Malaysia: Negara-negara ASEAN Perlu Tangani Dahulu Tuntutan Di Laut China Selatan

Hadi Azmi & Drake Long
2020.11.10
Kuala Lumpur & Washington
201110-MY-HishamH1000.jpg Menteri Luar Malaysia Hishammuddin Hussein bercakap pada sidang media di Putrajaya selepas menghadiri mesyuarat Menteri Luar Negeri ASEAN secara maya, 10 November 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Negara-negara Asia Tenggara perlu menyelesaikan isu tuntutan mereka di Laut China Selatan dahulu sebelum memutuskan bagaimana mahu menangani dasar Beijing atau Washington di perairan yang menjadi pertikaian itu, kata menteri luar Malaysia pada Selasa selepas mengadakan pertemuan secara maya dengan rakan-rakan sejawatannnya di rantau itu.

Namun, perbincangan berhati-hati mengenai isu itu oleh kerajaan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dilihat dapat mengelakkan perang daripada meletus di perairan yang mudah bergolak itu, kata Menteri Luar Hishammuddin Hussein kepada wartawan di Putrajaya menjelang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-37, yang akan bermula Khamis.

"Perkara yang paling penting bagi kami di ASEAN adalah menguruskan isu dalaman yang berbangkit dahulu. Seperti yang anda tahu, terdapat tuntutan bertindih dalam kalangan negara ASEAN, oleh itu, walaupun kami perlu mengambil kira tentang kuasa besar China dan AS, kami perlu menangani isu perairan Laut China Selatan yang sukar ini sesama kami. Jadi, langkah pertama adalah berbincang dengan negara-negara ASEAN,” kata Hishammuddin.

Walaupun enam negara Asia mempunyai tuntutan terhadap wilayah atau sempadan maritim di Laut China Selatan yang turut bertindih dengan tuntutan meluas China, beberapa negara ASEAN turut mempunyai tuntutan di perairan itu.

Pada Ogos lalu, seorang nelayan Vietnam terbunuh semasa berlakunya pertembungan antara pengawal pantai Malaysia dan bot-bot nelayan yang memasang bendera Vietnam yang disyaki menceroboh perairan Malaysia di Laut China Selatan.

Vietnam mempunyai tuntutan luas di perairan itu hingga menjangkau wilayah Filipina dan Malaysia.

Dua hari selepas kejadian itu di Malaysia, pihak berkuasa di Selatan Thailand menyatakan bahawa mereka telah menangkap 36 nelayan Vietnam dan merampas empat bot kerana disyaki menceroboh perairan Thailand.

Pada Mei tahun lalu, Indonesia menenggelamkan puluhan bot asing yang dirampas selepas menceroboh perairannya secara haram, termasuklah sejumlah bot dari Vietnam.

Kementerian luar Indonesia juga menyatakan bahawa ia telah memanggil wakil duta besar Hanoi selepas tentera laut Indonesia mendakwa dua bot pengawal pantai Vietnam merempuh satu daripada kapal perondanya yang melakukan pemantauan terhadap kegiatan penangkapan ikan secara haram berdekatan Kepulauan Natuna.

Vietnam dan Indonesia mempunyai zon ekonomi eksklusif bertindih di Laut China Selatan, dan walaupun sudah berunding mengenai perkara itu, mereka masih belum mencapai kesepakatan kerana kedua-dua negara tidak mahu melepaskan hak menangkap ikan di Laut Natuna Utara.

Secara teknikalnya, Malaysia, Vietnam dan Filipina mempunyai tuntutan bertindih bagi ciri-ciri tanah seperti pulau kecil, terumbu dan batu di Laut China Selatan.

Indonesia, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Thailand adalah anggota ASEAN. Negara-negara ini serta kerajaan Taiwan dan Brunei juga mempunyai tuntutan bertindih dengan China bagi beberapa kawasan di Laut China Selatan.

Walaupun Indonesia tidak menganggap ia terlibat dalam pertikaian Laut China Selatan, namun Beijing menuntut hak bersejarah bagi beberapa bahagian laut yang bertindih dengan zon ekonomi eksklusif Indonesia.

Sementara itu pada Selasa, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyatakan ia telah mengusir tiga bot nelayan Indonesia yang melakukan kegiatan dalam perairan Malaysia di Selat Melaka sehari sebelum itu.

Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM menyatakan bahawa kapalnya, KD Laksamana Tan Pusmah, telah menerima maklumat pada Isnin petang bahawa beberapa bot asing dikesan berada di kedudukan 26 batu nautika dari Pulau Perak di negeri Kedah.

"KD Laksamana Tan Pusmah diarahkan menghampiri lokasi dan melakukan pemeriksaan sebelum ia menemukan tiga bot nelayan Indonesia dalam perairan Malaysia. Ia kemudian melakukan pengusiran dengan mengiringi bot-bot terbabit sehingga keluar dari perairan Malaysia pada 4 petang,” kata kenyataan itu.

