Follow us

Ketua Polis Malaysia: FBI Temu Bual Saksi Kes Hambali

Mejar James Valentine, peguam bela bagi tahanan lama Guantanamo itu, juga mengesahkan bahawa beliau telah menemu bual saksi-saksi lain.
Roni Toldanes, Muzliza Mustafa & Ahmad Syamsudin
Washington, Kuala Lumpur & Jakarta
2019-08-30
E-mel
Komen
Share
Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, bercakap mengenai kes Hambali dan isu-isu lain semasa ditemu bual oleh BeritaBenar di pejabatnya di Bukit Aman, Kuala Lumpur, 30 Ogos, 2019.
Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, bercakap mengenai kes Hambali dan isu-isu lain semasa ditemu bual oleh BeritaBenar di pejabatnya di Bukit Aman, Kuala Lumpur, 30 Ogos, 2019.
[Ihsan Pejabat Ketua Polis Negara]

Ejen-ejen FBI telah melawat Malaysia untuk menemu bual dan mengumpul kenyataan sebagai persediaan bagi perbicaraan yang mungkin diadakan bagi Hambali, tahanan Guantanamo yang dituduh mendalangi dua pengeboman Bali 2002 - serangan pengganas di Indonesia, kata ketua polis Malaysia pada Jumaat.

Pengesahan lawatan ke Malaysia oleh para penyiasat Amerika Syarikat itu dibuat beberapa bulan selepas pendakwa raya Pentagon memfailkan pertuduhan baru dan tambahan terhadap Hambali pada 5 April, dengan menuduh rakyat Indonesia itu bersekongkol dengan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, dan 47 yang lain untuk melakukan serangan pengganas di seluruh Asia Tenggara serta di tempat-tempat lain.

"Ya, ada. Mereka datang ke sini hanya untuk mendapatkan kenyataan bagi memperkuatkan kes mereka terhadap Hambali di mahkamah AS," kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador kepada BeritaBenar, yang merujuk kepada ejen-ejen FBI. "Ya, mereka datang beberapa kali."

Abdul Hamid berkata pihak berkuasa Malaysia turut memberi bantuan kepada para penyiasat Amerika Syarikat itu dengan membantu mereka mengesan dan menemu bual saksi-saksi yang berpotensi.

“[Kami membawa] orang untuk ditemu bual mereka bagi mendapatkan keterangan untuk kes mereka," katanya.

"Mereka mengambil kenyataan dan jika peguambela ingin menyoal siasat, ia terpulang kepada mahkamah," kata ketua polis itu.

Ron Flesvig, jurucakap Pihak Berkuasa Perhimpunan di Pejabat Suruhanjaya Tentera, memberitahu BeritaBenar pada Jumaat bahawa beliau tidak dibenarkan memberi maklumat mengenai laporan berita bahawa pasukan undang-undang yang terlibat dalam kes itu telah pergi ke Asia Tenggara untuk menemu bual saksi-saksi.

"Saya tidak boleh mengesahkannya," kata beliau tetapi memberitahu bahawa bahawa pertuduhan terhadap Hambali "telah dirujuk."

Pejabat Pihak Berkuasa Perhimpunan, antara pasukan dalam Pentagon yang mengendalikan keseluruhan pengurusan proses Suruhanjaya Tentera, bertanggungjawab merujuk pertuduhan itu untuk perbicaraan.

Di bawah sistem perundangan ketenteraan AS, pertuduhan yang dikemukakan secara bersumpah oleh pendakwa raya memerlukan persetujuan Pihak Berkuasa Perhimpunan, pejabat yang mengawal selia suruhanjaya ketenteraan itu, yang boleh memutuskan sama ada kes itu perlu dibicarakan.

Tanpa pertuduhan itu "dirujuk," prosiding pra-perbicaraan tidak boleh dimulakan, kata Flesvig.

Hambali, 55, yang nama sebenarnya ialah Encep Nurjaman (alias Riduan Isamuddin), telah ditangkap di Thailand pada Ogos 2003 bersama-sama rakyat Malaysia Bashir Lap (alias Lilie) dan Mohd Farik Bin Amin (alias Zubair).

Penangkapan mereka berlaku 10 bulan selepas pengeboman yang membunuh 202 orang termasuk 88 orang rakyat Australia di pulau Bali di Indonesia. Pendakwa raya berkata Hambali membiayai dan mendalangi serangan itu.

