Malaysia, Indonesia dan Filipina Tetapkan Tarikh Mesyuarat Keselamatan Laut

Staf BeritaBenar
2016.07.14
Washington DC
160714-my-id-hostage-620 Komander Tentera Laut Kem Balikpapan, Luhut Siagian berkomunikasi dengan anak kapal tunda di Pelabuhan Semayang, di wilayah Kalimantan Timur, Indonesia, selepas mereka dibebaskan manakala tujuh lagi anak kapal itu telah diculik oleh kumpulan militan Abu Sayyaf di perairan selatan Filipina, 25 Jun 2016.
AFP

Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein pada Khamis mengumumkan bahawa beliau akan bertemu dengan rakan sejawatannya dari Indonesia dan Filipina pada 21 Julai ini, di Kuala Lumpur bagi siri perbincangan ketiga mengenai keselamatan laut.

Bermula dengan mesyuarat menteri-menteri luar di Jakarta pada 5 Mei lepas, kesemua negara bersetuju dengan rancangan untuk membendung masalah tawanan oleh lanun di perairan yang memisahkan selatan Filipina dari pulau Borneo. Perjanjian itu menggesa penubuhan talian hotline tiga hala dan juga penyelarasan rondaan maritim.

Pada Jun, mesyuarat Menteri Pertahanan di Manila telah bersetuju untuk meneruskan pengawasan udara dan laut selaras dengan usaha bersama untuk menghentikan penculikan oleh kumpulan militan Abu Sayyaf di laut Sulu dan Sulawesi. Mereka memutuskan untuk memperkenalkan Inisiatif Rondaan Lautan Sulu [SSPI] seperti Rondaan Selat Melaka (MSP), satu sistem operasi udara dan laut yang diselaraskan oleh Indonesia dan Malaysia di Laut Andaman.

Hishammuddin berkata, delegasi daripada pelbagai agensi yang diketuai oleh Majlis Keselamatan Negara berada di Jakarta, Indonesia, sedang berusaha untuk menyiapkan "Rangka Kerja Mengenai Aturan Kerjasama Tiga Hala antara Malaysia, Indonesia dan Filipina," dengan rakan-rakan dari negara-negara lain yang mengambil bahagian.  Kumpulan itu juga sedang mewujudkan prosedur operasi standard (SOP).

Rangka kerja itu "membuka jalan kepada menteri-menteri pertahanan semasa pertemuan mereka minggu depan yang akan membincangkan secara khususnya pelaksanaan SSPI oleh angkatan tentera masing-masing," kata Hishammuddin.

Walaupun rancangan belum lagi dilaksanakan, pegawai Indonesia telah menyatakan kesediaan untuk memulakan rondaan laut bersama dengan negara jiran mereka itu.

Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu,  memberitahu pemberita di Jakarta pada Khamis bahawa beliau dan rakan sejawatnya dari Malaysia dan Filipina akan memberi tumpuan kepada isu-isu keselamatan minggu depan.

"Kami akan menyelaraskan tugasan demi keselamatan serantau. Kami akan membahagikan laluan yang boleh dimasuki. Sebagai contoh, jika kami (Indonesia) mengejar pelaku ke dalam kawasan Filipina, kami boleh memasuki kawasan itu asalkan kami melaporkan kepada pihak mereka (Filipina) terlebih dahulu, " katanya.

Kesatuan bantah penculikan

Pengumuman Menteri-menteri pertahanan berlaku pada hari yang sama ahli kesatuan Indonesia melancarkan protes terhadap penculikan terbaru anak kapal Indonesia dengan, mendakwa bahawa kerajaan kedua negara – Indonesia dan Filipina – telah gagal melindungi anak-anak kapal kedua-dua negara.

"Kerajaan Filipina dan Indonesia lalai serta tidak belajar daripada kesilapan sebelumnya. Mereka sepatutnya mengambil tindakan yang pantas," kata Iqbal, Presiden Gabungan Kesatuan Pekerja Indonesia (KSPI), kepada wartawan di satu demonstrasi di hadapan Kedutaan Filipina di Jakarta.

Bantahan itu dilancarkan oleh beratus-ratus pekerja Indonesia yang merupakan anggota KSPI dan Rumah Rakyat Indonesia (RRI), sebuah lagi organisasi kesatuan sekerja .

Mereka mendesak kedua-dua kerajaan supaya segera membebaskan10 anak kapal Indonesia yang menjadi tebusan Abu Sayyaf (ASG) di selatan Filipina.

Tiga anak kapal telah diculik oleh ASG pada 9 Julai di perairan negeri Sabah, dan tujuh lagi anak kapal tunda Indonesia telah diculik di perairan Tawi Tawi di selatan Filipina.

"Kami menuntut Filipina untuk memainkan peranan yang aktif ke arah usaha untuk membebaskan (tebusan Indonesia) termasuk bekerjasama dengan kerajaan dan tentera Indonesia," kata Setiausaha Agung KSPI, Muhammad Husni, yang turut melahirkan kebimbangan bahawa kemungkinan lebih banyak lagi kes penculikan dan tebusan akan berlaku jika kerajaan tidak mengambil tindakan segera.

Beliau juga mengancam akan meneruskan bantahan yang lebih besar jika usaha tersebut ditangguhkan.

Tia Asmara di Jakarta dan Hata Wahari di Kuala Lumpur menyumbang kepada laporan ini.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.