Follow us

Malaysia Cadang Buka Kem Tentera Ketiga Di Kelantan

Hata Wahari
Kuala Lumpur
2017-08-23
E-mel
Komen
Share
Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein sedang berbincang dengan Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Lorenza, Panglima Tentera Negara Indonesia Gatot Nurmantyo dan Ketua Pasukan Tentera Filipina, Eduarda Ano pada perjumpaan tiga negara mengenai rondaan maritim di Tarakan, Kalimantan Utara. Indonesia, 19 Jun 2017.
Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein sedang berbincang dengan Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Lorenza, Panglima Tentera Negara Indonesia Gatot Nurmantyo dan Ketua Pasukan Tentera Filipina, Eduarda Ano pada perjumpaan tiga negara mengenai rondaan maritim di Tarakan, Kalimantan Utara. Indonesia, 19 Jun 2017.
[Tentera Negara Indonesia/AFP]

Kerajaan Malaysia bercadang untuk membina satu lagi kem tentera di Kelantan yang bersempadan dengan Thailand, seterusnya menjadikannya kem ketiga beroperasi di negeri itu, Menteri Pertahanan Malaysia memberitahu BeritaBenar pada Rabu.

Hishammuddin Hussein berkata kem tentera ketiga yang bakal beroperasi di daerah Rantau Panjang itu dijangka menempatkan 1,700 pegawai dan anggota dengan Panglima Tentera Darat Jeneral Zulkiple Kassim diarahkan untuk membuat kajian mengenainya

“Kem tentera  ini  jika direalisasikan akan menempatkan kira-kira 1,700 anggota tentera dari Rejiman Sempadan yang berperanan mengawal keselamatan sempadan daripada sebarang   pencerobohan, penyusupan, penyeludupan dan kegiatan jenayah,” kata Menteri itu kepada BeritaBenar pada Rabu.

Tambahnya, kini terdapat dua kem tentera di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan iaitu di Kem Batu Sebelas, Tanah Merah dan Kem Batu Melintang, Jeli.

Hishammuddin memberitahu, selain dua kem sedia ada di Kelantan, terdapat tiga lagi kem di sempadan Malaysia-Thailand,  dua di Perak iaitu Kem Pangkalan Hulu di Pangkalan Hulu dan Kem Grik di Grik manakala satu lagi di Bukit Kayu Hitam, Kedah iaitu Kem Bukit Kayu Hitam.

Dalam pada itu, General (B) Chamlong Khunsong, bekas timbalan komander Wilayah Tentera Keempat dan kini salah seorang wakil khas kerajaan Thai yang menyelia isu Selatan Thailand memberitahu media di Pattani, beliau mengalu-alukan kemungkinan kem baru Malaysia itu.

“Ia adalah satu perkembangan yang baik dan kami mengalu-alukannya. Kita boleh melihat bagaimana kedua-dua pihak boleh bekerjasama pada masa akan datang,” Chamlong berkata.

Sempadan Malaysia-Thailand


Sempadan Malaysia-Thailand terutamanya di Kelantan sering digunakan oleh penyeludup untuk aktiviti penyeludupan rentas sempadan termasuk kes pengedaran dadah, senjata api, manusia dan komoditi seperti beras, yang menjadi makanan ruji negara itu.

Pada Mei, seorang rakyat Malaysia, Muhammad Muzaffa Arieff Junaidi, 27 tahun, yang menetap di Kelantan dipercayai mempunyai kaitan dengan Negara Islam (IS) telah terlibat dalam penyeludupan senjata merentasi sempadan antara kedua-dua negara.

Muzaffa telah ditangkap selepas mengelak daripada ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia dengan menyeberangi ke selatan Thailand Mac lepas, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar pada ketika itu.

Namun, pegawai tentera di selatan Thailand menafikan dakwaan Ketua Polis Malaysia itu.

Malaysia juga telah menjadi bahan berita utama bagi aktiviti penyeludupan manusia terutamanya di Kedah dan Perlis yang bersempadan dengan Thailand.


Pada Mei 2015, Ketua Polis Negara Malaysia  mengumumkan penemuan lebih 130 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia di Wang Kelian dimana sebanyak 106 mayat dijumpai yang dipercayai terdiri daripada  etnik Rohingya dan rakyat Bangladesh.

Kesemua mayat itu di temui di kem tahanan haram di Bukit Genting Perah dan Bukit Wang Burma, yang terletak hanya beberapa ratus meter dari sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian, Perlis.

Kerajaan Malaysia dan Thailand bakal membuka pintu sempadan 24 jam sehari tahun depan bagi kedua-dua negara, dan kedua pihak secara dasarnya telah bersetuju dengan perlaksanaan itu.

Sementara itu, Hishammuddin berkata kajian pembukaan kem baru itu perlu dibuat memandangkan pelbagai perkara perlu diperhalusi seperti tugas Rejimen Sempadan, tugas pihak polis dan penguatkuasaan yang termaktub dalam Polisi Pengurusan Sempadan Nasional.

“Rejimen ini bertanggungjawab untuk mencegah jenayah lintas batas, mencegah kemasukan pendatang asing tanpa izin dan menganalisa ancaman di setiap kawasan bagi kepentingan negara,” katanya.

Ujar Hishammuddin, rejimen ini juga melaksanakan latihan dua hala, lawatan-lawatan, pertukaran kakitangan dan informasi dengan tentera dan agensi asing berhubung pengurusan sempadan terutama dengan Thailand.

Jelasnya rejimen ini juga melaksanakan tugas-tugas perisikan dan pengumpulan maklumat terkini dan menyalurkan kepada perisikan di medan.

“Menentukan perlaksanaan dan mengawasi aktiviti-aktiviti kerjasama persempadanan yang berhubung kait hal-hal isu keselamatan di kawasan sempadan di bawah Perjanjian Am Sempadan (General Border Agreement),” kata beliau.

Thailand kini dalam usaha menamatkan pemberontakan di selatan negara itu yang berlaku sejak sekian lama dengan perbincangan damai tidak rasmi dengan Mara Patani, panel yang mewakili kumpulan pemberontak.

Kuala Lumpur telah mempelopori proses itu namun kedua-dua pihak belum lagi melaksanakan sebarang gencatan senjata di selatan Thailand di mana insiden serangan dan pengeboman terus berlaku dipercayai dilancarkan oleh pemberontak tegar.

Thailand dan panel pemberontak kini dalam proses memilih daerah yang akan menjadi kawasan ujian bagi gencatan senjata ketika kedua pihak berunding untuk perdamaian yang telah berlangsung selama dua tahun.

Dalam wawancara yang jarang berlaku, Jeneral Aksara Kerdpol menyatakan bahawa pihak Thailand berada di peringkat akhir untuk memilih satu daripada senarai lima daerah yang dikenal pasti oleh MARA Patani,sebagai tapak untuk "Zon keselamatan" - nama rasmi bagi gencatan senjata terhad.

 

Mariyam Ahmad di Pattani, Thailand turut membantu dalam laporan ini.

Lihat Laman Penuh