Selepas penangkapan ketiga-tiga lelaki itu, mereka dihantar ke sebuah rangkaian penjara rahsia CIA sebelum dipindahkan ke penjara tentera AS yang terletak dalam Pangkalan Udara Guantanamo Bay di Cuba pada 4 September 2006.Sehingga Jumaat, Hambali telah ditahan di penjara Guantanamo di Cuba selama 12 tahun dan 11 bulan.

190830-MY-ID-Hambali-inside.jpg
Sepasang penduduk Bali berdoa di sebuah tapak peringatan insiden bom Bali di Kuta sempena memperingati anak perempuan mereka yang terbunuh dalam serangan pengganas pada 2002 di pulau Indonesia itu, 12 Oktober 2010. [AP]

Hambali adalah seorang daripada 17 tahanan "bernilai tinggi" di Guantanamo, yang juga digelar oleh pendakwa raya tentera sebagai "pejuang yang melanggar undang-undang" kerana mereka ditangkap di Afghanistan, Iraq dan negara-negara lain selepas empat serangan yang diselaraskan oleh kumpulan pengganas al-Qaeda terhadap Amerika Syarikat pada 11 September 2001. Serangan itu menyebabkan hampir 3,000 orang terbunuh dan mencederakan lebih 6,000 orang yang lain.

Dokumen mahkamah menyatakan bahawa beliau adalah bekas ketua tentera kumpulan pengganas Indonesia, Jemaah Islamiyah (JI),  yang berkaitan dengan al-Qaeda.

Jabatan Kehakiman AS menerusi jurucakapnya, Nicole Navas Oxman, enggan mengulas tetapi peguam Hambali, Mejar James Valentine memberitahu BeritaBenar awal bulan ini bahawa beliau dan tiga anggota pasukan perundangannya telah menemu bual seorang bekas pengganas di Malaysia pada Julai tahun ini. Beliau enggan memberikan butirannya.

Valentine berkata dua anggota pasukannya juga cuba memasuki Indonesia tetapi disekat daripada memasuki lapangan terbang oleh pihak berkuasa Imigresen pada 11 Julai.

"Kami telah ditahan dan diusir," katanya sambil menjelaskan bahawa beliau dan dua peguam lain ditahan semalaman di sebuah sel menunggu di lapangan terbang antarabangsa Jakarta sebelum dihantar kembali ke Tokyo iaitu destinasi penerbangan pelepasan mereka.

Pihak berkuasa Indonesia berkata pasukan undang-undang yang terlibat dalam kes Hambali tidak mengunjungi negara itu.

"Tidak ada penyiasat dari Amerika Syarikat yang datang ke Indonesia berkaitan dengan kes Hambali," kata Dedy Prasetyo, jurucakap polis nasional Indonesia kepada BeritaBenar awal bulan ini.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri, Teuku Faizasyah, berkata beliau "tidak pernah mendengar tentang lawatan peguam atau penyiasat Hambali ke Indonesia."

"Sekiranya peguam atau penyiasat Hambali ingin melawat, ada caranya untuk itu dan mereka harus memperjelaskan hasrat mereka," katanya. "Pihak yang berkenaan boleh menulis surat kepada kedutaan kami [di Amerika Syarikat]."

Sama seperti dua pertuduhan terdahulu yang difailkan pada 2017, kertas pertuduhan terbaru itu masih mengandungi tujuh pertuduhan terhadap Hambali yang didakwa terlibat dengan pembunuhan, keganasan dan kemusnahan harta benda yang berkaitan dengan kes pengeboman Bali pada 2002.

Dalam pertuduhan konspirasi baru itu, pendakwa raya juga menamakan ulama Islam radikal Abu Bakar Bashir, yang sedang ditahan di penjara di Indonesia, sebagai seorang daripada rakan konspirasi utamanya. Dokumen undang-undang terbaru itu juga memberikan butiran tentang penglibatannya dalam membiayai pengeboman Bali dan rancangan keganasan lain di Asia Tenggara termasuk di Filipina, Singapura dan Australia.

Sekiranya disabitkan, Hambali akan menerima hukuman maksimum penjara seumur hidup kerana pendakwa raya memutuskan untuk tidak memohon hukuman mati, menurut peguam bela.