Sidang Kemuncak ASEAN


Beberapa mesyuarat awal peringkat menteri termasuk pertemuan menteri luar ASEAN diadakan pada Selasa secara sidang video menjelang Sidang Kemuncak ASEAN pada 12 hingga 15 November. Ia akan menjadi pertemuan terakhir ketua-ketua negara Asia Tenggara dengan tuan rumah, Vietnam, selaku pengerusi bagi tahun 2020.

Dalam pertemuan secara maya itu pada Selasa, menteri-menteri luar ASEAN "mengulangi tekad persatuan itu untuk meneruskan rundingan mengenai Kod Tata Laku atau COC,” di Laut China Selatan, menurut kenyataan yang disiarkan di laman web ASEAN Vietnam 2020.

Pada 2018, Beijing bersetuju dengan draf COC yang akhirnya akan menjadi asas bagi perjanjian tersebut. Pada tahun berikutnya, sebanyak 10 negara anggota ASEAN bersetuju dengan China untuk memuktamadkan kod tata laku itu dalam masa tiga tahun.

Negara-negara yang mempunyai tuntutan di Laut China Selatan selain daripada China telah menggesa supaya kod tata laku itu dirangka untuk memperjelaskan langkah-langkah yang boleh diambil oleh setiap negara bagi mengelak perselisihan daripada berleluasa. Beberapa negara mahukan kod tata laku itu disahkan dan dimeterai oleh negara-negara berkenaan.

"Hari ini, kami membincangkan mengenai kod tata laku" yang merupakan "cara positif dan konstruktif untuk  mara ke depan," kata Hishammuddin yang merujuk kepada COC dan Deklarasi Tata Laku di Laut China Selatan atau DOC pada 2002.

“Inilah cara ASEAN,”  katanya sambil memberitahu bahawa itu adalah pendekatan persatuan itu untuk menangani "keseimbangan emosi dan politik antara kuasa besar di Laut China Selatan."

Hishammuddin berkata walaupun ada negara ASEAN yang mempunyai tuntutan bertindih di perairan itu, mereka tidak berdepan konflik serius dalam menangani masalah itu, yang menjadi tumpuan retorik antara China dan Washington sejak beberapa bulan lalu.

Ini kerana negara-negara ASEAN percaya bahawa masalah itu mesti ditangani secara kolektif bukannya secara individu, kata diplomat tertinggi Malaysia itu.

"Jadi, apa yang ASEAN lakukan dalam perbincangannya yang penuh berhati-hati ini, adalah sekurang-kurangnya kami tidak saling berperang, tidak menyebabkan kematian akibat masalah emosi," katanya kepada wartawan.

"Insiden yang tidak disengajakan di Laut China Selatan perlulah dielakkan kerana kestabilan serantau adalah jauh lebih penting bagi semua negara pada ketika ini," kata Hishammuddin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan secara berasingan selepas mesyuarat secara maya dengan rakan-rakannya dari ASEAN.

"Adalah lebih baik untuk bersabar dalam menangani isu ini daripada bertarung demi memperoleh ganjaran politik kerana ada nyawa yang dipertaruhkan," kata Hishammuddin tanpa menyebut mana-mana negara pun.

Pada mesyuarat September lalu, menteri-menteri luar ASEAN dalam pernyataan bersama menyatakan keprihatinan mereka terhadap peningkatan ketegangan di Laut China Selatan.

Menteri-menteri berkenaan menegaskan perlunya mencari penyelesaian aman bagi pertikaian yang berbangkit selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diterima sejagat termasuk Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut 1982 atau UNCLOS.

Negara-negara anggota itu juga menyatakan bahawa mereka terperangkap di tengah-tengah konfrontasi lisan antara Beijing dan Washington berhubung perairan itu.

Ketegangan di rantau itu kian meningkat sejak Setiausaha Negara AS Mike Pompeo menyatakan pada Julai bahawa tuntutan Beijing terhadap Laut China Selatan adalah tidak sah. Washington, katanya ketika itu, menyokong negara-negara sekutunya di Asia Tenggara "dalam melindungi hak kedaulatan mereka terhadap sumber-sumber luar pesisir."

Beijing sebaliknya menuduh Amerika Syarikat berterusan mencampuri isu di Laut China Selatan. Pada Ogos, Menteri Luar  China Wang Yi menganggap AS sebagai "pendorong tindakan ketenteraan terbesar di Laut China Selatan," lapor media China.

Ketika ditanya pendapatnya mengenai harapan ASEAN terhadap presiden AS berikutnya, Hishammuddin menyatakan bahawa keadaan masih terlalu awal untuk berbuat demikian.

"Berhubung kehadiran AS di Laut China Selatan, kami perlu meneliti dasar pentadbiran barunya serta pendirian kuasa besar lain di utara dalam isu ini," katanya, yang merujuk kepada Beijing.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.