Hishammuddin: Kerjasama Ketenteraan Negara ASEAN Pertingkat Keselamatan Serantau

Pakar keselamatan menolak idea usaha ketenteraan sebagai langkah terbaik kerana ASEAN bukan satu pakatan ketenteraan.
Hadi Azmi & Nisha David
Kuala Lumpur
2021-10-05
Share
Hishammuddin: Kerjasama Ketenteraan Negara ASEAN Pertingkat Keselamatan Serantau Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein bercakap dengan wakil khas Australia David Johnston, di Kuala Lumpur, 5 Oktober, 2021.
[Ihsan @HishammuddinH2O melalui Facebook]

Kerjasama ketenteraan yang kuat antara negara ASEAN akan dapat mempertingkatkan tahap keselamatan di rantau Asia Tenggara, menurut Menteri Pertahanan Malaysia pada Selasa sambil memaklumkan bahawa perkara itu telah dipersetujui bersama rakan sejawatnya dari Indonesia, semasa membincangkan mengenai perjanjian tiga hala AS-UK-US (AUKUS), yang dilihat sebagai satu usaha anti-China.

Hishammuddin Hussein pada hari yang sama juga memberitahu yang beliau telah mengadakan pertemuan dengan Duta Khas Australia David Johnston di Kuala Lumpur untuk menyampaikan serta mengulangi kegusaran negara itu berhubung AUKUS, yang dilihat boleh membawa kepada memprovokasi kuasa untuk bertindak agresif di rantau berkenaan terutama di Laut China Selatan.

"Tidak boleh dinafikan bahawa gabungan tentera 10 negara ASEAN berkemampuan untuk berdepan dengan kuasa besar bagi memastikan keselamatan dan kestabilan di rantau Asia Tenggara.

“Kebetulan semalam saya berhubung dengan Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto dan beliau menyatakan betapa penting kita 10 negara dapat berinteraksi secara dekat khususnya dalam perkembangan terkini iaitu AUKUS," kata Hishammuddin di Parlimen.

Hishammuddin telah mengadakan satu mesyuarat dengan Prabowo secara atas talian di mana kedua-duanya membincangkan pelbagai isu termasuk AUKUS.

"Fokus perbincangan kami tertumpu kepada usaha mengukuhkan lagi diplomasi ketenteraan sedia ada serta potensi usahasama pada masa akan datang, bukan sahaja antara Malaysia-Indonesia tetapi juga sesama setiap negara anggota ASEAN.

"Kami juga menyentuh serba sedikit mengenai perkembangan terkini AUKUS," tambah Hishammuddin lagi.

Semasa sesi Parlimen itu juga, Menteri Pertahanan berkenaan menegaskan ia tidak bermakna negara ASEAN tidak perlu terus mendampingi kuasa-kuasa yang terlibat dengan AUKUS.

Sementara negara ASEAN seperti Filipina mengalu-alukan penubuhan AUKUS, Malaysia dan Indonesia bersikap lebih skeptikal dengan Kuala Lumpur telah menyuarakan kebimbangan mengenai perlumbaan untuk membangunkan senjata berkuasa nuklear di rantau itu.

Di bawah kerjasama tiga hala itu, Australia bakal menerima faedah dari segi mendapatkan kapal selam berkuasa nuklear dari Amerika Syarikat.

"AUKUS ini bakal memangkin perlumbaan persenjataan nuklear di rantau Indo-Pasifik. Pada masa yang sama, ia akan memprovokasi kuasa- kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutamanya di Laut China Selatan," kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan media pada September, tanpa menyebut nama negara dimaksudkan beliau sebagai kuasa lain.

Pertemuan Duta Khas Australia

Semasa pertemuaan dengan Johnston, yang terbang ke Kuala Lumpur bagi menemui pemimpin Malaysia dalam usaha menerangkan kedudukan Australia berhubung isu AUKUS, Hishammuddin memaklumkan yang beliau sekali lagi menyatakan kegusaran negara kepada Johnston dengan berkata Malaysia tidak sepatutnya diheret dan terperangkap dalam geopolitik pertimbangan kuasa besar.

“Malaysia tidak sepatutnya diheret dan terperangkap dalam geopolitik pertimbangan kuasa besar dan perlu berusaha mengelakkan sebarang insiden tidak diingini di perairan itu, termasuk pertembungan ketenteraan di perairan oleh mana-mana pihak,

“Saya juga tekankan, sebagai sebuah negara ASEAN, Malaysia memegang prinsip untuk mengekalkan ASEAN sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).

“Australia mesti hormati prinsip ini dan pendirian Malaysia terhadap kapal selam berkuasa nuklear yang beroperasi di perairan Malaysia termasuk di bawah UNCLOS (Konvensyen pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 tentang Undang-undang Perjanjian Laut) dan SEANWFZ (Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara), “ kata Hishammuddin di laman media sosial Facebooknya selepas mengadakan pertemuan dengan Johnston.

