bulan lalu. "Saya berpendapat bahawa pengalaman dan kepakaran kedua-dua hakim itu amat diperlukan oleh sistem kehakiman negara."

Peguam Mahathir, Haniff Khatri Abdulla, memberitahu BeritaBenar bahawa perkara itu penting kerana badan kehakiman tidak sah jika pelantikan itu dibuat tanpa mengikut undang-undang.

"Ini bukan tentang keperibadian dua hakim itu, tetapi ia adalah perkara yang terkandung di dalam Perlembagaan Malaysia," katanya kepada BeritaBenar pada Rabu.

Pejabat Perdana Menteri tidak dapat dihubungi untuk memberi komen.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.