Follow us

Etnik Rohingya Antara Empat Suspek Pengganas Ditahan Malaysia

Ali Nufael & Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-05-13
E-mel
Komen
Share
Polis mengalihkan bangkai kereta terbakar selepas rusuhan diluar kuih Sri Maha Mariamman di Subang, Malaysia, di mana penceroboh menyelinap masuk dan didakwa menyerang penganut agama Hindu yang sedang bersembahyang di situ, 27 Nov, 2018.
Polis mengalihkan bangkai kereta terbakar selepas rusuhan diluar kuih Sri Maha Mariamman di Subang, Malaysia, di mana penceroboh menyelinap masuk dan didakwa menyerang penganut agama Hindu yang sedang bersembahyang di situ, 27 Nov, 2018.
[AP]

KEMASKINI pada 2.00 petang waktu tempatan - 2019-05-15

Dua lelaki berketurunan Rohingya adalah antara suspek yang ditahan kerana dipercayai terlibat dalam rancangan keganasan Negara Islam [IS] untuk menyerang tempat ibadat dan membunuh personaliti “berprofil tinggi’ semasa bulan Ramadan, juga merupakan tangkapan pertama bagi etnik minoriti dari Myanmar itu, demikian kata Polis Malaysia pada Isnin.

Pihak berkuasa berkata kedua-dua lelaki Rohingya bersama dua lagi suspek ditangkap dalam serbuan di Kuala Lumpur dan Terengganu antara 5 dan 7 Mei lalu, kerana dipercayai merancang untuk mengebom kuil Hindu, Buddha, gereja dan tempat hiburan pada minggu pertama bulan puasa bagi umat Islam, yang bermula pada 6 Mei lepas.

"Inilah kali pertama kami menahan etnik Rohingya yang terlibat dalam keganasan. Sebelum ini, tiada kes melibatkan mereka," kata sumber polis yang rapat dengan siasatan kepada BeritaBenar pada Isnin.

Arahan untuk melaksanakan plot keganasan itu telah diberikan seorang militan Malaysia yang beroperasi di Syria, tetapi identitinya tidak diketahui, kata Ketua Polis baharu Abdul Hamid Bador pada sidang media di Kuala Lumpur.

"Seorang rakyat Malaysia telah mengarahkan anggota sel untuk melancarkan serangan itu. Mereka telah merancang sejak Januari. Kami masih cuba mengenal pasti orang itu. Mereka berkomunikasi melalui WhatsApp," katanya kepada pemberita.

Seorang suspek Rohingya yang ditahan berusia 20 tahun adalah pemegang kad suaka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian [UNHCR] dan mengakui telah memberi sokongan kepada Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA), sebuah kumpulan pemberontak yang beroperasi di negeri Rakhine, Myanmar yang menempatkan komuniti Rohingya yang tidak mempunyai kerakyatan, kata ketua polis itu.

"Dia juga merancang untuk melancarkan serangan ke atas Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur," kata Abdul Hamid sambil menambah bahawa suspek kedua etnik Rohingya, yang juga seorang buruh berusia 25 tahun, telah mengakui beliau adalah ahli sel IS tempatan.

ARSA kemudian memberi maklum balas melalui media sosial berhubung laporan penangkapan itu di Malaysia dengan merujuk kepada seorang individu yang mendakwa sebagai anggota kumpulannya.

"Kami mahu menyatakan bahawa #ARSA hanya beroperasi secara sah dan bermatlamat sebagai # gerakan ETNO-NASIONALIS di tanah airnya #Burma dan kegiatannya bukan dan tidak akan melangkaui negaranya," kata ARSA di laman Twitter.

Kumpulan itu juga mengucapkan terima kasih kepada Malaysia dan negara-negara ASEAN  lain kerana menerima pelarian etnik Rohingya, dengan menyatakan "kedaulatan negara-negara itu akan dihormati sepanjang masa."

Di Myanmar, pemberontak ARSA dipersalahkan bagi serangan maut di pos-pos polis dan tentera di negeri Rakhine pada Ogos 2017 yang menyebabkan pihak tentera melakukan tindakan keras. Akibatnya, lebih daripada 700,000 umat Islam Rohingya melarikan diri dan mencari perlindungan di negara jiran, Bangladesh.

Tahun lepas, pihak berkuasa Bangladeshi menahan beberapa anggota ARSA berhampiran sempadan Myanmar serta beberapa orang yang "sedang menembak pasukan keselamatan Myanmar," kata seorang pegawai kanan kerajaan kepada BeritaBenar.

"Kami menyeru semua #Rohingyas supaya mematuhi undang-undang semua negara tuan rumah yang mereka duduki di dunia dan menjauhkan diri daripada unsur-unsur yang merosakkan atau perbuatan radikal berkaitan," kata ARSA pada Selasa.

Rakyat Malaysia, Indonesia antara suspek

Seorang rakyat tempatan mengetuai kumpulan empat suspek yang ditahan itu, termasuk seorang warga Indonesia, kata ketua polis.