Baru dua minggu lalu, Malaysia dilihat mengambil pendirian berpihak apabila menteri pertahanan tersebut memberitahu Parlimen yang beliau akan membuat lawatan kerja ke China untuk mendapatkan pandangan Beijing bagi mengetahui apa tindakan lanjut negara itu terhadap AUKUS.

"Kita perlu mendapatkan pandangan kepimpinan khususnya pihak pertahanan China, mengenai apa pandangan mereka terhadap AUKUS yang telah diumum tiga negara itu, dan apa agaknya tindakan mereka susulan daripada apa yang telah pun diumumkan," kata Hishammuddin pada September.

Walaupun ia tidak dinyatakan secara jelas, AUKUS dilihat sebagai satu kerjasama yang dibuat bagi mengimbangi cita-cita Beijing untuk meluaskan pengaruhnya di Asia Pasifik, terutama di kawasan Laut Cina Selatan.

Pakar keselamatan Ramli Dollah dari Universiti Malaysia Sabah bagaimanapun menolak idea bahawa usaha ketenteraan adalah langkah terbaik untuk diambil ASEAN.

"Saya tak fikir bahawa langkah ketenteraan adalah pilihan terbaik untuk menangani isu ini. Ia adalah kerana ASEAN itu sendiri pun bukanlah satu pakatan ketenteraan," kata beliau kepada BenarNews.

Selain daripada kemampuan negara-negara ASEAN yang tidak boleh menandingkan keupayaan ketenteraan dimiliki negara kuasa besar seperti China dan AS, 10 negara dalam blok itu juga mempunyai pertikaian antara sesama mereka.

"Kebanyakan negara ASEAN mempunyai pertikaian sesama sendiri yang masih belum selesai, seperti pertindihan tuntutan wilayah (di Laut Cina Selatan). Oleh kerana itu, pakatan ketenteraan bukanlah satu pilihan," kata Ramli.

ASEAN, kata beliau, sepatutnya belajar daripada kisah lalu dan kejayaan dikecapi dengan bersikap neutral ketika Perang Dingin antara AS dan Soviet Union.

"ASEAN berjaya menangani konflik ketenteraan ketika Perang Dingin dengan bersikap neutral, mengambil polisi tidak berpihak dan kadangkala bersikap tidak berapa jelas dalam polisinya, tetapi bukannya dengan mengambil langkah ketenteraan," tegas Ramli.

Pertahan tindakan minta pandangan China

Sementara itu, Duta Khas berstatus Menteri Abdul Hadi Awang, dalam satu kenyataan mempertahankan Hishammuddin yang ingin mendapatkan penjelasan daripada China dengan berkata pertemuan itu hanya untuk menunjukkan bahawa Malaysia tidak lagi bergantung kepada kuasa Barat.

"Ia suatu kewajaran bagi Malaysia meminta penjelasan daripada China kerana keutamaan yang sepatutnya dalam hubungan antarabangsa adalah melihat terlebih dahulu terhadap sikap negara serantau yang terdekat, bukannya merangkak ke negara yang jauh merentasi lautan dan benua," kata Abdul Hadi dalam status di Facebook rasminya.

Beliau turut memberi amaran mengenai AUKUS yang disifatkan sebagai sebuah pakatan yang menunjukkan kerakusan kuasa besar yang ingin meletakkan seluruh dunia bawah kawalannya, dan menggesa supaya negara-negara serantau bergabung tenaga untuk memastikan bahawa ia tidak membawa bencana kepada mereka.

Walaupun tidak menyebut secara spesifik, Abdul Hadi dipercayai merujuk kepada pakatan negara Barat, di mana beliau menyatakan bahawa apa yang terjadi di beberapa negara seperti Iraq, Afghanistan dan beberapa negara Afrika perlu dijadikan pengajaran oleh negara lain mengenai tujuan campur tangan mereka.

"Pengalaman daripada campur tangan secara langsung oleh kuasa besar itu di Iraq, Afhghanistan dan beberapa buah negara Afrika, sepatutnya menjadi pengajaran untuk kita memahami tujuan yang sebenarnya demi menjaga kepentingan negara besar itu sahaja.

"Apabila mereka menemui kegagalan, negara yang menjadi pengkalannya ditinggalkan bagi menyelamatkan diri mereka sahaja. Adapun tuan rumah yang menjadi pengkalannya pula menjadi mangsa. Negara barat sekali-kali tidak layak menjadi penyelesai kepada masalah serantau yang dihadapi oleh Asia sekiranya terdapat sebarang masalah."

Sebelum ini, seorang pakar strategi geopolitik menyatakan bahawa Malaysia akan menghantar mesej bahawa ia tidak lagi berkecuali sekiranya Hishammuddin mendapatkan pandangan China mengenai perjanjian AUKUS.

"Untuk Malaysia mendapatkan pandangan China... ia mewujudkan satu keadaan yang tidak selesa kerana China bukanlah negara anggota pakatan AUKUS, dan sebaliknya merupakan negara yang berpotensi menjadi sasaran pakatan itu," kata Azmi Hassan kepada BenarNews.

"Ia akan membawa persepsi bahawa Malaysia menyebelahi China. Ia adalah amat tidak sesuai."

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh