Malaysia Tarik Balik Pertukaran Dua Pegawai SPRM
2015.08.10

Kerajaan Malaysia pada Isnin, menarik balik pertukaran dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat dengan penyiasatan ke atas akaun milik syarikat SRC International Sdn Bhd, sebuah entiti yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), berikutan kritikan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Pada Jumaat lalu, Pengarah Bahagian Operasi Khas, Bahri Mohamad Zin; dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Rohaizad Yaakob telah diarah bertukar ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkuatkuasa pada Isnin.
Difahamkan surat yang diterima daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) oleh kedua-dua mereka menyebut bahawa perpindahan ke JPM kerana 'masalah disiplin'.
Bagaimanapun, pertukaran itu ditarik balik serta dibatalkan pada Isnin, selepas kedua-dua pegawai berkenaan mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara, Ali Hamsa.
Ali dalam kenyataan dua perenggan yang dikeluarkan pada Isnin pagi berkata, beliau dan Ketua Pengarah JPA Zabidi Zainal, telah mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pegawai itu, dan mereka telah memberikan penjelasan mengenai tindakan mereka mengeluarkan kenyataan media.
“Susulan penjelasan tersebut, saya telah membuat keputusan membatalkan pertukaran kedua-dua pegawai ke JPM dan kembali ke jawatan asal masing-masing di SPRM berkuatkuasa pada 10 Ogos,” kata Ali dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri itu.
Bahri adalah antara pegawai SPRM yang ditahan untuk diambil keterangan oleh pihak Polis bagi membantu siasatan berhubung kebocoran kertas pertuduhan terhadap Najib yang didakwa telah dikeluarkan oleh pejabat Peguam Negara, dan menjadi viral di media sosial.
Beliau juga di antara pegawai yang lantang bersuara berhubung penangkapan beberapa lagi pegawai kanan suruhanjaya itu sejak minggu lepas.
Seramai lapan pegawai suruhanjaya itu telah ditahan untuk diambil keterangan, mereka bagaimanapun dibebaskan selepas selesai.
Bahri mengetuai Bahagian Operasi Khas, iaitu bahagian yang menyiasat SRC International Sdn Bhd dalam isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) manakala Rohaizad menerima rombongan pemimpin pembangkang ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya dan berdialog dengan mereka.
Susulan keputusan itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Shukri Abdull pada Jumaat lepas, menuntut supaya dua pegawai kanannya itu, dipulangkan semula oleh JPM kepada SPRM.
Malahan, beliau turut menawarkan dirinya sebagai ganti.
“Pegawai saya bertindak atas arahan saya,” katanya seperti dilaporkan portal berita Malaysiakini dari luar negara.
Pada lewat malam Ahad, Shukri yang baru tiba dari Amerika Syarikat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, enggan mengulas mengenai pertukaran dua pegawainya ke JPM semasa ditemui pihak media yang menunggu kepulangan beliau itu.
"Terima kasih, nanti saya jumpa anda (media). Tidak selamat disini. Biar saya selesaikan dahulu," katanya.
Siasatan diteruskan
Timbalan Ketua Penolong Pengarah (pencegahan) SPRM Mustafar Ali turut menegaskan siasatan yang sedang berjalan akan diteruskan seperti yang dirancang.
‘’Tanggungjawab dan penyiasatan akan dilaksanakan seperti biasa , kedua-dua pengarah masih ada di SPRM, dan suruhanjaya akan memastikan penyiasatan dilakukan dengan bebas, profesional dan telus,’’ katanya ketika ditemui di luar Ibupejabat SPRM pada Isnin.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar pada Sabtu, memaklumkan penangguhan sementara siasatan melibatkan SPRM oleh pihak polis.
Beliau berkata, walaupun lebih ramai lagi yang akan dipanggil bagi membantu siasatan, kes itu ditangguh untuk mengelak pelbagai andaian dan persepsi awam.
"Dengan berbagai andaian yang dibuat dan persepsi, saya telah mengarahkan supaya kita tangguhkan siasatan kes buat sementara," katanya.
Ditanya sampai bila siasatan kes itu akan ditangguh, Khalid berkata: "Kita tengoklah...saya tidak mahu rakan-rakan saya di SPRM menganggap kami membuat harrassment (penderaan)".
Bagi Ketua Pemuda Umno yang juga Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, pertukaran dua pegawai kanan agensi pencegahan rasuah itu, dibuat tanpa pengetahuan kabinet dan berlaku selepas mesyuarat kabinet.
"Jadi mana kita tahu. Kita pun tak tahu," kata Khairy sambil menegaskan SPRM mesti diberi kebebasan untuk menjalankan tugas tanpa sebarang sekatan atau ugutan.
Ketua sayap pemuda parti UMNO, parti utama di dalam kerajaan turut menyokong tindakan SPRM untuk mendapatkan penjelasan Perdana Menteri berhubung penerimaan derma beratus-ratus juta itu.
"Sekiranya SPRM memerlukan keterangan daripada Perdana Menteri untuk membantu siasatan dengan lebih sempurna dan menyeluruh, maka ia haruslah dilakukan supaya rakyat yakin bahawa kita tidak menyembunyikan apa-apa perkara daripada semua pihak," katanya pada Khamis lepas.