Mereka merancang untuk melakukan pembunuhan dan tindakan keganasan sebagai membalas dendam terhadap kematian seorang anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia yang meninggal dunia  selepas didakwa diserang ketika rusuhan di sebuah kuil Hindu di Selangor pada November tahun lalu, kata Abdul Hamid.

"Keempat-empat suspek yang ditahan mengakui menjadi sebahagian daripada ahi sel IS dan bersedia untuk melancarkan serangan di Malaysia pada minggu pertama Ramadan untuk membalas dendam terhadap kematian Mohd Adib Kassim, yang meninggal dunia berikutan kecederaan yang dialami semasa rusuhan di Kuil Sri Mariaman Seafield di Petaling Jaya," tambah Ketua Polis Negara itu.

Abdul Hamid berkata mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) dan pihak berkuasa sedang memburu tiga lagi anggota sel sama yang dipercayai masih  bersembunyi selepas penangkapan minggu lepas, kata Abdul Hamid.

Polis turut merampas sepucuk pistol, 15 butir peluru dan enam bom buatan sendiri (IED) semasa operasi yang membawa kepada penahanan kesemua suspek.

Empat lelaki itu juga merancang untuk membunuh individu berprofil tinggi negara yang diletakkan sebagai individu yang identitinya tidak boleh disiarkan kerana sangat sensitif," kata sumber polis yang enggan namanya didedahkan kepada BeritaBenar.

Syurga serantau

Malaysia, sebuah negara yang  majoriti rakyatnya beragama Islam, dilihat sebagai tempat selamat di Asia Tenggara bagi etnik Rohingya di Rakhine untuk melarikan diri daripada keganasaan dan penganiayaan oleh rakyat Myanmar yang majoritinya beragama Buddha. Sekurang-kurangnya 90,200 orang Rohingya tinggal di Malaysia, menurut agensi pelarian UNHCR.

Tahun lepas, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu meluahkan kebimbangan mengenai kemungkinan etnik Rohingya dieksploitasi dan berpaling kepada ekstremisme.

"Kami prihatin bahawa etnik Rohingya dapat dimanipulasi untuk menjadi pengebom berani mati atau direkrut ke dalam sel pengganas di rantau ini," katanya dalam mesyuarat pegawai keselamatan anti-keganasan di Kuala Lumpur pada Ogos lepas.

Dakwaan penglibatan etnik Rohingya dan warga Indonesia dalam plot keganasan menunjukkan bahawa IS mampu menggunakan orang asing untuk mengeksploitasi isu-isu tempatan dalam menyebarkan  ideologi mereka, kata Ahmad El Muhammady, seorang pakar anti-keganasan Malaysia.

"Persekitaran serantau pada hari ini sudah matang untuk serangan-serangan tersebut. Kami telah melihat peristiwa serupa yang berlaku di Sri Lanka dan New Zealand, " kata Ahmad kepada BeritaBenar, merujuk kepada insiden tembakan rambang di dua buah masjid di Christchurch dan penyelarasan secara besar-besaran pengeboman bunuh diri yang mensasarkan gereja serta hotel di Sri Lanka pada Hari Easter.

Sehingga hari ini sepanjang 2019, kira-kira 30 orang telah ditangkap kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan keganasan di Malaysia. Daripada jumlah itu, 10 orang telah didakwa manakala sembilan lagi dibebaskan, enam diusir dari Malaysia, seorang dirujuk kepada agensi asing manakala empat masih dalam tahanan.

Komen (4)
Share

speedhunter

Tahukah anda, sebenarnya kerajaan Bangladesh telah membina penempatan yg lebih tersusun dan rapi kat Pulau Bhasan Char utk menempatkan pelarian2 Rohingya yg brada di Bangladesh.

Walaubagaimanapun, dari infomasi yang disiarkan di berita2, katanya pelarian2 Rohingya taknak tinggal disitu.
Antara alasan..masa 4 jam
untuk ke pulau ini terlalu lama dan ada antara mereka tak nak tinggal dekat air dan pelbagai alasan tak masuk akal..palabana betol puak ni.

https://youtu.be/6FvaBN1ClZ8

Bangladesh has preparing great place to all of Rohingya....go away from malaysia...we dont need you...

Apr 24, 2020 10:08 AM

Abdul

daripada Selangor

Ha.. Bagus.. Bwa msuk lgi rohingya ke mlysia

Apr 23, 2020 03:12 AM

Pembaca Tanpa Nama

Hahaha... Siapa yg beriya-iya sangat mahu mmelindungi bangsat rohingya sebelum ni..sekarang makan la kebodohan mu sendiri

Apr 23, 2020 02:29 AM

Man of justice

daripada Johor

Rasanya pihak polis lupa dgn king iaitu panggilan untuk etnik rohingya yg dipenjara 35 tahun kerana menyerang kedutaan mynmar dan membaling kasut kpda hakim...jgn lupakan beliau polis...😁

Aug 01, 2019 10:43 PM

Lihat Laman Penuh