Follow us

Malaysia Laksanakan Pembenihan Awan Kurangkan Jerebu Dari Indonesia

Staf BeritaBenar
2015-09-15
E-mel
Komen
Share
Mercu tanda Malaysia Menara Berkembar Petronas dan bangunan komersial lain disekitarnya yang diselubungi jerebu di Kuala Lumpur. 13 September 2015
Mercu tanda Malaysia Menara Berkembar Petronas dan bangunan komersial lain disekitarnya yang diselubungi jerebu di Kuala Lumpur. 13 September 2015
AFP

Malaysia mengambil langkah untuk melaksanakan pembenihan awan selama tiga hari mulai Selasa di beberapa kawasan di negara itu, bagi memastikan rakyatnya tidak dibelenggu dengan risiko akibat jerebu yang berlarutan hampir dua minggu ekoran pembakaran hutan dan ladang di Jambi dan Sumatera Selatan.

Pengarah Bahagian Sains Atmosfera dan Pembenihan Awan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) Maznorizan Mohamad berkata, pembenihan awan pada hari pertama (Selasa) dilakukan oleh jabatan itu, di Lembah Klang, selatan Perak, barat Pahang, Negeri Sembilan, Melaka serta selatan dan barat Sarawak dengan menggunakan dua pesawat Hercules C130 milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Subang dan Kuching.

"Hujan dijangka berlaku selepas beberapa jam proses itu dilaksanakan dan ia boleh berlanjutan selama sejam...diharapkan ia mampu meredakan keadaan jerebu di kawasan terlibat," katanya seperti dilaporkan oleh agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada Selasa.

Beliau berkata, proses pembenihan awan pada hari berikutnya dilakukan dengan mengambil kira faktor keadaan awan, atmosfera yang sesuai dan stabil serta udara lembap pada masa ini.

Katanya, pertukaran angin barat daya kepada angin dari arah timur yang dijangka berlaku lewat Jumaat dapat membantu meredakan jerebu yang dibawa angin barat daya dari kawasan berjerebu di Sumatera.

Negeri di bahagian timur Malaysia iaitu Sarawak turut melaksanakan operasi pembenihan awan serentak hingga 25 Sept ini, kerana penduduk di Kuching, ibu negerinya,  serta bahagian Samarahan, Sri Aman dan Sarikei masih menderita akibat jerebu.

Risiko kesihatan

Selain membawa risiko gangguan kesihatan terutamanya kepada pesakit respiratori dan orang ramai yang mengalami jarak penglihatan terhad, jerebu turut menjejaskan pendapatan banyak pihak termasuk nelayan yang tidak dapat ke laut.

Malaysia turut mengambil langkah berwaspada dengan menyediakan bekalan perubatan mencukupi untuk merawat penyakit berpunca daripada jerebu selain menggalakkan orang ramai sentiasa memakai topeng hidung dan mulut serta mengelak melakukan aktiviti di luar rumah.

Sejak dilanda jerebu awal September ini, Malaysia terpaksa menutup sekolah di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka pada Selasa setelah bacaan indeks pencemaran udara (IPU) meningkat hingga 195.

Sebanyak 2,045 sekolah melibatkan 1.523 juta pelajar terbabit dalam penutupan sekolah itu, dan sekolah akan dibuka semula jika bacaan IPU menurun kepada 150, kata Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid.

Kementerian Pendidikan turut memantau keadaan jerebu di Perak, Pahang dan Terengganu yang didapati semakin teruk sebelum mengambil langkah menutup sekolah di negeri berkenaan.

Mengikut prosedur, sekolah hanya akan ditutup apabila IPU mencecah 200 mengikut penetapan Jabatan Kesihatan serta Jabatan Alam Sekitar.

Menurut MetMalaysia, IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 adalah sederhana, 101 hingga 200 adalah tidak sihat, 201 hingga 300 adalah sangat tidak sihat dan 300 ke atas adalah berbahaya.

Pada pagi Selasa, jerebu masih berterusan dengan IPU di 34 kawasan di seluruh Malaysia berada pada tahap tidak sihat.

Amaran jerebu

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan mengarahkan Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk mengeluarkan amaran jerebu kepada pesawat dan kapal yang beroperasi di semua lapangan terbang dan pelabuhan.

Menterinya Liow Tiong Lai berkata, sekiranya jarak penglihatan kurang daripada satu batu nautika akibat jerebu, bot-bot nelayan dan kapal-kapal kecil perlu menghentikan operasi mereka atas faktor keselamatan.

"Begitu juga dengan pesawat-pesawat udara, sekiranya jarak penglihatan kurang daripada 600 meter, maka pendaratan di lapangan terbang akan menjadi sangat berbahaya kerana pandangan tidak jelas akibat jerebu," katanya pada Isnin.

Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia Bhd juga menyatakan operasi penerbangan keluar masuk dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) terganggu kerana jarak penglihatan adalah di bawah tahap minimum akibat jerebu.

Sementara itu, Malaysia dijangka menandatangani memorandum persefahaman (MoU) baru dengan Indonesia tidak lama lagi, dalam usaha menangani masalah jerebu merentas sempadan yang sudah berlarutan sekian lama.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau akan menemui rakan sejawatnya di Indonesia pada 18 Sept ini untuk membincangkan kandungan MoU itu, katanya seperti dilaporkan akhbar harian berbahasa Inggeris Borneo Post di Sibu pada Sabtu.

MoU itu antara lain berkaitan dengan langkah kedua-dua negara "membantu dan bertukar idea mengenai kebakaran hutan dan tanah gambut."

Ketika ini, tiada sebarang perjanjian antara kedua-dua negara berhubung perkara itu kerana perjanjian terdahulu telah luput dan Malaysia berharap MOU baru itu akan diguna pakai untuk tempoh lima tahun, katanya.

Riau, Singapura kena tempias

Jerebu turut semakin teruk di Indonesia dan pada Selasa, kerajaan republik itu mengisytiharkan Riau sebagai kawasan darurat kerana jerebu berada di tahap sangat berbahaya.

Media tempatan Indonesia melaporkan IPU di Riau adalah melebihi bacaan 900 dengan tahap penglihatan tidak sampai 100 meter yang mengakibatkan aktiviti ekonomi dan sosial termasuk di Lapangan Terbang Internasional Sultan Syarif Kasim II lumpuh.

Akhbar tempatan Riau, Tribun Pekanbaru memetik Pemangku Gabenor Riau, Arsyadjuliandi Rachman sebagai berkata bahawa ibu kota Riau iaitu Pekanbaru berada dalam keadaan sangat tidak sihat.

Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan Republik Indonesia, Siti Nurbaya Bakar, pula dipetik sebagai berkata bahawa sebanyak 18 juta liter air digunakan untuk pengeboman air di Riau dan‎ 12 juta liter lagi di Sumatera Selatan selain menaburkan 120 tan garam untuk hujan buatan di Riau dan 56 tan garam di Sumatera Selatan dan Jambi.

Pada 5 Sept lalu, Presiden Indonesia Joko Widodo memberi amaran kepada individu dan pemilik ladang di Sumatera supaya tidak lagi melakukan aktiviti kebakaran hutan mulai tahun depan atau mereka bakal dikenakan tindakan undang-undang.

Beliau turut memberi arahan kepada beberapa menteri kabinet untuk tidak lagi mencari kaedah terbaru cara pemadaman api di wilayah itu.

Media-media Indonesia memetik Jokowi sebagai berkata, penyelesaian dan kaedah mengatasi kebakaran hutan itu telahpun diketahui dan langkah yang diperlu diambil ialah tindakan cepat untuk memadamkan api yang terus mengeluarkan asap.

"Semua orang sudah tahu apa penyebab dan kaedah (memadam api), kita tidak perlu penjelasan apa pun. Yang perlu disegerakan adalah penyelesaiannya agar tidak terjadi lagi (pada) tahun mendatang," katanya.

Jokowi juga meminta pihak berkuasa untuk segera mencari siapa yang bertanggungjawab melakukan pembakaran hutan kerana ia sebenarnya membawa kerugian kepada masyarakat.

Selain itu, negara jiran Singapura masih dihimpit masalah jerebu dengan kualiti udaranya kekal pada tahap tidak sihat.

Berikutan itu, Singapura pada Isnin mengulangi tawarannya untuk membantu Indonesia   memadam kebakaran hutan dan melakukan pembenihan awan di wilayah Sumatera.

Portal Channel News Asia melaporkan pada Jumaat bahawa Agensi Alam Sekitar Nasional Singapura menyatakan jumlah titik panas di Sumatera bertambah kepada 328 lokasi semalam berbanding 140 pada Khamis.

Keadaan jerebu di Singapura mencapai paras terburuk dalam tempoh dua tahun ini apabila bacaan IPU mencecah paras 248 pada Jumaat.

Lihat Laman Penuh