Helikopter Hilang Diambang Pilihanraya Negeri Sarawak

Dennis Wong
2016.05.05
Kuching, Sarawak
160505-my-sarawak-620 Perdana Menteri Najib Razak bersalaman dengan Ketua Menteri Sarawak, Adenan Satem selepas mesyuarat kabinet di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Kuching, mesyuarat kali ini merupakan yang pertama dibuat di luar Putrajaya.
Dennis Wong/BeritaBenar

Sebuah helikopter yang membawa seorang timbalan menteri Malaysia dan lima yang lain hilang pada Khamis semasa dalam penerbangan di negeri timur Malaysia, Sarawak, dua hari sebelum berlangsungnya pilihan raya negeri yang dijadualkan pada Sabtu ini.

Helikopter itu hilang daripada skrin radar semasa terbang dari bandar Betong ke ibu negeri Sarawak, Kuching, media tempatan memetik Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi sebagai berkata.

"Helikopter itu dipercayai berada di kawasan pesisiran pantai Sebuyau, Polis, Angkatan Tentera dan Polis Marin telah dikerahkan ke kawasan itu untuk operasi mencari dan menyelamat," kata Zahid.

Mereka yang dalam penerbangan itu telah dikenal pasti sebagai Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Noriah Kasnon, suaminya Asmuni Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian itu Sundaran Annamalai, Ahli Parlimen Kuala Kangsar Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad, pengawal peribadi Ahmad Sobri Harun dan juruterbang, Kapten Rudolf Rex Ragas.

Pengawal trafik udara terputus hubungan dengan helikopter itu pada kira-kira pukul 5 petang  Khamis, kata Ketua Jabatan Penerbangan Awam Azharuddin Abdul Rahman yang mengesahkan kejadian itu.

"Amat bimbang mengenai laporan helikopter hilang antara Betong dan Kuching. (Misi) mencari dan menyelamat digerakkan. Marilah kita doakan akan keselamatan mereka (di dalam helikopter)," kata Perdana Menteri Najib Razak dalam mesej yang disiarkan di laman Twitter dan Facebook rasmi beliau.

Noriah dan kumpulannya itu dipercayai sedang dalam kempen pilihanraya bagi daerah Bentong di mana Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Douglas Uggah Embas adalah ahli parlimen bagi kawasan itu.

Sarawak dan konsesi persekutuan

Seramai 1.3 juta orang layak mengundi pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN), Sabtu ini yang dilihat sebagai ujian bagi gabungan parti pemerintah Barisan Nasional (BN), yang juga mengawal politik di Sarawak tetapi kini terperangkap dalam skandal rasuah.

Sarawak dan jirannya Sabah adalah dua negeri di Malaysia yang mengadakan pilihanraya Dewan Undangan Negeri secara berasingan daripada pilihanraya parlimen. Lapan puluh dua kerusi dipertandingkan dengan dua kerusi telah dimenangi tanpa bertanding oleh BN.

Setelah diperintah oleh Barisan Nasional selama 53 tahun, penduduk di Sarawak mahu kerajaan persekutuan memberikan agihan lebih besar terhadap pelbagai hasil daripada sumber negeri itu terutamanya hasil minyak dan gasnya.

Ketua Menteri Adenan Satem yang akan bertanding di DUN Tanjung Datu, telah menerajui perbincangan dengan para pegawai kerajaan persekutuan berhubung isu berkenaan.

Adenan turut dilihat cuba memisahkan dirinya daripada dasar-dasar kerajaan persekutuan apabila bercakap dengan penduduk negeri itu, kata profesor Universiti Malaysia Sarawak Jeniri Amir kepada BeritaBenar.

"Jika anda mendengar dengan jelas ucapan beliau, mesej beliau sentiasa mengatakan bahawa apa sahaja Putrajaya lakukan tidak ada kena mengena dengan Sarawak. Pilihanraya ini adalah mengenai Sarawak dan tidak ada kena mengena dengan Najib, " kata Amir.

Permintaan terbesar Sarawak kepada kerajaan Persekutuan ialah royalti hasil pengeluaran minyak dan gas di negeri itu, daripada 5 kepada 20 peratus.

Najib, yang mengetuai BN, pada Rabu telah menolak permintaan itu dengan berkata,  ia bukan masa yang sesuai untuk meneruskan rundingan kerana hasil kerajaan telah merosot disebabkan oleh kejatuhan mendadak harga minyak dan gas.

Profesor itu berkata kehadiran Najib semasa musim berkempen di negeri itu dan pengumuman beliau mengenai permintaan kenaikan royalti minyak itu ditafsirkan sebagai memberi ancaman kepada Adenan. Di kawasan bandar, parti-parti pembangkang telah melabelkan Adenan sebagai "boneka" Putrajaya.

Calon pembangkang Parti Tindakan Demokratik (DAP) Abdul Aziz Isa telah cuba menyerang  pengumuman Najib semalam, dengan mendakwa bahawa Adenan telah gagal untuk mendapat royalti yang lebih tinggi bagi Sarawak.

BN, sekutu tarik sokongan

Pemerhati menjangkakan bahawa, pada Sabtu ini, BN akan mengekalkan kuasanya ke atas dewan undangan negeri Sarawak.

Ia akan menjadi sukar menggoyah sokongan bagi BN di Sarawak kerana ramai masih menganggap gabungan itu adalah satu-satunya pilihan yang ada, kata Prof Madya Universiti Kebangsaan Malaysia Mohd Faisal Syam Abdol Hazis kepada BeritaBenar

"Pembangkang tidak bekerjasama dan bersetuju dalam pembahagian kerusi. Di kawasan Batu Kitang sebagai contoh, DAP mencabar PKR [Parti Keadilan Rakyat] selain BN. Ini bukan saja menghantar mesej yang kuat kepada pengundi, malah turut memecahkan peluang mereka, " kata Mohd Faisal.

Gabungan wakili BN

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) adalah parti sekutu yang paling kuat di negeri itu, yang  menyasarkan 40 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya kali ini.

Tiga parti gabungan tempatan yang lain ialah Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP). Gabungan itu membolehkan BN Sarawak mewujudkan persepsi bahawa ia diurus oleh anak tempatan yang memahami kebimbangan setempat.

Tiga parti iaitu DAP, PKR dan Parti Amanah Negara yang membentuk blok gabungan  pembangkang turut akan bertanding pada pilihan raya itu. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah meninggalkan blok pembangkang beberapa bulan lalu akan bertanding di sebelas kawasan Sabtu ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.