Jenayah Hidupan Liar: Malaysia Kenakan Denda Tertinggi RM1.56 juta

Radzi Razak
2019.05.16
Kuala Lumpur, Malaysia
190516-MY-Poachers-sentenced1000.jpg Sebahagian daripada Kulit Harimau Malaya terancam yang dirampas daripada enam pemburu haram warga Vietnam oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara telah dipamerkan di Kuala Lumpur, 6 Julai 2018.
[AFP/Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara]

Sebuah mahkamah di Malaysia pada Rabu telah menjatuhi hukuman denda 1.56 juta ringgit [AS$375,000] setiap seorang kepada dua pemburu haram warga Vietnam yang didapati bersalah atas kesalahan jenayah hidupan liar, yang menurut seorang menterinya adalah jumlah tertinggi yang pernah dikenakan bagi kesalahan itu.

Hakim Azman Mustapha seorang hakim di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Hoang Van Viet, 29, dan Nguyen Van Thiet, 26 yang ditahan dalam Ops Belang pada 15 April 2019 lepas di Taman Negara di Terengganu.

Kedua-duanya yang mengaku bersalah keatas 20 pertuduhan jenayah di bawah empat undang-undang iaitu di bawah Seksyen 29(1)(b), Seksyen 68(2)(c); Seksyen 68(1)(b) dan Seksyen 60(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana memiliki jerat, menyimpan bahagian hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya seperti organ haiwan antaranya kambing gurun, harimau kumbang, harimau dahan, tapir, beruang matahari, kucing tulap dan babi hutan.

Selain denda, Hakim Azman turut menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun bagi setiap seorang dengan kedua-duanya turut berdepan penambahan hukuman penjara selama 16 tahun lagi jika gagal melunaskan denda yang telah dikenakan keatas mereka bagi kesemua kesalahan yang telah dilakukan.

Kedua mereka ditangkap oleh pihak berkuasa Malaysia di Hulu Sungai Tersat, Taman Negara di Terengganu pada 15 April lepas dalam satu operasi yang dilakukan oleh pasukan taktikal khas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara [Perhilitan] dalam usaha membenteras pemburuan haram hidupan liar.

Turut dirampas dalam operasi itu ialah 141 organ Harimau Malaysia, Harimau Kumbang, Tapir, Beruang Matahari, kucing tulip, babi hutan dan 22 jerat yang digunakan untuk menjerat haiwan tersebut.

Sementara itu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jeyakumar pada Khamis menyambut baik keputusan mahkamah yang mengenakan denda tertinggi terhadap pesalah yang dilihat sebagai membuka harapan baru terhadap usaha kementerian tersebut dalam memerangi jenayah hidupan liar.

“Jumlah denda tersebut adalah yang tertinggi pernah dikenakan bagi jenayah hidupan liar.

“Keputusan mahkamah itu akan menjadi pemangkin kepada Kementerian untuk terus memperhebatkan usaha bagi memerangi jenayah hidupan liar dan anasir jahat yang membawa kepada kemusnahan terhadap hidupan liar yang terancam dan sumber alam Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Putrajaya pada Khamis.

Dalam pada itu, organisasi pemantau pemerdagangan hidupan liar, Traffic mengucapkan tahniah kepada kerajaan Malaysia atas kejayaan mereka dalam usaha membenteras jenayah hidupan liar.

“Hari ini mencatatkan sejarah bagi kerajaan Malaysia kerana buat pertama kalinya denda melebihi satu juta ringgit telah dikenakan atas kesalahan jenayah hidupan liar,” kata pengarahnya Kanitha Krishnasamy.

Kanitha berkata ini merupakan kes kedua dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini yang melibatkan warga Vietnam atas kesalahan pemburuan haram dan dibawa ke mahkamah.

Pada Mac lepas, seorang lagi rakyat Vietnam, Tran Van Sang yang ditahan di Perak pada Ogos 2017, telah dijatuhkan hukuman penjara 19 tahun dan denda 850 ribu ringgit, selepas didapati bersalah atas sepuluh pertuduhan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Beliau didakwa kerana memiliki secara haram 273 organ hidupan liar termasuk harimau, harimau bintang, beruang matahari dan rusa.

Pada bulan yang sama juga, seorang lagi rakyat Vietnam, Ho Van Kien telah didapati bersalah atas enam pertuduhan kerana memiliki kulit harimau, sebahagian dari kulit dan kuku harimau kumbang, kuku beruang matahari dan juga 150gram daging harimau serta 21.15kg daging babi hutan.

Beliau telah ditahan pihak berkuasa pada 4 Julai 2018 dihukum penjara selama enam tahun dan denda 400 ribu ringgit oleh Mahkamah Sesyen Raub di Pahang.

Tumpuan pemburu haram

Malaysia adalah antara negara Asia Tenggara yang menjadi tumpuan pemburu haram kerana mempunyai spesies haiwan terpelihara seperti Harimau Malaya, Harimau Akar, Harimau Kumbang, Gajah serta beruang mentari selain dakwaan yang menyatakan bahawa penguatkuasaan yang agak lemah.

Aktiviti pemburuan haram telah menjejaskan populasi haiwan liar termasuk Harimau Malaya dan Beruang Madu dengan spesies haiwan liar sering mendapat permintaan tinggi dalam pasaran gelap.

Harga seekor Harimau Malaya seperti harimau yang tertera pada jata [identity] negara Malaysia, dianggar bernilai 600 ratus ribu [AS$145,101] hingga 1 juta ringgit [AS$241,895] di pasaran gelap, demikian menurut laporan Perhilitan Malaysia.

Laporan yang dikeluarkan pada 2018 menyebut bahawa haiwan liar yang dilindungi sepenuhnya sering diburu secara haram bagi mendapatkan kulit, daging, kuku dan taringnya, selain tulang dan tengkorak harimau yang menjadi bahagian paling bernilai berbanding kulit harimau di pasaran gelap.

Terdapat permintaan yang tinggi terutamanya untuk organ dan tulang harimau di kalangan pembuat arak selain pengeluar produk ubat-ubatan tradisional.

Tulang haiwan karnivor itu didapati menjadi bahan utama dalam penghasilan arak yang amat popular di Vietnam, Laos dan China selain turut dieksport ke Amerika Syarikat.

Laporan itu juga menyatakan bahawa Tabung Hidupan Liar Sedunia atau WWF Malaysia turut meramalkan bahawa haiwan berstatus spesies terancam itu akan pupus dalam tempoh kurang sepuluh tahun sekiranya tiada usaha pemuliharaan diambil segera.

Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (NTCAP), yang dilancarkan pada 2008, menyasarkan untuk mempunyai 1,000 ekor Harimau Malaya di habitat asalnya di seluruh Semenanjung menjelang 2020, sesuatu yang nampaknya hampir mustahil dilakukan pada masa ini.

Dalam usaha mengekang aktiviti pemburu haram, kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli menubuhkan pasukan petugas khas untuk menjalankan rondaan di bawah Program Perlindungan Harimau dan Rondaan (TP3) pada bulan lalu.

Menterinya juga mengisytiharkan 'perang' terhadap pemburu haram sebagai agenda nasional dalam komitmennya untuk memastikan spesies Harimau Malaya tidak pupus.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.