Joshua Hilmy Terima Amaran Melalui E-Mel Sebelum Hilang, kata Saksi
2020.08.12
Kuala Lumpur, Malaysia
Joshua Hilmy menerima e-mel amaran kemungkinan ancaman bahaya berhubung tingkah lakunya daripada pengirim tidak dikenali, sebelum beliau hilang pada akhir 2016, inkuiri Suhakam diberitahu pada Rabu, yang merupakan hari pertama selepas enam bulan ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan kerajaan pada Mac lepas, akibat pandemik COVID-19.
Semasa sesi inkuiri yang bermula jam 10.20 pagi, seorang saksi Josiahnandan Emmanuel Peter, 25, memberi keterangan semasa pendengaran awam kendalian Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) dan mengesahkan mengenai petemuan sekotak dokumen yang diberikannya kepada peguam pasangan hilang, Philip Koh, Februari tahun lepas.
Berdasarkan rekod, Hilmy dilahirkan sebagai seorang Islam sebelum menganut agama Kristian selepas berkahwin dengan Ruth Sitepu. Pasangan itu dilihat buat kali terakhir pada November 2016.
"Antara dokumen yang saya simpan adalah salinan emel dari pengirim yang tidak diketahui, yang telah memberi amaran kepada Joshua mengenai kemungkinan ancaman bahaya akibat tingkah lakunya,” kata Josiahnandan sambil menambah beliau dan saudara perempuannya mengambil dokumen itu pada 2017, sebelum berpindah dari rumah Hilmy di Kampung Tunku, Petaling Jaya.
“Kami mengambil dokumen itu, jikalau berlaku sesuatu kepadanya (Hilmy). Di Malaysia, jika orang Melayu Islam dan menukar agama kepada Kristian, dan jika mereka mula berkongsi tentangnya (kepercayaan mereka) dengan orang Melayu lain, ia boleh mendatangkan risiko kepada mereka.
"Dokumen lain milik Paderi Hilmy dan Ruth termasuklah sijil pembaptisan dan saya simpannya sejak 2017, satu langkah berjaga-jaga jika sesuatu berlaku padanya," tambah Josiahnandan memberi panel siasatan itu.
Beliau memberitahu kandungan e-mel yang dihantar kepada Hilmy adalah, “Paderi, tolong baca dan fikir betul-betul sebelum anda menyesal akibat perlakuan negatif anda, yang mengancam nyawa dan membawa kepada masa hadapan yang gelap.”
“Biar kami berdua fikirkan bagaimana kami boleh bertolak ansur dengan orang seperti anda.
“Jangan salahkan diri saya jika anda ditahan oleh mereka.
“Saya tidak ada masa nak layan orang macam pastor, saya lebih suka pastor keluar dari Malaysia.”
Johsiahnandan memberitahu yang keempat-empat hantaran itu adalah daripada pengirim yang tidak diketahui.
Beliau kemudiannya menjawab pertanyaan yang dikemukakan peguam Andrew Khoo yang juga panel suruhanjaya tersebut kenapa Josiahnandan mengambil dokumen tersebut daripada rumah Hilmy.
Josiahnandan dan adik perempuannya Grace Thangamalar tinggal bersama pasangan itu semasa menuntut di sebuah kolej daripada 2014 sehingga 2017.
Bapa mereka, Peter Pormanan merupakan rakan rapat Hilmi membenarkan anak-anaknya tinggal di rumah Hilmy kerana kedudukannya yang berdekatan dengan kolej mereka di Petaling Jaya.
Antara dokumen yang diserahkan kepada panel siasatan itu pada Februari lepas adalah sijil pembatisan, dokumen rasmi dan tidak rasmi, salinan e-mel dan kitab Injil.
Khoo kemudian bertanya kepada Josiahnandan mengapa beliau tidak berikan kotak yang mengandungi dokumen itu kepada ayahnya.
Josiahnandan yang menjawab pertanyaan itu berkata, “Kami hampir terlupa mengenai kotak berkenaan sehingga kes ini timbul. Ayah saya juga tidak tahu mengenainya,"
Peguam itu sekali lagi bertanya sebab mengapa Josiahnandan tidak menyerahkan kotak dokumen itu kepada polis.
