Follow us

Malaysia Tahan Tiga Lagi Militan Negara Islam

Muzliza Mustafa & Ray Sherman
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-05-16
E-mel
Komen
Share
Anggota tentera Malaysia berkawal di sebuah pusat membeli belah di pusat bandar Kuala Lumpur, 22 Feb, 2016.
Anggota tentera Malaysia berkawal di sebuah pusat membeli belah di pusat bandar Kuala Lumpur, 22 Feb, 2016.
(AP)

Polis Malaysia pada Khamis berkata ia menahan tiga lagi anggota Negara Islam, dengan sumber jabatan itu mengenal pasti seorang militan Malaysia di Syria - bekas pemain drum sebuah kumpulan rock pada 1990-an – telah memberi arahan kepada mereka supaya melakukan serangan keganasan di tanah air semasa Ramadan.

Ketiga-tiga suspek itu - dua rakyat tempatan dan seorang warganegara Indonesia - ditangkap di Kedah dan Selangor pada Selasa susulan penangkapan empat anggota lain termasuk dua etnik Rohingya pada awal Mei lepas.

Polis pada Isnin mendakwa ahli sel militan Negara Islam (IS) merancang untuk melakukan pembunuhan dan tindakan keganasan pada minggu pertama Ramadan sebagai membalas dendam kematian seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang meninggal dunia semasa rusuhan di sebuah kuil Hindu di Selangor pada November tahun lalu.

Semasa mengumumkan penangkapan empat lelaki itu pada Isnin, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador memberitahu bahawa suspek telah menerima arahan itu daripada seorang militan Malaysia yang beroperasi di Syria namun, identitinya tidak diketahui.

Pada Khamis, sumber polis memberitahu tentang lelaki di Syria itu  kepada BeritaBenar.

"Siasatan mendapati orang yang memberi arahan itu ialah Akel Zainal (yang nama sebenarnya ialah Wan Mohd Aquil Wan Zainal)," kata sumber itu sambil memberitahu bahawa penyiasat tidak pasti sama ada dia masih hidup berikutan tumbangnya kubu kuat IS di Syria pada Mac lepas.

Semasa menamakan Akel, sumber itu berkata penyiasat juga mempunyai keraguan tentang identitinya.

"Kami tidak dapat mengesahkannya. Orang itu boleh jadi Akel atau mungkin menyamar menjadi dirinya. Keadaan di Syria agak tidak menentu sekarang. Kami tidak dapat menentukan keberadaannya sekarang," kata sumber berkenaan.

Akel pernah terkenal sebagai pemain drum kumpulan rock Malaysia sekitar 1990-an dan pada 2014, dia meninggalkan Malaysia untuk menyertai IS di Syria, kata polis.

Berikutan kematian Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, yang merupakan perekrut IS bagi Malaysia, pada 2017, penyiasat mengenal pasti Akel sebagai seorang daripada empat individu yang berkemungkinan mengambil alih peranan merekrut sel di Malaysia.

Sumber itu berkata seorang anggota sel memberitahu polis bahawa Akel, melalui orang tengah, telah menyediakan mereka dengan pistol, 15 peluru dan bahan letupan untuk melancarkan serangan di Malaysia. Senjata dan bahan letupan itu dirampas semasa empat suspek pertama ditangkap.

Latihan buat bom di Indonesia

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Ketua Polis Malaysia berkata kedua-dua suspek rakyat Malaysia – Muhammad Syazani Mahzan dan Muhamad Nuurul Amin Azizan – ditahan di Kedah pada 14 Mei.

"Kedua-duanya ditangkap apabila keluarga masing-masing membuat laporan polis selepas mereka disenaraikan sebagai orang dikehendaki sehari sebelumnya," kata Abdul Hamid sambil memberitahu bahawa Muhammad Syazani dipercayai merancang untuk melancarkan serangan terhadap rumah ibadat bukan Islam di Malaysia.

Mereka dan seorang lagi rakyat tempatan, Muhammad Izham Razani, yang ditahan pada 22 Nov 2018, telah menerima latihan membuat bom di Jogjakarta, Indonesia pada tahun lepas, menurut kenyataan itu.

“Semasa di sana, mereka belajar membuat Triacetone Triperoxide (TATP), sejenis bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan bahan letupan besar dan bom kenderaan. Kedua-dua suspek juga dipercayai melakukan tinjauan di beberapa gereja di Jogjakarta, Indonesia, untuk melancarkan serangan," kata Abdul Hamid.

TATP adalah bahan letupan kristal putih yang menjadi pilihan di kalangan pengebom IS, dan ia digunakan dalam serangan sambutan Hari Easter di Sri Lanka pada bulan lalu yang membunuh beratus-ratus orang, menurut laporan media.

Suspek ketiga, seorang rakyat Indonesia yang dikenal pasti sebagai Nuruddin Alele (alias Fatir), ditahan di Selangor pada Selasa, kata ketua polis Malaysia yang baru itu.

"Suspek merupakan anggota sel IS di mana beberapa ahlinya telah ditahan pada 5 dan 7 Mei lalu kerana terlibat dalam merancang pembunuhan dan serangan ke atas rumah ibadat Kristian, Hindu dan Buddha serta pusat hiburan di Lembah Klang.
Penangkapannya dibuat hasil maklumat orang awam," kata Abdul Hamid.

"Suspek terdedah kepada ideologi IS semasa menjalani hukuman penjara lima tahun di Surabaya, Indonesia."

Kesemua mereka ditahan di bawah Akta 574 Kanun Keseksaan Malaysia dan akan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) SOSMA 2012, kata ketua polis itu.

Sejak awal tahun ini, kira-kira 33 suspek pengganas telah ditangkap di Malaysia. Daripada jumlah itu, seramai 10 orang telah didakwa di mahkamah manakala sembilan lagi dibebaskan, enam orang telah diusir dan seorang lagi dirujuk kepada agensi asing.

Seramai tujuh orang lagi masih dalam tahanan polis tetapi belum didakwa di mahkamah.

Lihat Laman Penuh