190830_ID_insert.jpg
Encep Nurjamen (juga dikenali sebagai Hambali) ditunjukkan dalam gambar yang tidak bertarikh oleh Pejabat Peguam bela Awam Persekutuan, di pangkalan AS di Guantanamo Bay, Cuba. [Pejabat Peguam Bela Awam Persekutuan melalui AP]

'Tahanan tidak tetap'


Pihak berkuasa tentera AS semasa di bawah pemerintahan Presiden Barack Obama telah mengklasifikasikan Hambali, Lilie dan Zubair sebagai "tahanan tidak tetap" di bawah Undang-undang Perang, dengan mendakwa bahawa mereka terlibat dalam jenayah perang yang berlanjutan sejak 1993 dan dianggap terlalu berbahaya untuk dibebaskan.

Para pegawai Indonesia telah menyatakan pada tiga tahun lalu bahawa jika Hambali dibebaskan, mereka keberatan untuk menerima penghantaran pulangnya kerana bimbang kepulangannya boleh mencetuskan kebangkitan semula sel-sel pengganas dalam negaranya.

Di bawah Peraturan Persekutuan mengenai Bukti Amerika Syarikat yang dikenali sebagai Peraturan 702, seorang saksi pakar boleh dipanggil untuk memberi keterangan bersumpah melalui sidang video.

Tetapi, Valentine memberitahu BeritaBenar bahawa pihak berkuasa Amerika Syarikat tidak mahu kes Hambali dibicarakan kerana, dakwanya, prosiding itu akan mendedahkan penyeksaan yang dilakukan pihak tentera terhadap anak guamnya.

Kerajaan Amerika Syarikat, kata Valentine, tidak mahu perbicaraan anak guamnya diadakan di mahkamah terbuka kerana perincian tentang penyeksaan itu, yang dilakukan selama tiga tahun dan di tempat-tempat yang dianggap hitam di luar negara sebagai sebahagian daripada Program Tafsir, Tahanan dan Siasatan (RDI) CIA, mungkin terdedah.

"Kerajaan Amerika Syarikat tidak boleh melakukannya. Mereka tidak boleh mengadakan perbicaraan secara terbuka dan adil yang selaras dengan prinsip-prinsip kedaulatan undang-undang dan pada masa sama mahu menyimpan rahsia ini. Satu-satunya cara yang boleh mereka lakukan adalah dengan mengadakan perbicaraan gaya Guantanamo yang telah diterima sejagat," kata Valentine.

Menurut apa yang dikatakan sebagai "Laporan Penyeksaan" Senat, yang diluluskan untuk siaran umum pada Disember 2012, Hambali tidak disoal siasat menggunakan teknik "waterboard" tetapi diperlakukan dengan "teknik yang lebih meluas" termasuk membuatnya berada dalam kedudukan menyakitkan dalam tempoh masa yang panjang dan dihentak ke dinding atau dibiarkan dalam keadaan berbogel dan dikurung di dalam kotak seperti keranda.

Valentine memberitahu BeritaBenar bahawa anak guamnya telah menceritakan kepadanya tentang penyeksaan yang dilakukan itu.

Para pegawai yang ditemu bual sebelum ini oleh BeritaBenar berkata mereka tidak dapat menjelaskan mengapa pendakwa raya Pentagon mengambil masa lebih daripada 10 tahun untuk menyediakan pertuduhan terhadap Hambali. Jika AS memfailkan kes terhadapnya, beliau akan menjadi tahanan pertama Guantanamo yang didakwa di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.

Para pegawai Indonesia memberitahu wartawan beberapa tahun lalu bahawa jika Hambali dibebaskan, mereka keberatan untuk menerima penghantaran pulangnya kerana bimbang kepulangannya boleh mencetuskan kebangkitan semula sel-sel pengganas dalam negaranya.

Ditanya oleh BeritaBenar sama ada Malaysia masih mengusahakan agar orang kanan Hambali iaitu Lilie dan Zubair dibicarakan di tanah air mereka, Abdul Hamid menjawab, "Sudah tentu kami mahu mereka pulang."

"Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membawa mereka pulang," katanya. "Itulah tanggungjawab mana-mana negara. Tidak kira apa yang mereka lakukan. "

Lihat Laman Penuh