"Saya tidak pasti mahu memberikannya kepada polis atau siapakah yang sesuai untuk menguruskan dokumen. Kami tahu yang mereka (Hilmi dan Ruth) terlibat dalam aktiviti keagamaan dan pembaptisan, oleh kerana itu saya tidak pasti bagaimana hendak dedahkan mengenai kotak dan dokumen di dalamnya," kata Josiahnandan pada sesi inkuiri yang tamat pada jam 3 petang.
Sebelum ini, sesi inkuiri yang bermula Februari lalu memanggil rakan pasangan itu, Pormannan iaitu ayah kepada Josiahnandan yang mendedahkan kepada panel inkuiri yang Hilmy pernah dicari pihak berkuasa agama Islam sebelum itu, susulan tindakannya menganut agama Kristian.
Pormannan, yang pertama kali bertemu Hilmy pada 2012, memaklumkan tiga ahli panel inkuiri bahawa beliau mengetahui perkara tersebut selepas dimaklumkan sendiri oleh Hilmy kira-kira dua tahun kemudian.
Di Malaysia, murtad atau keluar dari Islam adalah suatu jenayah terlarang dan ada negeri yang memberikan kuasa kepada mahkamah syariah untuk membicarakan kes murtad/pengisytiharan bukan lagi orang Islam dalam bidangkuasa mahkamah, pada waktu yang sama, menyediakan segala tatacara berkaitan termasuk istitabah (anjuran/perintah supaya bertaubat) dan juga hukuman.
Sesi inkuiri bersambung
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kumpulan Aduan dan Pemantauan Suhakam, Simon Karunagaram berkata, sesi inkuiri itu akan bersambung pada 24 Ogos, jam 10 pagi membabitkan dua saksi.
"Tetapi sesi pagi adalah sesi tertutup membabitkan saksi yang dilindungi dan selepas jam 2 petang, ia adalah sesi terbuka," katanya kepada BeritaBenar.
Pada 2 Mac lepas, seorang saksi inkuiri mengenai kehilangan Hilmy dan isterinya telah memaklumkan panel siasatan bahawa ahli politik UMNO, Khairy Jamaluddin pernah meminta Hilmy meninggalkan negara itu susulan aktiviti pembaptisan yang dilakukannya terhadap beberapa pasangan Islam.
Selvakumar Peace John Harris yang merupakan pemilik rumah yang didiami pasangan itu di Kampung Tunku memberi keterangan bahawa Khairy menghantar beberapa emel kepada Joshua dan antaranya menyebut: “lebih baik kamu tinggalkan negara”. Khairy yang kini adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi walaubagaimanapun menafikannya.
Inkuiri bagi menentukan sama ada pasangan itu adalah mangsa kehilangan terancang dipengerusikan Pesuruhjaya Suhakam Hishamuddin Yunus dengan dibantu oleh Pesuruhjaya Jerald Joseph dan Madeline Berma.
Pasangan itu, tidak pernah kembali selepas meninggalkan rumah mereka di Petaling Jaya pada Okt 2016 dan pada 2018, dua tahun selepas kehilangan mereka, adik beradik Ruth membuat laporan kehilangannya.
Keluarga Ruth berasal dari perkampungan nelayan di Nambiki, utara Sumatera, Indonesia.
Prosiding yang sepatutnya berlangsung selama 14 hari mulai 17 Februari dan berakhir pada 29 April, telah ditangguhkan akibat Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan oleh pentadbiran Putrajaya bagi mengawal penularan jangkitan pandemik COVID-19 sejak Mac lepas.
Inkuiri Suhakam dalam dua kes lain iaitu kehilangan Paderi Raymond Koh dan Amri Che Mat masing-masing pada 2017 dan 2016, pada 3 April tahun lepas telah merumuskan bahawa mereka adalah mangsa kehilangan terancang.
Panel siasatan, yang dipengerusikan Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai, mengumumkan bahawa terdapat kebarangkalian pelaku di sebalik kehilangan Koh dan Amri ialah anggota polis Bahagian Cawangan Khas.
Undang-undang hak asasi antarabangsa mendefiniskan kehilangan paksa adalah apabila seseorang secara rahsia diculik atau dipenjara oleh negara atau organisasi politik, atau pihak yang diberi kuasa, disokong atau dikaitkan dengan negara atau organisasi politik.