Malaysia Hantar Pulang Lebih 20,000 Pendatang Sejak Awal Tahun

Noah Lee
2020.08.13
Kuala Lumpur, Malaysia
200813-MY-deportation-620-crop.jpg Menteri Dalam Negeri Malaysia Hamzah Zainuddin (kiri) semasa bercakap kepada media di Putrajaya, 13 Ogos, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia telah mengusir lebih 20,000 pekerja asing sejak awal tahun kerana melanggar Akta Imigresen manakala kira-kira 15,000 lagi masih berada di pusat-pusat tahanan Jabatan Imigresen di seluruh negara atas kesalahan yang sama, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin pada Khamis.

Beliau berkata kumpulan terbesar pendatang yang telah dihantar pulang sehingga 10 Ogos adalah dari Indonesia iaitu seramai 9,276 dan negara lain yang terlibat termasuk Bangladesh, Myanmar, Thailand, India, China, Pakistan, Vietnam, Nepal serta Kemboja.

Sebilangan mereka yang dihantar pulang telah ditahan oleh pihak berkuasa semasa pandemik COVID-19. Malaysia mendapati beberapa negara enggan menerima rakyatnya kerana bimbang mereka membawa koronavirus, kata Hamzah.

Saya tidak faham kenapa mereka tidak mahu menerima…, kedudukan kita dalam memerangi COVID-19 adalah jauh lebih baik berbanding beberapa negara terbabit," kata Hamzah pada sidang media selepas majlis penghargaan di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya.

"Tetapi mereka percaya bahawa ada kemungkinan warganegara yang pulang itu boleh membawa strain virus lain daripada apa yang mereka ada di sana dan ini boleh menjadi masalah lain bagi mereka."

Malaysia telah mengambil beberapa langkah untuk mengawal penularan koronavirus termasuk menutup pintu sempadan semasa kemuncak peningkatan jangkitan pandemik tersebut.

Sehingga Khamis, jangkitan COVID-19 di Malaysia berjumlah 9,129 kes berbanding 132,816 di Indonesia dan 269,115 di Bangladesh, demikian menurut pakar penyakit di Univeriti Johns Hopkins yang berpusat di Amerika Syarikat manakala di peringkat global pula, lebih 20.7 juta orang telah dijangkiti dan lebih 750,000 kematian telah direkodkan.

Hamzah berkata para pegawai telah bekerjasama dengan kedutaan negara lain untuk memastikan bahawa semua dokumentasi tersedia untuk menghantar pulang pendatang terbabit. Beliau juga berkata proses itu adalah perlu kerana para pegawai di negara terbabit juga ingin mengenal pasti mereka yang dihantar pulang dengan cara yang betul.

“Prosedur menghantar pulang pendatang tanpa dokumen tidak rumit, kami boleh menghantar mereka pulang tetapi dengan persetujuan negara asal. Inilah antara sebabnya mengapa mereka ingin memastikan bahawa yang dihantar pulang adalah warganegaranya,” tambah beliau.

"Ini adalah proses yang sama jika warganegara kita dihantar pulang ke Malaysia dari luar negara. Kita juga perlu memastikan bahawa mereka adalah rakyat Malaysia."

Hamzah berkata Jabatan Imigresen telah melakukan sejumlah 4,764 operasi untuk menahan pendatang tanpa izin di Malaysia yang menyaksikan seramai 18,575 orang ditahan sehingga 10 Ogos.

Selain itu, jabatan tersebut telah menangkap sejumlah 269 majikan berhubung kesalahan melanggar Akta Imigresen.

Beliau berkata kejayaan mengusir lebih 20,000 pendatang tanpa izin membuktikan bahawa jabatan itu mampu menghantar pulang yang lain ke negara asal mereka dengan pantas. Tahun lalu, jabatan itu mengusir lebih 50,000 pendatang tanpa izin.

"Kami ingin menghantar pulang sebanyak mungkin pendatang dan mereka yang ingin berada di negara ini perlu mengikuti prosedur sedia ada dan melalui cara yang sah,” kata Hamzah.

Alex Ong, koordinator kumpulan hak asasi manusia Migrant Care, berkata kerajaan Malaysia perlu mempertimbangkan keadaan pandemik itu semasa menjalankan operasi pengusiran.

“Proses pengusiran harus dilakukan secara bersepadu dengan kerjasama negara asal. Komuniti itu perlu mempunyai segala kemudahan untuk kuarantin dan kemampuan merawat pesakit COVID-19,” katanya sambil menambah bahawa pendatang terbabit perlu cukup sihat untuk melakukan perjalanan.

"Tidak eloklah jika pengusiran dibuat hanya demi melaksanakan undang-undang negara kita tanpa mempertimbangkan kesiapsiagaan negara asal," katanya.

Ong berkata pendatang terbabit tidak boleh dipaksa untuk kembali ke negara yang sedang berdepan penularan teruk koronavirus.

"Ini mirip dengan tindakan memaksa orang yang sihat masuk ke dalam sebuah kolam yang penuh dengan buaya," katanya.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.