Pembangkang pembatalan tidak cukup
Sementara itu, pemimpin pembangkang melihat pembatalan petukaran dua pegawai SPRM itu tidak mencukupi sebaliknya mahu siasatan suruhanjaya berhubung skandal rasuah diteruskan.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Nurul Izzah Anwar berkata, apabila mendapat tekanan pemimpin, badan bukan kerajaan dan masyarakat, pertukaran dua pegawai itu dibatalkan.
Kita mahu siasatan diteruskan, SPRM diberi kebebasan sepenuhnya untuk lakukan kerja. Kita mahu tahu, adakah kertas dakwa perdana menteri itu benar-benar wujud? Itu persoalan yang masih belum dijawab,” katanya seperti dilaporkan oleh akhbar Sinar Harian.
Manakala Setiausaha Organisasi parti Tindakan Demokratik (DAP), Anthony Loke menyoal arahan penukaran kedua-dua pegawai suruhanjaya itu sambil berkata, “Siapa sebenarnya yang ada kuasa untuk pindahkan dua pegawai kanan SPRM ini dalam keadaan serta merta?,”
Menurut Loke, pertukaran mengejut itu telah menimbulkan tanda tanya dikalangan pelbagai lapisan masyarakat sedangkan kedua-duaya sedang menyiasat kes berprofil tinggi.
“Alasan mereka pegawai itu ada masalah disiplin memang tidak masuk akal langsung. Memindahkan pegawai yang sedang menjalankan siasatan hanya merosakkan imej SPRM serta memberi gambaran seolah-olah ada agenda tertentu untuk menakut-nakutkan agensi berkenaan,” katanya.
Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Johan Jaaffar percaya keputusan menarik balik penukaran kedua-dua pegawai kanan itu tepat pada masanya dan mampu memberi kesan positif ke arah menangani isu persepsi bahawa pegawai SPRM ditakut-takutkan dalam menjalankan tugas mereka.
“Kita berharap keputusan ini akan meningkatkan lagi semangat pegawai SPRM. Selain berharap keputusan ini akan membantu membendung rasa tidak percaya dan sinis orang ramai terhadap kerajaan," katanya dalam satu kenyataan, seperti dilaporkan oleh akhbar Berita Harian pada Isnin.
Bagi bekas perdana menteri, Mahathir Mohamad, SPRM perlu meneruskan rancangannya meminta Najib untuk menjelaskan mengenai derma beratus-ratus juta dolar yang diterima dalam akaun peribadi beliau.
"Ini satu-satunya perkara positif yang saya dengar ketika ini. Hakikatnya ialah apabila mereka ditukar semula (ke SPRM) adakah mereka akan minta Najib membuat penjelasan?
"Mereka sudah umumkan untuk minta Najib membuat penjelasan, dan saya berharap SPRM akan berbuat demikian dalam menjelaskannya," kata beliau selepas sesi dialog di sebuah universiti pada Isnin.
Zeti mangsa seterusnya
Pada majlis yang sama Mahathir juga menjangkakan Gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz mungkin akan menjadi mangsa seterusnya selepas SPRM ditekan hebat oleh Putrajaya.
‘’Walaupun ia sekadar khabar angin, tidak mustahil ia boleh menjadi nyata, itu khabar angin yang saya dengar, tapi dalam kes ini khabar angin itu biasanya mempunyai kebenaran," katanya
Zeti merupakan individu di peringkat tertinggi yang menganggotai pasukan petugas khas menyiasat skandal syarikat sarat hutang 1MDB yang didedahkan oleh akhbar kewangan antarabangsa The Wall Street Journal.
Pada 2 Julai lepas, akhbar itu telah menyiarkan laporan berdasarkan penyiasatan, yang mendakwa hampir RM2.64 bilion telah dipindahkan ke akaun peribadi Najib melalui agensi-agensi kerajaan, bank-bank dan syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan negara 1MDB, yang dibebani hutang lebih RM41.5 bilion (AS$11 bilion).
Najib menafikan mengambil sebarang wang untuk kepentingan peribadi dan berkata, dakwaan itu adalah sebahagian daripada kempen berniat jahat untuk memaksa beliau melepaskan jawatannya.
Sebulan selepas laporan itu diterbitkan, SPRM dalam satu kenyataan berhubung hasil siasatan agensi itu pada 3 Ogos lepas berkata, wang beratus-ratus juta itu merupakan sumbangan daripada para penderma dan bukannya 1MDB.
Sementara itu, Mahahthir dalam blognya menolak penjelasan bahawa wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib adalah wang derma.
“Siapa dalam dunia ini akan dermakan AS$700 juta kepada perdana menteri Malaysia? Obama juga tak dapat kumpulkan jumlah ini semasa pencalonan Presiden beliau. Dikatakan ianya datang dari Arab. Orang Arab memang murah hati, tetapi tidaklah terlalu murah hati. Saya tidak mampu menjana walaupun satu dolar daripada mereka untuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,
“Tuntutan bahawa orang Arab telah menderma berbilion ini digambarkan sebagai angan-angan dan mengarut. Sudah pasti saya tidak percaya dan jika kita lihat komen-komen di media sosial, majoriti rakyat Malaysia tidak percaya. Seluruh dunia tertawa,” katanya.
Mahathir juga menegaskan, demokrasi telah mati kerana seorang individu.