Follow us

Malaysia Larang ‘Semua Aktiviti’ Pendakwah Zakir Naik

Pendakwah kontroversi itu tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan mengenai kaum minoriti di Malaysia, kata Perdana Menteri Mahathir Mohamad.
Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-08-20
E-mel
Komen
Share
Pendakwah bebas India, Zakir Naik semasa tiba untuk diambil keterangan di perkarangan Ibupejabat Polis DiRaja Malaysia [PDRM] di Bukit Aman, Kuala Lumpur, 16 Ogos, 2019.
Pendakwah bebas India, Zakir Naik semasa tiba untuk diambil keterangan di perkarangan Ibupejabat Polis DiRaja Malaysia [PDRM] di Bukit Aman, Kuala Lumpur, 16 Ogos, 2019.
[AP]

KEMASKINI pada 3.30 petang waktu tempatan - 2019-21-08

Malaysia mengeluarkan larangan sementara terhadap pendakwah Islam kelahiran India yang kontroversi daripada menyampaikan ceramah, kata para pegawai pada Selasa, di tengah-tengah rungutan bahawa beliau menyampaikan ceramah berbaur perkauman tentang negara pelbagai budaya itu yang melindunginya daripada tindakan pendakwaan di India.

Zakir Naik, 54, adalah pengasas rangkaian televisyen satelit yang berpangkalan di Dubai iaitu Peace TV, yang mempunyai lebih daripada 284,000 pelanggan di YouTube. Pada 2016, Zakir meninggalkan India di mana beliau berdepan pertuduhan pengubahan wang haram, dan kemudian memperoleh taraf pemastautin tetap di Malaysia.

"Polis telah mengeluarkan arahan supaya beliau dilarang menyampaikan ceramah bagi memberi waktu kepada kami untuk melengkapkan siasatan berhubung laporan pihak yang berkaitan dengan perkara itu," kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador kepada agensi berita nasional, Bernama, yang merujuk kepada Zakir.

"Ketua-ketua polis negeri bertanggungjawab untuk menasihati mereka yang merancang menjemput Zakir memberi ceramah terbuka, supaya menolaknya," kata beliau.

Abdul Hamid memberi kenyataan itu beberapa jam selepas dokumen yang mengandungi arahan itu dibocorkan dalam media sosial.

Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia Asmawati Ahmad berkata arahan itu dikeluarkan untuk mengelak sebarang kontroversi dan bagi memelihara keharmonian di Malaysia.

Melayu Islam dan bumiputera merupakan 69 peratus daripada 33 juta rakyat Malaysia manakala kaum Cina terdiri daripada 23 peratus dan kaum India mencatatkan 7 peratus, menurut perangkaan rasmi.

"Untuk mengelakkan sebarang ketegangan di kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum, semua ketua polis negeri telah diarahkan memberi nasihat kepada pihak-pihak yang ingin menganjurkan program yang melibatkan Zakir Naik supaya membatalkan semua program itu," kata Asmawati.

"Semua aktiviti yang melibatkan Zakir Naik di semua negeri adalah tidak dibenarkan," katanya.

'Pergi balik'


Pada November 2017, pegawai India berkata Zakir menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram dan menghasut kebencian melalui ceramahnya yang disiarkan di Peace TV. India dan Bangladesh telah mengharamkan saluran itu tetapi video-video ceramahnya yang terdahulu boleh didapati di YouTube.

Pihak berkuasa India menuduh Zakir memberi inspirasi kepada beberapa anggota militan yang melakukan serangan pengganas berkaitan Negara Islam di sebuah kafe di Dhaka di mana 29 orang termasuk 20 tebusan terbunuh pada Julai 2016.

Sebelum ini, kerajaan Malaysia keberatan mengambil tindakan terhadap Zakir dengan Perdana Menteri Mahathir Mohamad menyatakan bahawa pendakwah itu mungkin akan dibunuh jika Malaysia bersetuju dengan permintaan India supaya beliau diekstradisi.

Tetapi, pada Ahad, Mahathir memberitahu pemberita bahawa Zakir sepatutnya tidak bercakap mengenai politik perkauman.

"Ia adalah jelas bahawa beliau mahu mengambil bahagian dalam politik perkauman di Malaysia," kata Mahathir. "Beliau bercakap tentang menghantar orang Cina pulang ke China, India kembali ke India, bagi saya itu jelas mahu berpolitik."

Pada Jumaat, Mahathir berkata Malaysia boleh menarik balik status penduduk tetap Zakir “sekiranya beliau melakukan sesuatu yang menggugat kesejahteraan negara," kata laporan itu.

Pada satu majlis yang ditaja oleh parti politik Islam PAS di negeri Kelantan yang konservatif, Zakir berkata penganut Hindu dalam negara yang majoriti penduduknya adalah Muslim itu nampaknya lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi berbanding dengan Mahathir yang memimpin Malaysia.

Zakir turut menyatakan jika beliau harus pulang ke negara asalnya di India, rakyat Malaysia berketurunan Cina yang digelarnya sebagai "tetamu lama", juga harus "pulang" ke tempat asal mereka.

Selepas Zakir membuat kenyataan itu, polis menerima 115 aduan, kata pihak berkuasa berkenaan.

Polis telah menyoal siasat Zakir sebanyak dua kali berhubung ceramahnya di Kelantan termasuk pada Isnin di mana beliau disoal siasat selama 10 jam di ibu pejabat polis Persekutuan di Kuala Lumpur, kata pegawai kepada BeritaBenar.

Pihak berkuasa Zakir disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana "dengan sengaja mengaibkan dengan niat untuk memecahkan keamanan"

'Orang dalam'

Ini bukanlah kali pertama kenyataan Zakir membangkitkan kontroversi.

Dalam satu siaran dalam talian, Zakir berkata pada Julai 2008 bahawa al Qaeda bukan dalang bagi serangan 11 September 2001 yang membunuh hampir 3,000 orang di Amerika Syarikat. Sebaliknya, beliau mendakwa, serangan keganasan itu dilakukan oleh "orang dalam".

Selepas disoal siasat pihak polis pada Isnin, Zakir mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada umum dan menafikan dirinya seorang rasis.

"Sekalipun saya telah memberi penjelasan, namun saya rasa perlu memohon maaf kepada setiap orang yang rasa tersinggung akibat salah faham ini. Saya berharap tiada sesiapa pun yang menyimpan rasa marah terhadap saya.

"Saya tidak pernah berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana individu atau komuniti. Ini bertentangan dengan rukun Islam, dan saya ingin menyampaikan permohonan maaf dari lubuk hati saya atas salah faham ini.”

Lihat Laman Penuh