Kes Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut Membimbangkan di Malaysia

Noah Lee
2022.05.27
Kuala Lumpur
Kes Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut Membimbangkan di Malaysia Sekumpulan murid Sekolah Kebangsaan Shah Alam beratur untuk memasuki kawasan persekolahan bagi menghadiri kelas secara bersemuka di Shah Alam, Selangor, 4 April, 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia merekodkan bilangan kes penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) yang membimbangkan di kalangan populasi kanak-kanak sejak Januari lalu, kerana kegagalan mengamalkan kebersihan diri dengan baik serta memakai pelitup muka, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Kenaikan kes HFMD itu dilihat ketara semasa pandemik COVID-19 mula menunjukkan penurunan.

Khairy berkata, Malaysia merekodkan lebih 57,000 kes penyakit itu - yang menyebabkan ruam menyakitkan di tangan dan kaki serta mulut - di antara Januari dan Mei tahun ini, lebih 24 kali ganda berbanding bilangan kes yang dilaporkan untuk tempoh yang sama tahun lepas.

Majoriti penularan virus berkenaan dikesan berlaku di fasiliti penjagaan kanak-kanak seperti taska dan di sekolah, dengan golongan yang paling ramai dijangkiti adalah kanak-kanak berusia di bawah 6 tahun, kata beliau.

"Dari 1 Januari 2022 hingga 25 Mei 2022, sebanyak 57,510 kes HFMD telah dilaporkan iaitu peningkatan sebanyak 24 kali ganda bagi tempoh yang sama bagi tahun 2021 iaitu 2,333 kes,”kata Khairy dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis.

Menurut menteri itu, 52,846 atau 92 peratus daripada kes HFMD yang direkodkan tahun ini membabitkan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah, manakala 3,741 kes lagi (tujuh peratus) membabitkan mereka yang berusia antara 7 dan 12 tahun.

Daripada jumlah keseluruhan kes, 5,203 telah dikesan berpunca daripada 1,370 wabak manakala selebihnya adalah kes sporadik. Pihak berkuasa kesihatan percaya peningkatan mendadak penularan HFMD di Malaysia berkait dengan pembukaan semula aktiviti sosial di negara itu serta kehadiran penuh pelajar di sekolah.

Kata Khairy, daripada 1,370 wabak yang dilaporkan, majoriti didapati berlaku di taska, tadika, tabika, atau pra-sekolah, iaitu 832 wabak atau 61 peratus, dengan selebihnya adalah wabak yang dikesan di rumah persendirian (482 kes atau 35 peratus), dan pusat jagaan (45 wabak atau tiga peratus).

"Peningkatan kes ketara berlaku sejak April 2022 berikutan pembukaan aktiviti sosial, termasuk sesi kehadiran penuh sekolah, taska, tadika dan tabika. Selain itu, kebersihan diri yang tidak terjaga terutama amalan mencuci tangan, penjarakan fizikal dan penggunaan pelitup muka boleh menyebabkan berlakunya jangkitan HFMD.

"Peningkatan kes ini semakin memuncak pada Minggu Epidemik ke 20 dan Minggu Epidemik ke 21 tahun ini disebabkan oleh aktiviti sosial semasa sambutan Hari Raya, tambah beliau.

Menurut maklumat dikeluarkan pihak berkuasa kesihatan, penyakit HFMD berkait rapat dengan amalan kebersihan diri dan persekitaran, dan ia cepat menular di kalangan kanak-kanak berumur bawah 10 tahun terutama di premis tumpuan kanak-kanak.

Ia dikatakan senang merebak melalui sentuhan terus dengan cecair badan atau najis orang yang telah dijangkiti.

Kesedaran masyarakat

Pakar kesihatan awam Mohammad Farhan Rusli menasihatkan rakyat Malaysia supaya memberikan perhatian yang betul terhadap wabak HFMD, dan bersiapsiaga untuk mencegah penularan virus itu.

