Malaysia Harap AS Tolak Rayuan Hambali

Nani Yusof & Muzliza Mustafa
Washington & Kuala Lumpur
2016-08-22
Share
160822-my-id-hambali-620 Erwin Mappaseng, Ketua Detektif Polis Indonesia, memegang gambar dan peta yang menunjukkan laluan yang didakwa dilalui oleh Hambali selepas sebutir bom meletup di Sumatera Utara pada Disember 2000, 21 Ogos 2003.
AFP

Malaysia berharap Amerika Syarikat menolak rayuan bekas seorang pemimpin al-Qaeda, Hambali, yang bakal dibebaskan daripada tahanan Teluk Guantanamo, Cuba, dengan pegawai negara itu percaya bahawa lelaki warga Indonesia yang pernah menetap di Malaysia selama 20 tahun masih boleh mencetuskan ancaman.

Laporan media Malaysia yang memetik Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed sebagai berkata, sekiranya Hambali, 52,  atau nama sebenarnya, Encep Nurjaman atau di Malaysia beliau lebih dikenali sebagai Riduan Isamuddin, dibebaskan dan dibenarkan pulang ke Asia Tenggara, dia boleh mempengaruhi dan dikhuatiri akan menjadi pemangkin kepada kumpulan pengganas yang sedia ada di rantau ini.

"Daripada maklumat yang dikumpul agensi keselamatan rantau ini, kita dapati pengganas atau mereka yang berminat untuk menjadi pengganas sekarang ini, tidak mempunyai kepimpinan sofistikated dan tiada pengetahuan untuk mendapatkan senjata serta bahan letupan yang boleh menyebabkan kemusnahan besar.

"Jadi, sekiranya Hambali dibenarkan balik, beliau mempunyai kepakaran tersebut dan mampu menjadi pemimpin kepada pengganas yang ada sekarang," katanya seperti dilaporkan agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada Isnin.

Hambali dilapor muncul di khalayak ramai pada Khamis lepas, apabila membuat permohonan meminta dibebaskan selepas Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berjanji untuk mengosongkan pusat tahanan di Teluk Guantanamo itu.

Wartawan telah dibenarkan menonton sesi pendengaran selama 10 minit yang disiarkan secara langsung menerusi pautan satelit dari penjara di Cuba.

Ia merupakan kali pertama Hambali yang turut dirujuk sebagai 'Osama bin Laden Asia Tenggara’ dilihat secara umum sejak ditahan pada Ogos 2003.

Amerika Syarikat pada Isnin lepas, telah memindahkan 15 tahanan daripada pusat berkenaan ke Emiriah Arab Bersatu, iaitu pemindahan banduan terbesar di bawah pemerintahan presiden itu yang berazam utnuk menutup pusat tahanan berkenaan yang kini masih lagi menempatkan 61 banduan sebelum Obama mengakhiri penggal keduanya sebagai Presiden AS awal tahun depan.

'Tunggu perkembangan'

Dalam pada itu, semasa diminta mengulas samada Hambali akan dibawa pulang ke Malaysia untuk disiasat dan didakwa mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) – SOSMA kerana aktiviti keganasan, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata, Malaysia sedang mengikuti perkembangan mengenai permohonan rayuan bekas pemimpin Al- Qaeda itu.

“Kita sedang tunggu hasil permohoan rayuan beliau,” katanya kepada BeritaBenar tanpa mahu mengulas panjang.

Sementara itu, Nur Jazlan berkata dalam kes Hambali, soal keselamatan merupakan perkara penting yang perlu diambil kira berbanding kebebasan memandangkan beliau terlibat dalam aktiviti keganasan yang menyebabkan kehilangan nyawa seperti serangan bom di Bali pada 2002.

Timbalan Menteri itu juga berharap kerajaan Indonesia terus menahan Hambali sekiranya lelaki itu yang telah ditahan selama 13 tahun di Teluk Guantanamo dibebaskan dan dibenarkan pulang ke republik berkenaan.

Profil Hambali oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (DOD) menyifatkan beliau sebagai dalang operasi Jemaah Islamiyah (JI), sebuah kumpulan militan Asia Tenggara yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda.

Selain serangan bom di Bali, satu siri pengeboman pada sambuatan Hari Krismas di 30 buah gereja di seluruh Indonesia dua tahun sebelum ini turut dilakukan oleh beliau, menurut profil berkenaan.

Lelaki itu ditangkap di Thailand pada tahun 2003, dan akhirnya dibawa ke penjara tentera di Teluk Guantanamo. Beliau  juga disyaki terlibat dalam operasi al-Qaeda serta lain-lain yang berkaitan dengan serangan pengganas pada 11 September 2001, di New York dan Washington.

Khalid Sheikh Mohammad yang dipercayai perancang serangan 9/11, juga dipenjara di Teluk Guantanamo. Osama Bin Laden, bekas ketua al-Qaeda, yang juga dalang utama terhadap serangan itu terbunuh dalam satu serbuan oleh pasukan khas AS di Abbottabad, Pakistan, pada bulan Mei 2011.

Hambali tidak bercakap semasa tampil dikhayalak ramai tetapi seorang pegawai tentera AS mewakili beliau membaca kenyataan pembukaan bagi pihaknya, memanggil rakyat Indonesia itu sebagai "dihormati dan bertenaga," menurut kenyataan bagi sesi pendengaran oleh Associated Press pada Khamis lepas.

"Dia sentiasa tersenyum dan tidak pernah ragu-ragu untuk menjawab apa-apa soalan yang kami ajukan," menurut kenyataan pendengaran itu yang diperolehi BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh