Timbalan Menteri Terbunuh Dalam Kemalangan Helikopter Di Sarawak
2016.05.06
Kuching, Sarawak

Pihak berkuasa Malaysia pada Jumaat mengesahkan kematian timbalan menteri, Noriah Kasnon, dalam nahas helikopter di Sarawak, selepas pasukan menyelamat menemui serpihan pesawat, dengan usaha mencari juruterbang bersama empat penumpang lain diteruskan.
Mayat Noriah, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, ditemui pada pagi Jumaat di lokasi kemalangan berhampiran pantai Sebuyau.
Perdana Menteri Najib Razak mengesahkan kematian Noriah melalui laman Twitternya dengan berkata “Sedih menerima pengesahan bahawa Noriah Kasnon telah pulang ke rahmatullah akibat nahas helikopter. Al-Fatihah,”
Najib dan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi berada di rumah mayat Hospital Umum Sarawak di mana mayat Noriah dibawa selepas ditemui berhampiran serpihan pesawat malang itu di Sungai Batang Sadon.
Helikopter AS350 terhempas semasa dalam penerbangan dari bandar Betong ke ibu negeri Sarawak, Kuching, iaitu kurang daripada dua hari sebelum pilihan raya Dewan Undangan Negeri berlangsung Sabtu ini.
Pesawat itu berlepas dari Betong pada kira-kira pukul 4.12 petang Khamis tetapi hilang dari skrin radar kira-kira 20 minit selepas ianya berlepas, yang mana penerbangan untuk jarak itu mengambil masa 45 minit, kata pegawai.
Antara yang masih belum ditemui adalah suami Noriah, Asmuni Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Dr. Sundaran Annamalai, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Perak, yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, pegawai peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang helikopter itu, Kapten Rudolf Rex Ragas.
Noriah dan beberapa pegawai dari kementeriannya itu, dipercayai sedang dalam kempen pilihanraya bagi daerah Bentong di mana Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Douglas Uggah Embas adalah ahli parlimen bagi kawasan itu.
Serpihan bertaburan
Kereta mayat yang membawa jenazah Noriah tiba di bilik mayat hospital umum itu dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Kuching pada kira-kira pukul 3.30 petang Jumaat.
"Pasukan mencari dan menyelamat menemui bangkai pesawat pada jam 9.30 pagi Jumaat dan mula membuat penelitian siasatan di kawasan itu berikutan arus sungai yang deras. Berdasarkan itu, radius carian meliputi kawasan empat kilometer [2.5 batu] luas, " kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Nor Hisham Mohammad kepada BeritaBenar.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat melibatkan lebih 100 anggota memberi tumpuan di kawasan yang dikenal pasti untuk mencari tanda lima lagi yang masih hilang serta serpihan persawat. Setakat ini, beberapa serpihan helikopter ditemui seperti bilah rotor, peranti pengapungan, sebahagian daripada dinding, pintu dan sebuah kerusi.
‘Kawasan yang sukar’
Penggunaan perkhidmatan helikopter adalah medium utama pengangkutan bagi ahli politik dan kenamaan lain untuk bergerak di Sarawak, yang muka buminya dilitupi hutan tebal dan kawasan yang lasak serta tidak mempunyai banyak jalan raya.
Selain daripada pilihan perjalanan menggunakan kereta atau lori untuk bertemu masyarakat pendalaman yang tinggal di dalam kawasan gunung ganang dan hutan, VIP juga terpaksa menggunakan bot untuk meneruskan perjalanan melalui rangkaian kompleks sungai negeri berkenaan.
Sekurang-kurangnya tujuh kemalangan helikopter telah berlaku di Sarawak sepanjang dekad yang lalu. Kemalangan yang paling buruk pernah berlaku ialah pada 2004, dimana tujuh orang, termasuk seorang pembantu menteri terbunuh apabila helikopter mereka terhempas ke kawasan pergunungan Bakelalan.