Malaysia Tahan Dua Etnik Rohingya Beri Sokongan Kepada Militan ARSA

Ray Sherman & Radzi Razak
2019.07.09
Kuala Lumpur, Malaysia
190709-MY-BU-arrests-620.jpg Polis Malaysia menjaga pintu masuk kuil Sri Maha Mariamman di Subang, Malaysia, 27 Nov, 2018.
(AP)

Polis Anti-Keganasan Malaysia pada Selasa mengumumkan mengenai menahanan dua lelaki etnik Rohingya yang mereka percaya menyokong kumpulan pemberontak Myanmar, termasuk seorang daripadanya didakwa memuat naik rakaman video dalam talian ancaman bunuh terhadap pemimpin Bangladesh.

Selain itu, dua lagi rakyat asing, masing-masing warga Filipina dan India turut ditahan secara berasingan kerana dipercayai mempunyai hubungan juga dengan kumpulan pemberontak, kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kesemua empat suspek, yang nama mereka tidak didedahkan oleh pihak berkuasa negara itu ditangkap di pelbagai lokasi sekitar Kedah dan Selangor antara 14 Jun dan 3 Julai.

"Etinik Rohingya berusia 41 tahun yang bekerja sebagai buruh di Sungai Petani, Kedah itu ditahan pada 24 Jun. Beliau adalah penyokong kumpulan pemberontak Arakan Rohingya Salvation Army [ARSA] ditangkap kerana menyiarkan rakaman video acaman ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wazed di halaman media sosialnya," kata Abdul Hamid.

Polis Malaysia tidak mengambil ancaman bunuh terhadap Hasina itu sebagai satu perkara kecil, kata sumber yang rapat dengan siasatan memberitahu BeritaBenar.

"Kami sedang menyiasat kes itu dan tidak boleh mendedahkan lebih banyak maklumat pada masa ini," kata sumber itu sambil menambah," ini satu perkara yang serius. "

Pemeriksaan latar belakang terhadap etnik Rohingya itu mendedahkan yang beliau mempunyai beberapa rekod jenayah, kata Abdul Hamid.

"Beliau pernah ditahan sebanyak tiga kali sebelum yang terbaru ini. Pertama, pada 1997 kerana memasuki Malaysia secara haram, diikuti pada 2012 kerana memiliki dokumen perjalanan palsu dan terakhir pada 2015 kerana terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia," kata ketua polis itu dalam satu kenyataan tanpa memberi butiran lanjut mengenai perkara tersebut.

Abdul Hamid berkata bahagian anti-keganasan polis Malaysia itu turut menahan seorang lagi warga Rohingya yang bekerja sebagai guru madrasah.

"Lelaki berusia 25 tahun yang bekerja di sebuah sekolah agama di Bukit Pinang di Kedah telah ditahan pada 3 Julai lepas, kerana menjadi penyokong ARSA," katanya sambil menambah yang pihak berkuasa negara sedang menyiasat sama ada kedua-dua lelaki itu mempunyai hubungan.

Pihak berkuasa Myanmar telah menyalahkan pemberontak ARSA kerana melancarkan serangan ganas ke atas pos-pos polis dan tentera di negeri Rakhine yang menimbulkan tindakan keras terhadap minoriti Rohingya Muslim di negara itu pada Ogos 2017, yang menyebabkan lebih 740,000 etnik itu melarikan diri untuk mencari perlindungan di kem-kem pelarian di negara jiran Bangladesh, negara majoriti Islam.

Polis Malaysia tidak memberi butiran lanjut mengenai bagaimana kedua-dua suspek warga Rohingya yang ditahan itu memasuki Malaysia, jika atau mereka mengikut undang-undang negara.

Pada Mei, dua warga Rohingya adalah antara empat suspek yang ditahan pihak berkuasa Malaysia dalam usaha menggagalkan plot militan Negara Islam (IS) untuk menyerang rumah  ibadat dan membunuh "personaliti berprofil tinggi" semasa Ramadan. Penangkapan itu adalah yang pertama didakwa mempunyai kaitan dengan kegiatan pengganas di Malaysia.

Negara-negara Islam telah dilihat sebagai tempat selamat di Asia Tenggara bagi etnik Rohingya melarikan diri dari penganiayaan oleh Myanmar yang mempunyai majoriti penduduk beragama Buddha dan keganasan di Rakhine. Sekurang-kurangnya 90,200 warga Rohingya tinggal di Malaysia, menurut UNHCR, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian.

Tahun lepas, Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu memberi amaran mengenai potensi masalah keselamatan melibatkan etnik Rohingya.

"Kami prihatin bahawa kaum Rohingya boleh dimanipulasi untuk menjadi pengebom berani mati atau direkrut ke dalam sel-sel pengganas di rantau ini," katanya pada mesyuarat keselamatan profesional anti-keganasan di Kuala Lumpur pada Ogos 2018.

Tangkapan lain

Selain tangkapan melibatkan etnik Rohingya, pihak berkuasa anti-keganasan itu juga menahan seorang lelaki rakyat Filipina berusia 54 tahun di Selangor pada 14 Jun lepas.

"Suspek ditangkap kerana didakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan militan Abu Sayyaf (ASG) dan turut terlibat dalam membantu aktiviti kumpulan itu bagi kes culik untuk mendapatkan tebusan di perairan Sabah," kata Abdul Hamid. "Suspek juga tersenarai sebagai orang yang dikehendaki oleh Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM) serta tinggal di Malaysia menggunakan dokumen pengenalan palsu."

Disamping itu, seorang warga India yang berusia 24 tahun dan bekerja sebagai juruteknik penyelenggaraan lif ditahan sekitar Ampang, Selangor, pada 21 Jun lepas kerana dipercayai bertindak sebagai fasilitator kepada anggota kanan kumpulan pengganas Babbar Khalsa International [BKI].

"Suspek dipercayai bertindak sebagai fasilitator kepada anggota kanan kumpulan pengganas Babbar Khalsa International dan memasuki Malaysia pada November 2018 dan Jun lepas. Beliau juga dipercayai telah menyalurkan wang sebanyak 7,600 ringgit (AS$1,830) untuk membiayai kegiatan BKI di Asia Tenggara," tambah Abdul Hamid.

BKI adalah kumpulan militan Sikh, yang menjadi perhatian pada sekitar tahun 1980an kerana membuat pengeboman penerbangan Air India yang menyebabkan kematian seramai 330 penumpang serta anak kapal.

Keempat-empat suspek yang ditahan itu disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, menurut Ketua Polis Malaysia itu.

Sebelum penangkapan terbaru itu, seramai 33 orang telah ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan keganasan di Malaysia sejak 1 Januari lalu. Daripada jumlah ini, sepuluh telah didakwa, sembilan lagi dibebaskan, enam diusir dari Malaysia dan seorang dirujuk kepada agensi asing. Tujuh masih dalam tahanan tetapi belum didakwa.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.