Follow us

Polis Malaysia Cadang Pemburu Haram Dikenakan Hukuman Rotan

Noah Lee & Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-10-30
E-mel
Komen
Share
Seorang pegawai wanita sedang memeriksa tanduk badak dan bahagian-bahagian haiwan yang dirampas daripada pemburu haram yang dipamerkan di Ibupejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara [PERHILITAN] di Kuala Lumpur,  20 Ogos 2018.
Seorang pegawai wanita sedang memeriksa tanduk badak dan bahagian-bahagian haiwan yang dirampas daripada pemburu haram yang dipamerkan di Ibupejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara [PERHILITAN] di Kuala Lumpur, 20 Ogos 2018.
[AFP]

Polis Malaysia mencadangkan kepada pentabiran Putrajaya supaya meminda undang-undang berkaitan perlindungan hidupan liar bagi membolehkan hukuman yang lebih berat seperti hukuman rotan mandatori dapat dikenakan terhadap pemburu haram didapati bersalah terlibat dalam aktiviti pemburuan haram di negara itu.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada Khamis berharap Putrajaya dapat mempertimbangkan permintaan untuk meningkatkan jumlah hukuman penjara serta denda terhadap pemburu haram.

"Hukuman yang ada sekarang agak lembut sedikit. Saya telah berbincang dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Jabatan Perhutanan mengenai hukuman yang lebih keras. Kami telah mengemukakan cadangan hukuman lebih berat dan rotan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Jika ia diluluskan dan berada sistem perundangan negara, sudah tentu akan menjadi penghalang yang berkesan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat bersama PERHILITAN dan Jabatan Perhutanan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di Kuala Lumpur.

Difahamkan bahawa ketiga-tiga agensi tersebut mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu berkaitan masalah penyeludupan hidupan liar di Malaysia, serta operasi bersama di antara mereka bagi membanteras aktiviti tersebut.

Abdul Hamid berkata bahawa perkara berkenaan sudah dibawa ke peringkat KDN, dan kemungkinan kementerian itu akan membawanya kepada pihak Peguam Negara selepas ini bagi membuat draf pindaan undang-undang tersebut.

Menurut Abdul Hamid, pihak berkuasa mendapati bahawa aktiviti pemburuan haram hidupan liar serta hasil hutan Malaysia berlaku dengan begitu rakus, melibatkan pelbagai haiwan dan hasil hutan berharga seperti gading gajah, harimau, kayu gaharu dan juga kayu 'rose wood'.

Tambahnya, pihak berkuasa Malaysia telah mengenalpasti "belasan" sindiket antarabangsa yang melibatkan warga tempatan secara aktif terlibat dalam menjarah hasil hutan dan menyeludup barangan berkenaan ke luar negara.

Dalam pemantauan


Abdul Hamid jugak khuatir jika organisasi dunia - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu [PBB] menganggap Malaysia tidak serius dalam menangani aktiviti pemerdagangan hidupan liar dan mengakibatkan negara dihukum.

"Apa yang pihak media perlu tahu, PBB juga telah mula menggerakkan unit untuk memantau aktiviti perdagangan barangan eksotik, haiwan, flora dan fauna.

"Dan kita takut dengan adanya pemantauan dari badan pemerhati PBB sendiri, negara kita akan dihukum sebagai negara yang tidak bertanggungjawab, serta tidak ambil langkah sepatutnya untuk melindungi flora fauna dan mengekang aktiviti ini.

"PBB sekarang sedang memerhati samada negara kita, PERHILITAN, Jabatan Perhutanan bertanggungjawab atau tidak,” tambah Ketua Polis Negara itu.

Lampu hijau untuk bertindak

Sementara itu, Abdul Hamid juga memberitahu yang satu batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq dengan kekuatan 1,300 anggota serta pegawai telah dikerahkan untuk membantu jabatan-jabatan berkaitan dalam usaha bersama menangani pemburu haram melalui operasi yang dikenali sebagai ‘Operasi Khazanah’.

PGA adalah pasukan polis yang dikhususkan untuk operasi di dalam hutan, dan Batalion Senoi Praaq PGA adalah unit yang dianggotai oleh anggota polis Orang Asli yang amat dikenali dengan kemahiran mereka dalam peperangan di hutan serta menjejak musuh.

Selain menawarkan pasukan Senoi Praaq untuk operasi berkenaan, Bukit Aman juga mengeluarkan arahan Prosedur Operasi Standard baru yang lebih tegas bagi menghadapi pemburu haram.

Kata Abdul Hamid, anggota yang berdepan dengan pemburu haram akan dibenarkan untuk melepaskan tembakan, termasuk tembakan membunuh, sekiranya pemburu-pemburu berkenaan bertindak secara berbahaya.

"Sekiranya mereka berani bertindak ke atas PERHILITAN, kita letakkan Senoi Praaq dan saya berikan SOP, sekiranya pemburu haram bertindak yang boleh mencederakan,  atau menyebabkan kematian, mereka (polis) boleh melepaskan tembakan.  Ini adalah hutan kita, saya tidak akan membenarkan orang asing mengancam pegawai penguatkuasa kita," katanya.

Amaran keras


Abdul Hamid turut memberi amaran kepada orang kenamaan (VVIP) supaya menghentikan segala bentuk pemburuan hidupan liar kerana jika tertangkap, tindakan tegas akan diambil tanpa sebarang pengecualian.

Polis akan merampas senjata api mereka dan menghadapkan mereka ke mahkamah… Saya serius mengenai perkara ini…. Saya menerima maklumat terdapat VVIP yang terlibat dalam memburu hidupan liar haram. Sekiranya mereka ditangkap, saya akan pastikan mereka tidak akan terkecuali dari pendakwaan," tambah Ketua Polis itu yang memberi amaran tegas mengenainya.

Beliau turut mengkritik perbuatan tersebut yang disifatkan menyumbang kepada kepupusan flora dan fauna, dan mempersoalkan keghairan orang-orang kenamaan yang terlibat untuk bersaing dengan harimau dan beruang.

Pada awal bulan lalu, Abdul Hamid pernah memaklumkan media bahawa polis akan memperketatkan pengeluaran lesen senjata api bagi mengekang aktiviti pemburuan haram.

Katanya, pihak berkuasa Malaysia telah mengeluarkan sejumlah lebih 30,000 lesen senjata api setakat ini dengan 7,400 daripadanya turut diberikan permit memburu.

"Lesen senjata api diberikan bukan untuk bebas melakukan aktiviti pemburuan tetapi ada syarat-syaratnya lagi termasuk permit PERHILITAN. Ia bukan lesen untuk mereka (pemegang lesen) masuk ke hutan menembak apa sahaja hidupan di dalam hutan.

"Saya akan pastikan syarat ini (lesen senjata api) diperketatkan selain menyemak semula pemegang lesen yang sudah tidak relevan lagi contohnya jika dulu ada tanah untuk dilindungi daripada haiwan pemusnah tanaman dan kini tiada, maka senjata api ini akan dibatalkan dan senjata itu ditarik balik,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan Berita Harian pada 3 September lepas.

Menurut Pemantau Pemerdagangan Hidupan Liar (Traffic) Malaysia merupakan sebuah negara transit yang popular di kalangan penjenayah dalam rangkaian pemerdagangan haram hidupan liar.

Menurut Traffic lagi, kedudukan Malaysia kepada pasaran besar untuk hidupan liar dan juga rangkaian pelabuhan yang lengkap menjadikan negara ini sebagai pusat pemerdagangan hidupan liar di rantau ini.

Lihat Laman Penuh