Aktivis Veteran Malaysia Terlepas Hukuman Penjara Sembilan Bulan

Hata Wahari
2016.05.16
Kuala Lumpur
160516-my-hishamuddinrais-620 Aktivis hak asasi manusia Hishamuddin Rais tiba dengan aktivis pelajar Adam Adli di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 29 Mei 2013.
AFP

Mahkamah Rayuan pada Isnin membenarkan permohonan aktivis sosial Hishamuddin Rais untuk mengetepikan hukuman penjara sembilan bulan di bawah Akta Hasutan yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi terhadapnya tiga tahun lepas.

Sebaliknya, panel tiga hakim mahkamah berkenaan yang diketuai oleh Hakim Tengku Maimun Tuan Mat mengekalkan semula keputusan Mahkamah Sesyen yang mengenakan denda maksimum sebanyak RM5,000 terhadap beliau.

Pada 9 Januari tahun lepas, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah mengenakan hukuman denda terhadap Hishamuddin, setelah didapati bersalah atas tuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan bagi mengguling kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak pada satu ceramah di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, pada 13 Mei 2013.

Setahun kemudian, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Januari lepas pula telah mengenakan hukuman penjara sembilan bulan terhadap aktivisi berkenaan, selepas mahkamah itu membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk dikenakan hukuman yang lebih berat daripada hukuman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen.

Akta Hasutan mula digubal oleh kerajaan kolonial British pada tahun 1948 untuk memerangi komunis, dan telah dipinda oleh Malaysia berikutan rusuhan kaum pada tahun 1969.

Hishammuddin yang dihubungi BeritaBenar dalam reaksi terhadap keputusan itu menegaskan bahawa walaupun perkataan yang dikeluarkan beliau merupakan satu kesalahan di bawah Akta Hasutan tetapi ia bukan kesalahan yang memerlukan hukuman penjara.

“Saya berterima kasih kepada barisan peguam saya kerana dapat memberi hujah kepada Mahkamah Rayuan yang telah menjadi kes rujukan kepada kesalahan di bawah Akta Hasutan bahawa hukuman penjara tidak sepatutnya dijatuhkan kepada pesalah,’’ katanya pada Isnin.

Dalam prosiding pada Isnin [hari ini], Hishamuddin, 65, diwakili peguam S.Ambiga dan Syahredzan Johan manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Abazafree Mohd Abas.

‘Hukuman tidak berpatutan’


Sementara itu, Syahredzan memberitahu BeritaBenar bahawa hukuman penjara yang dikenakan ke atas Hishamuddin oleh Mahkamah Tinggi bukan satu hukuman yang berpatutan terutamanya dalam kes di bawah Akta Hasutan.

“Hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen merupakan hukuman yang amat mencukupi dan merupakan satu pencegahan yang berpatutan.

“Apa yang dihujahkan oleh saya dan rakan-rakan peguambela telah dipersetujui oleh Mahkamah Rayuan dan ia merupakan satu perkara yang sesuai. Kami amat berbesar hati atas keputusan hari ini [Isnin],’’ katanya kepada BeritaBenar.

Tengku Maimun dalam penghakimannya memberitahu mahkamah bahawa hukuman denda yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen pada Januari 2015 adalah tepat dan wajar.

“Hukuman penjara diketepikan, dan denda RM5,000 dikenakan kembali,” kata Tengku Maimun dalam penghakimannya.

Bagaimanapun, panel yang turut disertai Hakim Ahmadi Asnawi dan Hakim Abdul Karim Abdul Jalil menolak rayuan Hishamuddin terhadap sabitannya.

Pesuruhjaya Kehakiman Nordin Hassan di Mahkamah Tinggi pada awal Januari lepas, ketika menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan ke atas Hishamuddin berkata hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh kerana ia tidak memberi pengajaran kepada orang awam.

Manakala Hakim Mahkamah Sesyen, Azman Mustapha selepas menjatuhkan hukuman denda terhadap Hishamuddin berkata, ucapan berapi-api aktivis itu hanya berakhir di dewan dan tidak berjaya mempengaruhi orang ramai yang hadir berdasarkan keterangan saksi yang memberitahu bahawa tiada sebarang demontrasi jalanan berlaku sebaik saja tertuduh selesai memberi ucapan.

Azman juga menegaskan hukuman terhadap Hishamuddin dikenakan setelah mengambil kira faktor usia tertuduh yang telah melepasi usia persaraan ketika disabitkan dengan kesalahan.

Selain Hishamuddin, speaker lain di ceramah tersebut adalah Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Tian Chua serta aktivis sosial seperti Tamrin Ghafar, Adam Adli Abdul Halim, Haris Ibrahim dan Safwan Anang. Kesemuanya turut dituduh atas kesalahan menghasut.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Human Right Watch Asia, Phil Robertson berkata, pendakwaan terhadap Hishamuddin Rais kerana menghasut adalah sesuatu yang memalukan dan tindakan itu bermotifkan politik sejak dari awal lagi.

“Tindakan itu, direka oleh kerajaan Malaysia dalam menakut-nakutkan dan akhirnya mahu memenjarakan pengkritik lantang yang memberi pandangan beliau dalam forum masyarakat” kata Phil kepada BeritaBenar.

Beliau berkata, Human Right Watch telah mengkaji ucapan yang dibuat Hishamuddin pada 13 Mei itu dan mendapati tiada apa yang boleh menyebabkan beliau boleh didakwa.

“Kes Hishamuddin juga adalah contoh terbaik dan perkembangan antara jurang, apa yang kerajaan Malaysia anggap prinsip hak asasi manusia yang dilindungi oleh undang-undang antarabangsa,

"Kebebasan bersuara di Malaysia kini berada dalam ancaman yang sistematik, dan penghukuman itu adalah salah satu daripada pembuka terhadap peperangan kerajaan terhadap pengkritik," tambah Phil.

'Akta takutkan masyarakat sivil'


Jabatan Negara Amerika Syarikat melalui Laporan Negara Hak Asasi Manusia 2015, yang dikeluarkan bulan lepas menyatakan bahawa kerajaan Malaysia menguatkuasakan undang-undang Akta Hasutan untuk menakut-nakutkan pengkritik Perdana Menteri Najib Razak dengan pelbagai siasatan, penahanan, penangkapan dan pertuduhan terhadap ahli politik pembangkang, masyarakat sivil dan wartawan.

Undang-undang berkenaan telah mentakrifkan "hasutan" secara meluas dan telah meletakkan banyak batasan terhadap kebebasan bersuara, terutamanya mengenai isu-isu politik yang sensitif, menurut laporan oleh Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Malaysia.

Pengkritik di Malaysia juga berhujah bahawa undang-undang berusia 68 tahun bercanggah dengan jaminan perlembagaan persekutuan negara itu, mengenai kebebasan bersuara.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.