Lelaki Didenda RM4,000 Hina Najib, Duterte Di Laman Media Sosial

Hata Wahari
2018.02.26
Kuala Lumpur
180226-MY-Karakoe620.jpg Muhammad Amirul Helmy Hisham semasa berada di perkarangan Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur untuk berdepan dengan hukuman berhubungan kenyataan buruk di laman media sosial yang menghina Perdana Menteri Najib Razak, 26 Februari, 2018.
[HataWahari/BeritaBenar]

Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur pada Isnin menjatuhkan hukuman denda RM4,000  keatas seorang bekas pengendali kren kerana memuat naik status di laman media sosial yang menghina satu video yang memaparkan Perdana Menteri, Najib Razak sedang menyanyi dengan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte pada 2016.

Muhammad Amirul Helmy Hisham, 24 didakwa mengeluarkan perkataan itu di dalam akaun Facebooknya yang memaparkan Najib dan Duterte sedang berkaraoke di dalam sebuah majlis semasa Presiden Filipina itu membuat lawatan rasmi ke Malaysia pada 9 dan 10 November 2016.

Dalam video itu Najib dan Duterte sedang berduet mendendangkan sebuah lagu.

Hakim Zaman Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu selepas Muhammad Amirul menukar pengakuan tidak bersalah kepada bersalah pada Isnin.

Hakim Zaman juga mengarahkan lelaki berkenaan menjalani hukuman penjara selama sebulan sekiranya tertuduh gagal untuk membayar denda berkenaan.

Muhammad Amirul dibebaskan selepas membayar denda tersebut.

Muhammad Amirul yang menggunakan nama profilnya ‘Amirul Helmy’ di laman Facebook di dakwa secara sengaja membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang menghina dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada kira-kira pukul 10.23 pagi, 18 November 2016.

Dia yang pernah bekerja di bahagian logistik di Pelabuhan Klang didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Muhammad Amirul dalam rayuannya memohon hukuman ringan atas alasan dia penanggung tunggal ibu bapa dan adiknya yang masih belajar dan juga telah dihentikan kerja sejak didakwa di mahkamah dan masih gagal mendapat pekerjaan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Mohd Sophian Zakaria memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan alasan kesalahan yang dilakukan oleh Muhammad Amirul tidak menghormati undang-undang negara.

Tegas Mohd Sophian, Muhammad Amirul telah menunjukkan dia memang berniat untuk menggalakkan orang awam membaca dengan memuat naik tag #najibrazak supaya kata-kata buruk itu dibaca, terutama oleh pengikut-pengikut #najibrazak.

“Tindakan berani ini menyebabkan masyarakat atau netizen tidak kisah untuk menyebarkan berita-berita palsu,” katanya.

Mengikut fakta kes, seorang individu telah membuat laporan kepada MCMC, selepas membaca status Muhammad Amirul di laman Facebooknya yang membawa kepada penahanan pengendali kren berkenaan.

Sebelum ini pada 9 Februari lalu, seorang peniaga didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen yang sama atas empat pertuduhan memuat naik kandungan media yang menghina Najib Razak dan Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali menerusi Facebook pada 2016.

Azhar Mamat, 45, didakwa di bawah seksyen 234(1)(a), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3), akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.