Kata beliau, HFMD mampu dicegah dengan penjagaan kesihatan diri, dan beliau berpendapat bahawa pihak berkuasa kesihatan perlu mempertingkatkan lagi usaha mendidik masyarakat berkenaan penyakit itu.

"HFMD ini boleh dicegah dengan penjagaan kesihatan kendiri. Dari segi membasuh tangan dan lain-lain.

"Kesedaran kesihatan dan kempen promosi kesihatan sebenarnya masih belum mencukupi. Lebih banyak lagi yang boleh di lakukan. Apabila berlakunya kes HFMD yang tinggi, ini sebenarnya menunjukkan kegagalan dari segi aspek promosi kesihatan awam. Ini kerana kita masih lagi belum dapat menanamkan unsur kesedaran diri kepada masyarakat," kata doktor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu kepada BenarNews.

Ditanya samada negara perlu mengambil tindakan menutup semua sekolah bagi mengekang wabak HFMD, Farhan menyatakan bahawa langkah tersebut adalah sesuatu yang amat drastik dan harus digunakan hanya sebagai langkah terakhir.

"Kita mungkin kena mengeluarkan garis panduan prosedur operasi standard dan pastikan ia di gunakan oleh taska dan fasiliti lain yang terbabit bagi mengelakkan penularan," tambah pakar itu.

Seorang lagi pakar kesihatan Sharifa Ezat Wan Puteh dari Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia pula memberikan amaran bahawa wabak HFMD yang berlaku boleh meningkat lebih tinggi sekiranya langkah pencegahan tidak diambil segera, serta boleh turut menjangkiti orang dewasa.

"HFMD ini berisiko menyebabkan serangan pada jantung, paru-paru, otak dan selaput otak sehingga boleh menyebabkan maut.

"Masyarakat harus berjaga-jaga dan mengambil serius peningkatan penularan penyakit ini kerana ia tidak mempunyai ubat khusus," kata beliau kepada sebuah akhbar tempatan.

Sementara itu, beberapa orang ibubapa yang bercakap kepada BenarNews menyuarakan kebimbangan mereka terhadap peningkatan kes HFMD di dalam negara dan mengharapkan supaya langkah bersesuaian diambil pihak berkuasa.

Jururawat Maria Osman, 32, yang mempunyai lima orang anak berusia antara dua bulan dan 15 tahun, berkata pusat jagaan kanak-kanak sepatutnya ditutup kerana banyak yang tidak mempunyai bilangan pekerja mencukupi untuk memastikan kebersihan terjaga.

"Sekolah mungkin tak perlu ditutup buat masa ini. Tetapi pusat jagaan kanak-kanak boleh ditutup sebab mereka ini tidak mempunyai ramai pekerja untuk menjaga dan memastikan kebersihan budak-budak.

"HFMD ini merisaukan saya sebagai seorang ibu... jika ia hanya sesuatu yang tidak serius, seperti menyebabkan ruam di jari sahaja, itu tidak mengapa. Tapi yang bahaya adalah jika ia menjadi banyak hingga ke dalam mulut," kata Maria.

Fatrisha Mohamed Yussof, 37, ibu kepada dua anak perempuan yang dijangkiti HFMD baru-baru ini, menggesa KKM supaya meningkatkan pemantauan, terutamanya terhadap taska atau pusat jagaan yang kerap merekodkan kes jangkitan.

Menurut pensyarah universiti itu, anaknya yang berusia satu tahun dijangkiti HFMD dua kali dalam tempoh dua bulan dan disyaki mendapat virus itu dari taska. Anaknya yang berumur empat tahun turut dijangkiti.

"KKM kena pantau tempat atau pusat asuhan yang kerap ada masalah HFMD. Kena ambil tahu sama ada mereka betul-betul membersihkan premis mereka, serta adakah mereka ada membuat pemeriksaan pelajar atau kanak-kanak yang datang sebelum dibenarkan masuk,” katanya kepada BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.