Follow us

Perdana Menteri Malaysia Terima Kunjungan Pemimpin Hamas di Putrajaya

Staf BeritaBenar
Kuala Lumpur & Washington
2020-01-22
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Mahathir Mohamad bersalaman semasa menerima kedatangan pemimpin Pergerakan Hamas Palestin, Ismail Haniyeh di pejabatnya di Putrajaya, Malaysia, 22 Jan, 2020.
Perdana Menteri Mahathir Mohamad bersalaman semasa menerima kedatangan pemimpin Pergerakan Hamas Palestin, Ismail Haniyeh di pejabatnya di Putrajaya, Malaysia, 22 Jan, 2020.
[Ihsan Pejabat Perdana Menteri]

Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad pada Rabu menerima kunjungan pemimpin Pergerakan Hamas Palestin, Ismail Haniyeh yang sedang mengadakan lawatan rasmi pertama ke negara itu sejak beliau dilantik sebagai pemimpin tertinggi Hamas pada Mei 2017, kata pegawai.

Semasa membuat kunjungan hormat di pejabat perdana menteri itu, Haniyeh memuji Mahathir, yang dikenali sebagai lantang mengkritik Israel, kerana menyokong rakyat Palestin, demikian menurut agensi berita negara dan juga maklumat di akaun rasmi Twitter Mahathir.

Amerika Syarikat dan Israel telah menyenaraikan Haniyeh sebagai pengganas manakala Hamas pula sebagai organisasi keganasan. Kunjungan Haniyeh ke Malaysia adalah sebahagian daripada beberapa siri lawatan rasmi pertamanya di luar Semenanjung Gaza atau Mesir sebagai ketua sayap politik gerakan Islam Hamas. Beliau sebelum itu turut melawat Iran, Oman, Turki dan Qatar.

"Menurut pemimpin Hamas itu, Malaysia mempunyai kedudukan yang sangat istimewa dalam dunia Islam," kata agensi berita nasional Malaysia Bernama yang memetik kata-kata Mahathir mengenai perbualannya dengan Haniyeh.

Mahathir berkata Haniyeh merakamkan ucapan terima kasih atas usaha Perdana Menteri "yang membawa idea-idea segar berkenaan dunia Islam," dengan pemimpin Hamas itu menamakan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh kerajaan Malaysia sebagai contoh.

Bulan lepas, Malaysia menjadi hos kepada pemimpin Iran, Turki dan Qatar – yang kesemuanya merupakan pesaing Arab Saudi – semasa persidangan selama tiga hari di ibunegara itu.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengkritik penganjuran sidang kemuncak anjuran Malaysia dengan mengatakan ianya boleh melemahkan badan antara kerajaan 57 buah negara yang berpusat di Jeddah itu.

Pada tahun 2018, selepas Haniyeh mengetuai Hamas, kerajaan Amerika Syarikat telah memasukkan namanya dalam senarai khas pengganas global yang perlu dihapuskan, dengan mengatakan bahawa beliau telah "melakukan, atau menimbulkan risiko besar untuk melakukan, tindakan keganasan yang mengancam keselamatan rakyat, negara, dasar luar dan ekonomi Amerika Syarikat. "

Jabatan Negara AS juga sebelum itu telah menyenaraikan Hamas sebagai organisasi pengganas asing, menuduh unit yang dikaitkan dengannya mahu melakukan pengeboman bunuh diri dengan menyasarkan orang awam dan tentera Israel.

Pada April 2018, seorang jurutera Palestin bernama Fadi Mohamad Al Batsh, yang didakwa mempunyai kaitan dengan Hamas, telah ditembak mati di Kuala Lumpur. Menurut laporan media Israel, beliau dibunuh oleh Mossad, khidmat perisikan kebangsaan Israel.

Mahathir yang berusia 94 tahun, yang dituduh media Israel dan Barat sebagai anti-Semitik kerana berani menyatakan pandangannya, juga lantang mengkritik Amerika Syarikat yang bersekutu dengan Israel sejak sekian lama, walaupun selepas kembali ke jawatan Perdana Menteri Malaysia yang mempunyai majoriti penduduknya beragama Islam, pada 2018.

Dalam temu bual dengan BeritaBenar di Putrajaya pada September 2016, Mahathir menegaskan  dasar Barat di Timur Tengah, termasuk sokongan Barat yang berterusan keatas Israel, sebagai memburukkan lagi masalah keganasan di seluruh dunia.

Kumpulan militan yang dikenali sebagai Negara Islam (IS) wujud dan berkembang luas adalah kerana konflik Israel-Palestin, dakwa Mahathir.

"Tetapi dunia tidak akan melihatnya kerana pihak media dikawal sepenuhnya oleh negara-negara Barat,” kata Mahathir pada temu bual itu. “Mereka tidak akan menyalahkan diri sendiri…. Punca sebenar adalah mereka telah silap mengendalikan Timur Tengah dalam tempoh 60 tahun lepas."

Lihat Laman Penuh